Friday, December 30, 2011

Berpoya-poya sampai lupa nafkah anak

Utusan Malaysia - 30/12/2011

BOLEH dikatakan hampir saban malam Azri akan menghabiskan masa di kelab-kelab malam eksklusif bersama dengan Ira, kekasihnya yang entah ke berapa sejak dia kembali membujang.

Akibatnya setiap hujung bulan Azri akan kembang-kempis kehabisan wang gajinya habis dilabur untuk mengambil hati gadis berkulit putih kuning itu.

Ira pula tidak kisah, selagi Azri ada duit, selagi itu dia akan melayan buah hatinya itu meskipun sehingga ke bilik tidur asalkan dia ada peluang untuk menambah pendapatan.

Apalah sangat dengan gaji kerja kerani di sebuah syarikat kecil apatah lagi hidup di tengah-tengah ibu kota seperti Kuala Lumpur ini.

Bukan sahaja tidak cukup untuk makan dan pakai, sewa rumah dan duit untuk dititipkan ke kampung juga kerap tertangguh.

Di luar pengetahuan Azri, Ira sebenarnya bukan melayan duda itu sahaja tetapi dalam senarainya memang ada dua tiga orang lagi.

Dalam pada itu, Azri mula tidak keruan apabila suatu petang dia dipanggil masuk ke bilik bosnya.

Dia dimaklumkan bahawa bekas isterinya, Zura sudah memperoleh perintah mahkamah untuk menuntut nafkah tambahan bagi dua anak mereka.

Suka atau tidak, Azri kena juga mengikut perintah mahkamah yang menghendaki nafkah tersebut diberi melalui pemotongan gaji.

Ini bererti dia tidak lagi boleh berjoli sesuka hati seperti sebelum ini.

Perintah tersebut sedikit sebanyak memberi pukulan kepada Azri.

Dia mula merenung kembali keadaan dirinya yang selama ini leka dengan keseronokan dunia sehingga menjerumuskan dirinya ke kancah noda dan dosa.

Kes tuntutan nafkah anak juga antara yang menjadi koleksi Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhahammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Berdasarkan fakta ringkas kes ini, plaintif (bekas isteri) telah menuntut supaya mahkamah mengubah perintah nafkah bulanan untuk dua anaknya daripada RM400 sebulan dinaikkan kepada RM1,300 sebulan.

Perbicaraan kes ini diteruskan berdasarkan Seksyen 121 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003.

Dalam kes ini, plaintif memohon bayaran ubah perintah nafkah anak dibuat melalui potongan gaji defendan yang berpendapatan RM5,000 sebulan dimasukkan ke akaun banknya.

Perbicaraan kes itu bermula dengan keterangan plaintif yang juga menyediakan seorang saksi bagi menyokong tuntutannya.

Alasan utama plaintif mengubah perintah nafkah anak kerana masing-masing telah mencapai usia 11 dan sembilan tahun.

Ketika perintah dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini, anak-anak belum bersekolah. Tetapi kini perbelanjaan bertambah kerana keduanya telah bersekolah, selain salah seorang daripada mereka perlu sentiasa mendapat rawatan di hospital akibat penyakit yang dihidapinya.

Keterangan plaintif telah disokong dengan lampiran dan ikatan dokumen yang boleh dijadikan asas bagi menentukan keperluan nafkah untuk anak-anak plaintif.

Walaubagaimanapun laporan perubatan tidak menyatakan dengan jelas penyakit anak plaintif dan sepatutnya laporan yang sahih perlu dikemukakan dari hospital kerajaan.

Pada pandangan mahkamah jika plaintif ingin menuntut nafkah berjumlah RM1,300 maka sepatutnya dia mengemukakan saksi-saksi dan dokumen bagi menyakinkan mahkamah tentang keperluan ini.

Bagi membuat keputusan dalam kes ini, mahkamah telah merujuk Kitab Nizam al-Usrah Fi al-Islami yang telah menerangkan tiga perkara penting di dalam bab nafkah.

Ia termasuk kewajipan bapa memberi nafkah kepada anak, syarat-syarat wajib nafkah untuk anak dan kadar nafkah untuk anak.

Dalam kes itu defendan tidak pernah hadir ke mahkamah walaupun saman telah diterima dan dia juga gagal memberi keterangan membela diri.

Plaintif juga diarah bersumpah istizhar bagi mengelak tohmah sebelum keputusan dibuat.

Mahkamah bersetuju untuk meluluskan permohonan plaintif bagi mengubah perintah asal mahkamah sebelum ini di mana defendan diperintah membayar nafkah dua anaknya RM500 sebulan.

