Friday, January 27, 2012

Isteri derhaka’

Harian Metro -27/1/2012

PETALING JAYA: “Kamu sepatutnya taat pada suami. Kesalahan yang kamu lakukan adalah berat kerana menderhaka kepada suami,” kata Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad selepas menjatuhkan hukuman terhadap seorang suri rumah dan pasangan lelakinya yang masih bujang selepas mengaku salah atas tuduhan berkhalwat, Mei tahun lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM2,800 terhadap Mohd Zefrie Mohd Jasbir Khan, 31 dan Nur Sarah Euzen Petrus, 25, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.


Dalam penghakimannya, Wan Mahyuddin berkata, kesalahan dilakukan pasangan itu berat terutama sekali tertuduh perempuan isteri orang.


“Sepatutnya kamu berdua dikenakan hukuman yang berat kerana tidak beri kerjasama terhadap pegawai penguat kuasa iaitu orang yang membantu mengelakkan kamu melakukan perkara mungkar. “Penguat kuasa mengambil masa 40 minit mengetuk pintu dan memberi salam sehingga memaksa mereka memecah masuk rumah itu.


“Kamu patut berterima kasih kepada penguat kuasa kerana mengelak kamu daripada melakukan zina,” katanya.


Beliau berharap hukuman yang dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh memberi keinsafan terhadap mereka dan tidak mengulangi lagi perbuatan itu. Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium, dekat sini, jam 4 pagi pada 16 Mei 2011. Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau maksimum penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam rayuan untuk mengurangkan hukuman, Mohd Zefrie yang bekerja sebagai juruterbang memohon mahkamah mengurangkan denda kerana dia sudah bertaubat dan menyesal atas kesalahannya.

Tambah Mohd Zefrie, sekiranya hukuman berat dikenakan terhadapnya, berkemungkinan dia akan hilang pekerjaan.

“Saya belajar dari kesilapan. Sebelum ini saya kurang pengetahuan agama, tetapi sekarang saya sudah belajar sikit sebanyak mengenai Islam,” katanya yang turut mengakui ini adalah kesalahannya yang pertama. Sementara itu, Nur Sarah pula mengakui kesilapan yang dilakukannya yang bergelar isteri ketika kejadian.

Bagaimanapun, dia memberitahu mahkamah dia kini sudah bercerai dengan suaminya.

Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan itu kerana dia tidak mengemukakan surat cerai dan dokumen berkaitan.

Menurut Nur Sarah, ketika kejadian suaminya turut ada bersama pegawai penguat kuasa ketika serbuan dilakukan.

Mengikut fakta kes, ketika ditemui dalam rumah berkenaan, tertuduh perempuan pada ketika itu berada dalam bilik dan sedang tidur dengan memakai baju tidur paras paha manakala tertuduh lelaki berada di bilik pertama dan memakai seluar pendek kelabu dan kemeja-T.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Syarie daripada Jabatan Agama Islam Selangor, Shafezan Rusli yang berhujah tindakan tertuduh tidak memberi kerjasama terhadap pegawai penguat kuasa adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Juruterbang didenda khalwat isteri orang

Sinar Harian

27 Januari 2012

SUBANG - Seorang juruterbang dan seorang suri rumah dihukum denda masing-masing RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam selepas mereka mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Tropicana Golf Resort di sini, Mei lalu.

Juruterbang, Mohd Zafrie Mohd Jasbir Khan, 30, dan pasangannya, Nur Sarah Euzen Petrus, seorang suri rumah, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohamad turut menasihatkan kedua-dua pasangan itu supaya insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu."Insaf bukan terletak kepada pakaian sahaja. Datang mahkamah pakai tutup aurat, pakai kopiah tapi kalau dalam hati tak insaf, tak guna juga.

“Tertuduh kedua (Nur Sarah), kamu masih ada suami yang sepatutnya kamu taati. Tetapi kamu telah menderhaka kepada suami. Sepatutnya kamu wajar dipenjarakan, tetapi atas ehsan mahkamah, kamu dijatuhi hukuman denda,” katanya.

Pasangan itu didakwa berkhalwat di Blok K, Kondo Riana Green, Jalan PJU 3/1C, Tropicana Golf Resort di sini, kira-kira jam 4 pagi, 16 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Shafezan Rosli mengikut Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shafezan ketika mengemukakan fakta kes berkata, pasangan itu ditangkap penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke rumah itu selepas mendapat maklumat awam.

Penguat kuasa mengambil masa lebih 40 minit untuk mendapatkan kerjasama penghuni sehingga memaksa mereka memecahkan pintu hadapan.

