Sunday, June 12, 2011

Hanyut di malam Tahun baru

Hanyut di malam Tahun baru

Utusan Malaysia 10/06/2011


SYAKIRA dan Hafiz sudah berjanji akan menyambut Tahun Baru kali ini dengan suasana yang paling romantis kerana kebetulan ini merupakan tahun ketiga mereka berpacaran.

Lagipun kebetulan 1 Januari kali ni jatuh hari cuti, pada hari Sabtu dan kebetulan pensyarah juga awal-awal lagi sudah memaklumkan semua kelas telah dibatalkan.

Inilah masa yang dinantikan oleh Syakira dan Hafiz di mana awal-awal lagi telah menempah sebuah bilik hotel di tepian pantai yang tersohor itu.

Sebaik sahaja mendaftar dan mendapat kunci bilik, tiba-tiba sahaja Syakira terus sahaja memaut pinggang Hafiz sambil keduanya berjalan beriringan dengan penuh mesra ke bilik yang ditempah.

Memang Syakira sudah begitu mabuk dalam nafsu cinta, dia sudah lupa diri, lupa segala janji-janjinya pada kedua ibubapanya, lupa pada cita-cita yang ingin dikejar ketika di menara gading, dia cuma ingin dibelai dengan penuh kasih sayang oleh Hafiz pada malam itu.

Hafiz yang sudah lama mengidam saat ini sesungguhnya umpama seekor kucing yang pastinya tidak akan menolak ikan yang sedang bergolek untuk menyerah diri di depan matanya.

Syakira semakin hanyut dengan belaian Hafiz yang semakin lama semakin tidak membuang masa seolah-olah bagi tiada masa esok untuk mereka berdua.

Tiba-tiba terdengar ketukan yang begitu kuat dari luar yang menyedarkan kedua pasangan ini yang tengah asyik-masyuk dalam hawa nafsu.

Masing-masing seolah-olah bagai diketuk untuk segera bertindak mencari sebahagian pakaian yang sudah separuh bersepah di atas katil.

Bagaimanapun kedua pasangan ini bernasib baik kerana jika dengan kehadiran pasukan pencegah maksiat itu telah menyelamatkan mereka dari terjebak dalam penzinaan pada malam yang diagung-agungkan oleh manusia yang tidak takut dengan azab Allah.

Pasangan muda yang merupakan penuntut institusi pengajian tinggi itu telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya untuk dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad.Kedua tertuduh hadir ke mahkamah mengikut bon jamin penguatkuasa pada 11 Januari 2011.

Selepas pertuduhan dibacakan keduanya mengaku salah dengan sukarela dan memahami akibat pengakuan salah serta mengetahui hukuman yang bakal dijatuhkan.

Mengikut fakta kes, tertuduh lelaki berusia 20 tahun dan pasangannya 21 tahun adalah penuntut IPT tempatan.

Keduanya didakwa atas kesalahan khalwat di sebuah bilik hotel di Subang Jaya, Selangor pada pukul 4.15 pagi pada 1 Januari 2011.

Tertuduh lelaki telah ditahan ketika bersembunyi dalam bilik air dengan pakaian seluar panjang tanpa memakai baju. Manakala tertuduh perempuan yang telah membuka pintu utama waktu itu berseluar jeans dan berkemeja T.

Mahkamah merujuk kes itu sebagai perbuatan khalwat yang dilarang oleh agama Islam kerana ditakuti akan membawa kepada dosa lebih besar iaitu zina.

Wan Mahyuddin berkata, Allah telah berfirman di dalam surah al-Israa’ ayat 32 bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan).

Oleh itu, katanya, disebabkan perbuatan khalwat membawa masalah dalam diri dan masyarakat maka ia hendaklah dihindarkan dan dihapuskan.

Jelasnya, walaupun itu kesalahan pertama kedua tertuduh tetapi prinsip mencegah diutamakan demi kebaikan dan pengajaran kepada kedua tertuduh malah masyarakat.

Mahkamah berpandangan walaupun kedua-dua tertuduh telah mengaku salah ia bukan salah satu faktor untuk meringankan hukuman kerana pengakuan bersalah tidak semestinya memberi keinsafan.

Dalam Islam keinsafan hendaklah bersekali dengan taubat.

Di dalam kes itu tiada keterangan yang menunjukkan tertuduh sudah bertaubat dan tiada keterangan akan bertaubat. Oleh itu mahkamah berpandangan dengan hukuman yang setimpal adalah salah satu cara bagi tertuduh menyedari dan menginsafi kepada Allah akan kesalahan yang telah dilakukan.

Mahkamah juga menimbangkan hukuman setimpal kerana keduanya pelajar IPT dan diharapkan hukuman itu akan menjadi pengajaran kepada mahasiswa lain supaya tidak menggunakan tiket sebagai pelajar untuk melakukan perbuatan melanggar hukum syarak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua tertuduh, mahkamah berpandangan pembayaran denda bukanlah cara terbaik untuk menginsafkan kedua tertuduh yang masih lagi belajar dan memerlukan duit untuk membeli kelengkapan pelajaran.