Mahkamah juga memerintahkan majikan membuat potongan gaji defendan RM500 sebulan bagi bayaran "nafkah anak-anak defendan" setiap bulan sehinggalah ada perintah lain dikeluarkan oleh mahkama.

Jika defendan gagal membayarnya maka boleh dianggap menghina perintah mahkamah ini.

Thursday, December 8, 2011

Mangsa bapa durjana

9/12/2011- Utusan Malaysia

Huda memang tidak sanggup memandang lagi wajah ayah kandungnya. Bukan dia seorang malah adik keduanya, Sara, yang sehingga ke hari ini masih tidak melupakan perbuatan ayah mereka yang langsung tidak menghargai kelahiran anak-anak ke dunia ini.
Sepatutnya sebagai bapa, dia berusaha untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna sebaliknya menjadikan darah dagingnya yang tidak berdosa tempat memuaskan hawa nafsu serakah.
Mujurlah perbuatan tersebut terbongkar apabila ibu terserempak ayah masuk ke bilik Huda dan Sara ketika mereka sedang tidur.
Semenjak malam itu emak telah membawa Huda dan adiknya keluar dari rumah itu sekalipun sebelum itu emaknya teruk dibelasah oleh ayah.
Emak telah membawa mereka pergi jauh dari ayah supaya dapat melupakan segala titik hitam yang berlaku dan memulakan hidup baru sehinggalah akhirnya dia lulus dengan cemerlang di universiti.
Huda bukan sahaja sudah mendapat pekerjaan yang baik di sebuah firma swasta malah di situlah dia bertemu dengan Rashid yang mahu menyuntingnya sebagai isteri.
Kenangan zaman kanak-kanak yang mengerikan muncul semula dan terbawa-bawa ke dalam mimpi Huda setiap malam.
Demi untuk memeterai cintanya dengan Rashid maka terpaksa juga dia mencari ayahnya supaya dapat menjadi wali perkahwinan mereka.
Huda dan Rashid berusaha untuk mencari ayahnya tetapi lebih menyedihkan apabila dia bukan sahaja dimaki malah dihalau oleh ayahnya yang begitu berang serta enggan menjadi wali.
Jalan penyelesaiannya, Huda perlu membuat permohonan supaya mahkamah syariah dapat membenarkan dia berkahwin dengan Rashid dengan menggunakan wali hakim.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad juga pernah menyelesaikan beberapa kes yang berkaitan wali Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Dalam kes ini plaintif (anak) telah memohon kepada mahkamah supaya memberikan kebenaran supaya pernikahannya menggunakan wali hakim.
Ini kerana defendan (bapa) selaku wali nasab tidak memberi keizinan tanpa alasan munasabah untuk plaintif berkahwin sedangkan dia telah mempunyai calon suami yang sekufu.
Selain itu alasan plaintif bahawa bapanya juga tidak layak menjadi wali nasab untuk pernikahannya kerana beberapa kali mencabul dia semasa berumur 10 tahun.
Defendan (bapa) juga pernah mengugut akan membunuh semua ahli keluarga jika memberitahu kepada orang lain.
Keterangan plaintif disokong dengan laporan polis dan laporan perubatan sebagai bahan bukti ketika perbicaraan di mahkamah.
Plaintif juga memberitahu mahkamah bahawa defendan (bapa) seorang yang cepat marah dan panas baran di mana setiap kali bertengkar dengan ibunya akan mengeluarkan kata-kata kesat.
Selain itu plaintif juga mengatakan defendan mengugut dia dan adik-beradik yang lain supaya jangan memberitahu ibu mengenai perbuatan mencabul itu jika tidak dia akan membunuh ibu mereka.
Sehubungan itu, plaintif memohon mahkamah meluluskan permohonannya menggunakan wali hakim berdasarkan Seksyen 13(b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Bagi menyokong permohonan itu, plaintif juga mengemukakan ketiga-tiga orang saksi iaitu ibu, adik dan bakal suami.
Dalam kes ini defendan tidak hadir dan mahkamah hanya mendengar keterangan plaintif dan saksi-saksinya.
Setelah mendengar permohonan plaintif, saksi-saksi serta lafaz sumpah istizhar plaintif maka mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang telah diberikan di mahkamah.
Dalam keputusannya, Wan Mahyuddin mensabitkan wali telah enggan untuk memberikan kebenaran plaintif berkahwin tanpa alasan yang munasabah.
Ia termasuklah setelah notis diserahkan kepadanya untuk hadir ke mahkamah tetapi masih enggan hadir ke mahkamah tanpa sebarang alasan.
Tuntutan yang dibuat oleh plaintif itu dibenarkan oleh mahkamah dengan mengambil kira akan kemaslahatan pihak plaintif yang akan mendirikan rumahtangga pada masa terdekat dengan bakal suami yang sekufu.
Sehubungan itu, mahkamah meluluskan permohonan plaintif yang memohon untuk berkahwin menggunakan wali hakim mengikut peruntukkan seksyen 18 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Thursday, December 1, 2011