Pasangan itu ditemui dalam rumah berkenaan yang tidak memasang lampu.

Friday, January 13, 2012

Suami tidak adil isteri tuntut fasakh

Utusan Malaysia 13/1/2012

KHAIRIL mengenali Milah, janda beranak dua itu secara kebetulan ketika dia singgah untuk minum di sebuah gerai makan di sebuah perkampungan di utara Semenanjung.

Kebetulan ketika itu, Khairil memang ditugaskan menjaga tapak projek pembinaan sebuah pejabat kerajaan di situ selama setahun dan terpaksa meninggalkan isteri, Linda dan anak-anaknya di ibu negara.

Mana lelaki yang tidak tercabar imannya melihatkan Milah yang sudah lama menjanda itu, meliuk-lentok dengan baju kebaya ketat seolah sengaja mengumpan kaum Adam supaya menjadi pelanggan setia di gerai makan di situ.

Tetapi Khairil bernasib baik kerana dia tidak bertepuk sebelah tangan malah Milah sudi untuk menemaninya ke sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 50 kilometer dari kampung tersebut.

Pada malam itu, sengaja Khairil singgah di sebuah hotel murah dengan alasan sudah lewat untuk pulang.

Milah yang lama kematian suami itu nekad tidak akan melepaskan peluang untuk membuktikan cintanya yang mulus terhadap Khairil.

Pancing Milah tidak sia-sia kerana semenjak itu Khairil semakin gila bayang terhadapnya.

Milah akhirnya berkahwin dengan Khairil biarpun menyedari lelaki itu sudah berkeluarga. Tempoh setahun memang berlalu dengan cepat dan Khairil kembali semula ke Kuala Lumpur selepas projeknya di utara siap sekali gus kembali tinggal bersama isteri pertamanya, Linda.

Mulanya adalah juga sesekali Khairil pulang menjenguk Milah di kampung tetapi lama-kelamaan semakin berkurangan.

Setiap kali pulang Milah mula mengungkit sikap suaminya yang tidak berlaku adil tetapi pertanyaan itu hanya membangkitkan kemarahan Khairil sehingga pernah dia dipukul dan jatuh terperosok di bawah meja makan.

Setelah difikir dengan sedalamnya akhirnya Milah mahu menyelesaikan masalahnya untuk menuntut fasakh cerai di Mahkamah Syariah kerana perkahwinan dia dan Khairil sudah tidak ada penghujungnya.

Kes isteri menuntut fasakh juga menjadi sebahagian daripada koleksi Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Salah satu kes ini yang berkaitan tuntutan fasakh di mana plaintif memberikan alasan bahawa defendan dengan sengaja cuai atau telah tidak memberikan nafkah zahir selama tempoh tiga bulan.

Selain itu sejak berkahwin, defendan selalu menyakiti fizikal plaintif dan sering tidak berlaku adil dalam perkahwinan poligaminya.

Antara plaintif dan defendan juga sering berlaku perbalahan yang berpanjangan.

Semasa perbicaraan, plaintif telah menyediakan dua saksi yang disepina bagi menyokong permohonannya.

Mahkamah juga mendapati keterangan saksi-saksi adalah konsisten dan menyokong tuntutan plaintif berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan.

Mahkamah yakin perbuatan defendan yang tidak bertanggungjawab terhadap plaintif dan anak-anaknya termasuk sering tiada di rumah telah menyusahkan hidup plaintif.

Plaintif juga tidak pernah diistiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah.

Mahkamah melihat perbuatan defendan telah memberi kemudaratan terhadap diri plaintif dan pastinya matlamat perkahwinan ini tidak tercapai kerana defendan tidak mempunyai belas kasihan kepada plaintif yang terpaksa berkorban mencari nafkah dan menjaga anak-anak sendirian.

Kesimpulannya mahkamah berpuas hati untuk meluluskan permohonan fasakh itu.

Oleh kerana defendan tidak hadir ke mahkamah dan gagal memberi keterangan membela diri, maka berdasarkan Arahan Amalan No.1 Tahun 2003 JKSM, plaintif diarah bersumpah istizhar bagi mengelakkan tohmah sebelum keputusan dibuat.

Selain itu mahkamah mensabitkan defendan telah cuai menyediakan bayaran nafkah yang mencukupi tanpa alasan yang munasabah melebihi tempoh tiga bulan berturut-turut.

Defendan juga didapati menyakiti fizikal plaintif berdasarkan laporan polis.

