Monday, July 9, 2012

Rita, Aidil diarah selesai cara baik – Kosmo 10/7/2012

PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah di sini mengarahkan pasangan pelakon Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak supaya menyelesaikan kes rumah tangga mereka secara baik sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad berkata, sebagai pasangan yang dikenali ramai, mereka seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat supaya menjadi ikutan dan boleh mendapat pahala.
Rita Rudaini yang ditanya akan kesediaan untuk berbincang berkata: "Ya, saya sedia untuk bincang melalui arahan mahkamah."
"Kalau tidak boleh bersama, mahkamah tiada masalah untuk kamu bercerai, tindakan selepas ini perlu dibuat peguam masing-masing," kata Wan Mahyuddin semasa sebutan semula kes permohonan kembali taat yang difailkan plaintif, Aidil Zafuan, 24, terhadap isterinya selaku defendan.
Terdahulu, permohonan itu mendapat bantahan Rita Rudaini, 36, menerusi peguam syarie Datuk Zaidi Zain yang menimbulkan isu bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes berkenaan.
Menurut Zaidi, kes seumpama itu pernah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, namun telah ditarik balik plaintif yang tidak tinggal bersama dengan defendan sejak Januari 2012 tetapi dalam permohonan kembali taat, plaintif menyatakan alamatnya ialah rumah yang defendan duduki sekarang.
"Malah, plaintif ajak defendan tinggal bersama tetapi tidak sebut alamat mana, sekejap Seremban, sekejap Petaling Jaya main-main dengan undang-undang macam main bola," kata Zaidi lagi.

Tak tuntut RM500,000 – Harian Metro 10/7/2012

PETALING JAYA: Pasangan kontroversi, pelakon Rita Rudaini dan suaminya, pemain bola sepak Aidil Zafuan Razak dinasihatkan supaya menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.
Nasihat berkenaan diberikan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada prosiding kes permohonan perintah kembali taat dikemukakan Aidil Zafuan selaku plaintif terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
“Mahkamah harap supaya kes ini dapat diselesaikan secara baik. Kalau tidak boleh hidup bersama lagi, lebih baik bercerai secara baik.

“Bagi contoh yang baik kepada masyarakat kerana pihak-pihak dikenali ramai.
Semoga berkat bulan Ramadan nanti ada penyelesaian,” katanya.
Terdahulu pada prosiding semalam, peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Aidil Zafuan memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sudah menerima bantahan awal daripada Rita selaku defendan dan memerlukan masa 14 hari untuk menjawab bantahan awal itu.

Rita, Aidil diminta selesai kemelut rumah tangga secara baik – Utusan Malaysia 10/7/2012

Rita, Aidil diminta selesai kemelut rumah tangga secara baik – Utusan Malaysia 10/7/2012




PETALING JAYA 9 Julai - Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menasihati pelakon, Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak agar menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, sekiranya pasangan itu tidak mahu bersama lagi, mereka diharapkan dapat bercerai secara baik.
‘‘Kamu berdua dikenali umum, tunjukkan contoh baik kepada masyarakat. Jika perbuatan baik kamu menjadi contoh kepada orang lain, kamu mendapat pahala.
‘‘Semoga dengan keberkatan Ramadan yang akan tiba nanti, kes ini juga menemui penyelesaiannya,’’ katanya.
Terdahulu, peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewakili Aidil selaku plaintif memaklumkan, pihaknya sudah menerima bantahan awal daripada Rita berhubung perintah kembali taat dan memerlukan masa 14 hari untuk menjawab bantahan itu.

Selesai kemelut secara baik – Berita Harian 10/7/2012

Selesai kemelut secara baik – Berita Harian 10/7/2012

Petaling Jaya: Pelakon, Rita Rudaini dan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam supaya menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, menasihatkan pasangan itu, sebagai individu dikenali umum supaya mencari jalan penyelesaian bagi menjernihkan kembali hubungan mereka kerana kes itu yang sering tertangguh akan memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat.

Berkat Ramadan

“Kalau tidak boleh hidup bersama lagi, lebih baik bercerai secara baik sekali gus kamu berdua sebagai pihak-pihak dikenali ramai akan mendapat ganjaran pahala. Semoga berkat Ramadan nanti ada penyelesaian,” katanya.

Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36, (defendan) hadir ke mahkamah semalam memakai baju kurung moden dan bertudung ungu ditemani peguam syarienya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain manakala Aidil Zafuan atau nama sebenarnya Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 25, (plaintif) tidak hadir dan diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari.
Ahmad Nazib memaklumkan anak guamnya tidak mendapat pelepasan untuk hadir ke mahkamah kerana perlu menjalani latihan bola sepak menentang Arsenal yang akan berlangsung dua minggu lagi.
Buka pintu perbincangan
Menjawab soalan Wan Mahyuddin, Rita Rudaini berkata beliau sedia berbincang dengan Aidil Zafuan sekiranya mendapat arahan daripada mahkamah manakala Ahmad Nazib menjelaskan anak guamnya membuka pintu perbincangan seluas-luasnya berhubung kes rumah tangga mereka.

“Perbincangan sebelum ini, mereka menuntut hampir setengah juta ringgit dan tiada perbincangan mengenai isu lain,” kata Ahmad Nazib.
Mohd Zaidi kemudian menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan anak guamnya tidak pernah berbincang mengenai wang jutaan ringgit sebaliknya hanya mengharapkan perbincangan sebenar dan bukannya permainan tarik tali antara kedua-dua pihak.
Serah bantahan awal
Terdahulu, Mohd Zaidi berkata, beliau sudah menyerahkan bantahan awal kes kembali taat itu kepada plaintif yang antara lainnya membantah berhubung isu bidang kuasa mahkamah.
“Mereka sudah tinggal berasingan sejak Januari 2012. Tetapi dalam afidavit dia (Aidil) masih guna pakai alamat tempat tinggal defendan (Rita) malah mengajak tinggal bersama tetapi tidak sebut alamat tetap. Sekejap Seremban, sekejap Petaling Jaya. Seolah-olah plaintif main-main dengan undang-undang seperti bermain bola sepak,” katanya.
Ahmad Nazib mengakui menerima afidavit itu dan memohon masa selama 14 hari untuk menjawab bantahan berkenaan, sebelum mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 7 Ogos depan.
Aidil Zafuan memfailkan perintah kembali taat terhadap Rita supaya isteri dan anaknya berpindah dari kediaman mereka ketika ini di Damansara ke rumahnya di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini pada 15 Mei lalu.