Bahana cinta muka buku

2/12/2011-Utusan Malaysia

LAGU Cinta muka buku nyanyian Najwa Latiff yang tengah hits sekarang membuatkan Maizatul teringat kembali kisah cintanya dengan Haryanto.
Semuanya gara-gara laman sosial Facebook. Di situ dia berkenalan dengan Haryanto, jejaka tampan dari tanah seberang, Bandung.
Maizatul mengambil peluang bertemu dengan Haryanto apabila beberapa rakan bujang sepejabatnya mahu melancong ke tempat tinggal kekasih hatinya.
Inilah peluang untuk Maizatul bertemu dengan Haryanto kerana selama ini hanya memadu kasih di alam siber yang hanya bersandarkan kepada ayat-ayat cinta sahaja.
Memang pertama kali bertemu dengan jejaka di lobi hotel tempat dia dan rakannya menginap bukan saja penuh mendebarkan malah membuatkan Maizatul seperti hilang fikiran sebaik terpandang wajah jejaka berdarah Jawa itu.
Sedar-sedar dia sebenarnya sudah berada dalam sebuah bilik yang samar-samar cuma diterangi cahaya lampu malap.
Maizatul semakin tunduk dengan pujuk rayu Haryanto yang seolah-olah tidak ingin melepaskan lagi dirinya pada malam pertemuan pertama itu.
Haryanto yang merancang semua itu juga telah berjaya menyejukkan hati Maizatul yang kesal kerana pertemuan itu sudah melangkaui batas apabila turut bersetuju mengikut gadis itu pulang ke Malaysia untuk bernikah dengan gadis itu.
Bagi Maizatul pula cintanya terhadap Haryanto menjadikan dirinya rela mengikut suaminya sekalipun duduk berjauhan dari keluarga.
Kemanisan hidup alam perkahwinan antara Maizatul dan Haryanto memang sekejap sahaja kerana belang lelaki ini sudah tidak boleh ditutup lagi.
Haryanto bukan sahaja malas sehingga Maizatul terpaksa bekerja keras menanggung kehidupan mereka malah mudah panas baran sehingga sanggup memukulnya tanpa belas kasihan.
Oleh itu apabila Haryanto pulang ke Indonesia dengan alasan menjenguk keluarga merupakan peluang bagi Maizatul untuk bebas dari seksaan yang ditanggung.
Maizatul akhirnya memohon kepada Mahkamah Syariah supaya perkahwinannya itu difasakhkan supaya hatinya tenang untuk menghadapi kehidupan di masa depan.
Kes yang dihadapi Maizatul dan Haryanto di sebut di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhamad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.Maizatul selaku plaintif telah memfailkan tuntutan fasakh terhadap Heryanto sebagai defendan berdasarkan peruntukan seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUKIS) 2003.
Alasan plaintif memohon cerai fasakh kerana defendan cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah ke atasnya selama tempoh tiga bulan selepas pulang ke Malaysia.
Selain itu, plaintif mendakwa defendan telah menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya dari segi mental dan fizikal.
Kes itu dibicarakan sebelah pihak dan plaintif telah menyediakan dua saksi yang disepina bagi menyokong permohonannya.
Saksi pertama (bapa plaintif) juga mengakui telah menanggung plaintif sehinggalah beliau mendapat pekerjaan.
Manakala saksi kedua pula memberitahu defendan tahu di mana plaintif tinggal kerana telah mengunjungi rumahnya tetapi tidak diberikan sebarang nafkah.
Jelas mahkamah sedangkan pada hukum syarak defendan sebagai suami wajib membayar nafkah kepada isteri selagi suami itu mempunyai keupayaan membayar nafkah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan bagi isteri-isteri itu wajib atas kamu (suami-suami) memberi nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang baik.”
Mahkamah berpuas hati kerana plaintif tidak pernah diiystiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah dan tidak ada sebab defendan tidak membayar nafkah kepada plaintif.
Berkenaan dakwaan bahawa defendan telah menganiaya plaintif dari segi mental dan fizikal, mahkamah berpuas hati dengan sokongan dari laporan polis.
Plaintif juga diarah mahkamah untuk bersumpah istizhar bagi mengelakkan tohmah sebelum keputusan dibuat.
Berikutan itu mahkamah telah memfasakkah pernikahan plaintif dan defendan dan plaintif diperintah beridah selama tiga kali suci.