Mahkamah juga mensabitkan defendan kerana tidak berlaku adil mengikut hukum syarak di dalam perkahwinan poligami.

Thursday, January 5, 2012

Ditinggal suami tanpa berita

6/1/2012 - Utusan Malaysia

Julia akui tidak boleh marah Aris secara keterlaluan kerana lelaki itulah yang telah menyelamatkan dirinya daripada terus terjebak menjual maruah di 'lorong-lorong gelap'.

Jika tidak, sudah tentu sehingga ke hari ini Julia hidup dalam noda dan dosa disebabkan kebodohan sendiri kerana termakan pujukan teman lelakinya terdahulu yang konon ada kerja untuknya di Kuala Lumpur.

Aris juga dianggapnya lelaki berhemah kerana sudi menyuntingnya sebagai isteri malah sanggup melimpahkan hidupnya dengan kesenangan.

Sekalipun Julia tidak tahu apa pekerjaan Aris yang sebenar, asalkan mereka berdua hidup dalam bahagia sudah memadai.

Cuma pada suatu hari, gelagat Aris yang tidak jemu-jemu mencium dahi dan pipinya sebelum keluar rumah memang memberikan petanda yang cukup pelik.

Julia juga tidak menyangka sama sekali bahawa itulah kali terakhir dia akan melihat Aris.

Puas dia menunggu kepulangan suaminya siang dan malam, bukannya memakan masa sehari dua atau berbulan malah sudah menjangkau tahun demi tahun.

Sudah jenuh Julia bertanya kepada rakan-rakan yang mengenali Aris untuk mengetahui di mana suaminya tetapi semua memberikan jawapan menghampakan.

Atas nasihat rakannya, Kak Leha, Julia membuat permohonan tuntutan cerai fasakh ke mahkamah syariah supaya dirinya tidak terus berada dalam dilema gantung tidak bertali.

Kes Julia (bukan nama sebenar) ini antara kes yang menjadi koleksi kes yang telah dikendalikan oleh Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Dalam kes ini plaintif telah memfailkan tuntutan fasakh terhadap defendan berdasarkan peruntukan mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUKIS) 2003.

Sebelum itu saman bagi kes ini telah sempurna apabila dibuat melalui saman ganti secara iklan di dalam sebuah akhbar harian.

Iklan itu telah dikeluarkan sebagai makluman supaya defendan hadir ke mahkamah tetapi beliau gagal berbuat demikian.

Perbicaraan kes itu diteruskan dengan berdasarkan keterangan plaintif mengikut Seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.

Dalam kes ini, alasan plaintif memohon cerai fasakh kerana defendan didapati cuai atau tidak memberikan nafkah terhadapnya selama tempoh tiga bulan dan gagal memberi nafkah batin selama setahun.

Selain itu plaintif juga tidak mengetahui di mana defendan berada sejak lebih setahun lalu.

Kes ini telah dibicarakan secara sebelah pihak dan pihak plaintif juga telah menyediakan dua saksi yang disepina bagi menyokong permohonannya.

Berdasarkan keterangan itu juga, mahkamah berpuas hati kerana plaintif sebelum ini tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah.

Oleh sebab itu tidak ada sebab defendan tidak membayar nafkah kepada plaintif.

Mahkamah juga percaya tindakan defendan yang tidak memberi nafkah telah menyusahkan kehidupan plaintif.

Kesimpulannya, berdasarkan keterangan plaintif dan saksi-saksi dan hujah yang dikemukakan maka mahkamah berpuas hati untuk meluluskan permohonan fasakh plaintif berdasarkan dakwaan di dalam penyata tuntutan dan keterangan plaintif.

Keterangan plantif dan saksi-saksi diterima atas asas bayyinah serta qarinah dan kegagalan defendan hadir bagi menjawab dakwaan dan tuntutan plaintif menunjukkan secara qarinah defendan merestui perkahwinan ini difasakhkan.

Oleh kerana defendan tidak hadir ke mahkamah dan gagal memberi keterangan membela diri, maka dengan Arahan Amalan No.1 Tahun 2003 JKSM maka plaintif diarah bersumpah istizhar bagi mengelak tohmah sebelum keputusan dibuat.

Berikutan itu, Wan Mahyuddin kemudiannya mensabitkan perbuatan defendan itu telah menganiaya plaintif sehingga mendatangkan kemudaratan ke atas dirinya.

Disebabkan plaintif juga tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah, maka mahkamah memfasakkah pernikahan antara plaintif dan defendan di mana plaintif diarah beredah tiga kali suci.