Sunday, May 15, 2011

Suami mata keranjang ringan tangan

Suami mata keranjang ringan tangan

Utusan Malaysia: 13/5/2011

Sikap Johan memang sangat berubah setelah dinaikkan pangkat menjadi pengurus syarikat dan isterinya Zuraida pula telah melahirkan anak ketiga.
Zuraida pun tidak tahu di mana silapnya. Sepatutnya kebahagiaan itu dikecapi dengan begitu bermakna memandangkan sebelum itu memang beria-ia Johan mahukan anak lelaki.
Sudah tabiat manusia yang lemah, bila sudah dapat kuasa dan wang yang banyak maka segalanya berubah sekelip mata termasuk lupakan anak-anak dan isteri di rumah.
Kalau dahulu, ke mana sahaja pergi, Johan akan memberitahu Zuraida malah akan membawa dia dan anak sekali jika dihantar bekerja di luar daerah kerana bimbang isterinya yang berhenti kerja selepas mereka kahwin itu kesunyian di rumah.
Yang paling Zuraida tidak tahan dengan perubahan sikap Johan bukan sahaja cepat naik darah malah tangannya semakin ringan untuk menampar pipi gebu Zuraida sehingga lekat lima jari terutama jika ditanya kenapa tidak pulang ke rumah atau balik lewat.
Pernah sekali Zuraida demam beberapa hari gara-gara tulang pipinya bengkak kerana ditampar terlalu kuat malah lulutnya juga luka setelah diterajang hingga jatuh tertiarap.
Ia gara-gara Johan terus naik berang apabila Zuraida tanya ke mana dia menghilangkan diri lebih seminggu tanpa meninggalkan wang perbelanjaan untuk mereka sekeluarga.
Naik berang
Mana tidaknya Johan belum puas lagi menikmati 'bulan madu' selama seminggu ketika berada di kota London dengan Linda yang baharu sebulan menjadi setiausahanya.
Sekalipun dia pergi ke London atas urusan syarikat tetapi Johan memang mengambil peluang untuk membawa Linda untuk melepaskan hajatnya.
Lagipun sudah lama dia memerhati Linda yang suka berpakaian seksi dengan skirt singkat separas paha dengan leher yang terbelah luas bagi menunjukkan alur dadanya.
Inilah peluang ditunggu dan Linda pula tak kekok untuk melayan Johan sehingga ke peringkat hubungan 'suami-isteri' asalkan dapat habuan membeli sakan di kota yang sekian lama menjadi impiannya untuk dikunjungi.
Dia juga tidak kisah melayani kehendak Johan itu kerana dia sendiri pun dapat menyempurnakan nalurinya sendiri yang sekian lama ketandusan belaian lelaki.
Cuma Johan kecewa kerana beberapa hari selepas pulang ke tanahair, Linda menyerahkan surat perletakan jawatan.
Bagaimanapun kesedihan Johan itu sementara sahaja kerana selepas seminggu dia kembali memburu cinta baru.
Dia sedar dengan wang dan pangkat yang ada begitu mudah untuknya 'membeli' mana-mana gadis muda yang bersikap materiallistik.
Zuraida pula sudah naik malu apabila adiknya sendiri pernah beberapa kali terserempak dengan Johan yang tidak malu bergandingan mesra dengan gadis-gadis muda.
Naik takut Zuraida hendak menyoal Johan kerana setiap kali itu suaminya akan mula berang sehingga sanggup memukulnya di hadapan anak-anak tanpa rasa bersalah dan segan.
Peristiwa malam itu memang membuatkan dia nekad untuk membuat laporan polis mengenai perbuatan Johan yang semakin tidak berperikemanusiaan.
Zuraida juga akan membawa perkara itu ke mahkamah bagi menuntut fasakh kerana sudah tidak tahan hidup sebumbung dengan lelaki yang menyakiti hati dan dirinya sekalipun usia perkahwinan hampir menjangkau 20 tahun.
Dalam koleksi penghakiman oleh Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur juga berlaku kes tuntutan fasakh oleh isteri yang sudah tidak dianiaya dan disakiti suami.
Dalam kes yang dibicarakan itu, plaintif (isteri) memohon penceraian secara fasakh setelah 20 tahun berkahwin.
Alasan isteri tersebut kerana defendan (suami) telah menganiaya dan menyakitinya sehingga beliau menderita.
Defendan (suami) juga didakwa menganiaya plaintif (isteri) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji dengan tidak mengikut hukum syarak.
Selain itu kedua suami isteri ini telah wujud perbalahan (shiqaq) yang berpanjangan.
Dalam perbicaraan kes ini di mahkamah pula hanya melibatkan sebelah pihak di mana plaintif (isteri) telah meyediakan empat saksi bagi menyokong permohonan ini.
Berhubung dakwaan pertama, mahkamah berpandangan ia harus diterima berdasarkan qarinah atau keterangan sokongan iaitu laporan polis telah dikemukakan sebagai bukti penganiayaan telah berlaku.
Selain itu pada dakwaan kedua pula, mahkamah mendapati keterangan plaintif tidak kukuh terhadap tuduhan itu terhadap defendan kerana tidak ada apa-apa keterangan dan bukti sokongan yang boleh mengesahkan seperti lampiran gambar.
Keterangan plaintif dan saksi berkenaan dakwaan ini lemah kerana tidak dinyatakan tarikh berlakunya kejadian maka mahkamah berpandangan dakwaan itu wajar ditolak.
Berkenaan dengan dakwaan ketiga bahawa wujudnya perbalahan (shiqaq) yang berpanjangan antara plaintif dan defendan, dakwaan ini diterima kerana saksi-saksi telah mengesahkan wujudnya perbalahan.
Saksi keempat iaitu anak plaintif dan defendan telah mengesahkan kedua pihak ini saling bertengkar dan sudah tidur berasingan.
Wan Mahyuddin dalam keputusannya berkata, setelah mendengar keterangan plaintif, keterangan saksi dan sumpah istizhar plaintif maka mahkamah memfasakkah pernikahan antara plaintif dan defendan.
Dalam alasan penghakimannya, mahkamah mensabitkan defendan telah mendatangkan kecederaan ke atas diri plaintif seperti di dalam laporan polis.
Selain itu, katanya, mahkamah juga telah mensabitkan telah wujudnya perbalahan (shiqaq) yang berpanjangan antara plaintif dengan defendan.
Mahkamah mensabitkan perbuatan defendan ini telah mendatangkan kemudaratan ke atas diri plaintif.

Friday, May 6, 2011

Terjebak judi gara-gara gilakan janda muda

Terjebak judi gara-gara gilakan janda muda

Utusan Malaysia 6/5/2011.

Bersama SHOLINA OSMAN


Supardi sedar dengan upah sebagai pekerja di sebuah kedai makan apalah sangat untuk membolehkan dia mengumpul kekayaan seperti yang diimpikan selama ini sebelum menjejakkan kaki ke bumi Malaysia.
Sebenarnya semua angan-angannya selama ini bahawa Malaysia adalah lubuk emas memang jauh dari apa yang disangkakan.
Hidupnya lebih diibarat sebagai kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Dengan bayaran RM20 sehari dikira amat kecil sekalipun makan dan tempat tinggal disediakan majikan.
Hatinya juga risau apabila memikirkan setiap bulan wang itu perlu dihantar kepada isteri yang hidup dalam kemiskinan untuk memelihara lima anak mereka di kampung di Indonesia.
Dia sendiri pula sejak bertemu dengan Wulan janda muda dari Semarang mula merasakan hidupnya semakin tidak keruan sekalipun sedar kantungnya semakin menipis disebabkan sudah banyak melabur untuk Wulan.
Lebih parah lagi Wulan memang bukan sebarangan janda kerana jika Supardi enggan melayannya dengan baik maka bila-bila masa sahaja dia akan pergi begitu sahaja kerana ramai lagi jejaka menunggunya.
Supardi juga sudah tidak boleh melepaskan Wulan kerana hubungan mereka berdua bukan setakat berpegangan tangan sahaja malah sudah beberapa kali diheretnya janda itu ke bilik hotel.
Supardi akui layanan Wulan memang hebat hingga membuatkan beliau bagai orang gila apabila termangu-mangu mengira-ngira hari kerana tidak sabar menantikan saat hujung minggu untuk meraikan cinta dengan janda muda itu.
Wulan bukan sahaja seindah namanya seperti bulan dalam bahasa Jawa malah tahu Supardi yang sudah ketagih dengan layanannya itu.
Bagi Wulan inilah masanya dia 'mengetuk' Supardi dengan meminta apa sahaja barang yang diinginkan termasuk juga wang.
Yang penting gajinya setiap bulan RM500 yang dimasukkan oleh tuan rumah ke dalam akaun bank disimpan untuk masa depannya bila pulang ke kampung nanti.
Supardi pula semakin terdesak dengan duit mula mengira-gira bagi mencari duit lebih.
Atas ajakan kawan-kawan akhirnya Supardi mula mencari peluang untuk beradu nasib bermain judi di kedai yang terletak berhadapan dengan tempatnya bekerja.
Beliau tidak menyangka kali kedua mencuba telah membuahkan kejayaan di mana dia telah menang besar dan apa lagi dua hari satu malam dia menghabiskan masa memandu kasih bersama Wulan di puncak Genting Highlands.
Semenjak itu, Supardi semakin seronok bermain judi di beberapa kedai judi sehinggalah suatu hari ketika selesai berurusan di kaunter dia telah ditahan oleh beberapa lelaki yang mendakwa dari Jabatan Agama Islam.
Kucar-kacir
Dunia dirasakan gelap oleh Supardi kerana bukan sahaja memikirkan hukuman berat yang bakal dijatuhkan sekali gus Wulan juga akan terlepas darinya dan mana pula mahu dicari wang untuk dihantar kepada anak dan isterinya di kampung.
Kes Supardi itu telah dibicarakan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes tangkapan itu dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama pada tarikh 13 Januari 2010 pada pukul 6.40 petang di alamat kejadian dalam sebuah operasi.
Ketika ditahan tertuduh telah berada di dalam premis dan didapati telah membeli dua keping tiket judi bernombor 8479, 2683 dan 7430 RM6 dan 3058, 4710. 6554, 9403, 1002, 4460 bernilai RM12.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh adalah beragama Islam.
Wan Mahyuddin dalam keputusannya berkata, berdasarkan kepada pengakuan salah tertuduh maka mahkamah juga mengambilkira ia adalah kesalahan kali pertama tertuduh.
Maka dengan itu katanya, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda pada hari dijatuhkan hukuman.
Wan Mahyuddin berkata, dengan hukuman itu diharap akan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan semua masyarakat agar menjauhi perbuatan maksiat itu di masa-masa akan datang kerana ia jelas diharamkan oleh Islam.
Selain itu dalam alasan penghakimannya, mahkamah menasihatkan tertuduh tidak bermain judi atau berada dalam premis judi sama ada premis judi itu berlesen ataupun tidak kerana perbuatan tersebut jelas menjatuhkan maruah sebagai seorang Islam.
Walaupun tertuduh membeli tiketnya yang berharga murah tetapi dosanya tetap besar di sisi Allah.
"Apa yang lebih mendukacitakan, ada yang baru saja baru selesai bersolat di masjid, tetapi dalam perjalanan pulang ke rumah sempat melencong membeli nombor ekor,'' katanya.
Katanya, berjudi juga menjadikan seseorang itu mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga serta menjadi punca kepada gejala sosial dan jenayah yang melata sekarang.
Melalui perjudian, mereka berhasrat untuk mendapat keuntungan dengan segera sedangkan sebagai manusia kita perlu berusaha dan berikhtiar untuk berjaya.
"Kita perlu ingat, sekali terjebak dengan aktiviti membeli nombor ekor, berjudi melalui Internet, pertaruhan dengan mesin slot dan kuda maka tabiat itu akan sukar dihentikan,'' katanya.
Katanya, ini kerana sudah mula mementingkan diri diri sendiri sehingga mengatasi keperluan keluarganya.
Katanya, ramai di kalangan kaki judi bukan sahaja menjadi muflis dan papa malah rumah tangga juga kucar-kacir kerana kalah judi.
"Inilah bahaya judi dan Islam mengharamkan perbuatan itu kerana manusia perlu berusaha memperolehi rezeki dengan cara yang halal walaupun sedikit tetapi mudah-mudahan kehidupan di dunia mendapat berkat dan kehidupan di akhirat mendapat rahmat,'' katanya.