Begitu juga dengan hukuman penjara ia bukanlah hukuman baik ke atas tertuduh kerana ia boleh memberi kesan psikologi memandangkan terpaksa bergaul dengan pesalah lain yang telah disabitkan melakukan kesalahan berat di sisi undang-undang jenayah.

Bagi memberi keinsafan, kedua-dua tertuduh dihantar ke Pusat Pemulihan yang diluluskan oleh Majis Agama Islam Negeri Selangor.

Wan Mahyuddin dalam penghakimannya menjelaskan mahkamah berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh di bawah Seksyen 29 (1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No.9 1995 di atas tuduhan berkhalwat, fakta kes, pertimbangan rayuan tertuduh dan hujah pendakwa syarie serta alasan-alasan lain.

Berikutan itu, katanya, mahkamah memerintahkan kedua tertuduh dihantar untuk pemulihan ke Pusat Pemulihan iaitu Baitul Iman selama tiga bulan.

Thursday, June 2, 2011

Ayah enggan jadi wali

Ayah enggan jadi wali

Utusan Malaysia 3/6/2011


ILA sudah tidak tahu hendak cakap apa lagi. Rancangan perkahwinannya dengan Adi sudah tertangguh masuk bulan kelima.
Dia dan Adi sudah lama menjalin percintaan selama tujuh tahun memang dan keduanya memang berhajat sangat mendirikan rumah tangga sebaik sahaja masing-masing sudah mendapat kerja.
Bagaimanapun Ila juga tidak menyangka hari pertunangan dia dan Adi telah membongkar rahsia kedua ibu bapanya yang telah disimpan selama 26 tahun.
Ila merasakan dunianya menjadi gelap seketika kerana tidak menyangka selama ini telah dibesarkan oleh ibu bapa angkat.
Bagaimanapun ayahnya berjanji untuk mencari ayah kandung Ila secepat mungkin demi untuk memastikan perkahwinannya berjalan dengan lancar.
Sayangnya setelah ayah kandung ditemui lain pula jadinya apabila dia enggan jadi wali.
Bapanya melahirkan rasa kecewa setelah mendapat tahu namanya disisihkan kerana Ila telah dibintikan dengan nama bapa angkat.
Berikutan itu Ila akhirnya membawa kes berkaitan dengan wali pernikahannya itu ke mahkamah supaya perkahwinannya dengan Adi akan terlaksana.
Kes seperti Ila ini juga pernah menjadi koleksi penghakiman Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.Salah satu kes berkaitan ini telah difailkan pada 2008 berhubung tuntutan untuk menggunakan wali hakim atas alasan defendan (bapa) enggan menjadi wali di dalam pernikahan yang dicadangkan.
Tuntutan ini dibuat di bawah seksyen 13 (b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Saman bagi kes ini telah sempurna kerana telah diserahkan oleh pihak peguam plaintif kepada defendan (bapa) melalui Mahkamah Rendah Syariah Kemaman, Terengganu dan satu affidavit penyampaian telah diserahkan ke mahkamah.
Namun, defenden masih tidak hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan tersebut dan sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung.
Oleh itu, kes ini telah diteruskan dengan keterangan pihak plaintif berasaskan seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.
Berikutan itu jika defendan tidak hadir maka mahkamah boleh tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya.
Berdasarkan fakta ringkas kes ini, plaintif telah diserahkan oleh bapa sebenar yang menjadi saksi di dalam kes ini sejak masih kecil.
Bapa angkat plaintif kemudiannya telah meletakkan nama beliau (jadi plaintif telah dibintikan dengan bukan nama bapa sebenar)
Jadi perkara ini yang menjadi punca defendan (bapa sebenar) enggan memberi kerjasama kerana tidak berpuas hati dengan tindakan bapa angkat plaintif seolah-olah menafikan defendan sebagai anaknya.
Mahkamah telah berpuas hati dengan keterangan saksi iaitu bapa angkat plaintif sendiri.
Bapa angkat plaintif sebenarnya telah berusaha secara lisan dan bersurat bagi memujuk defendan supaya menjadi wali dan memberi keizinan atas pernikahan yang dicadangkan namun defendan masih tidak bersetuju menjadi wali.
Oleh itu kes ini telah di bawa ke mahkamah untuk mendapatkan kebenaran bernikah secara wali hakim disebabkan oleh keengganan wali sebenar untuk berbuat demikian.
Dalam hal akad perkahwinan wali yang dimaksudkan ialah ke atas wanita di dalam sesuatu akad perkahwinan, sama ada wali mujbir atau wali bukan mujbir atau Sultan (Qadhi) bagi orang yang tidak berwali.
Kewajipan wali di dalam aqad pernikahan adalah wajib menurut hukum syarak. Jika kesemua wali di atas tidak ada, walinya adalah wali Sultan sebagaimana hadis yang bermaksud; 'Sultan (pemerintah) menjadi wali kepada sesiapa yang tidak ada wali.'
Setelah mahkamah mendengar keterangan plaintif serta saksi dan hujah yang dikemukakan mahkamah berpuashati membuat keputusan iaitu:
Setelah itu, Wan Mahyuddin memutuskan mahkamah mensabitkan ketidakhadiran defendan sebagai wali sebagai satu qarinah membenarkan plaintif bernikah menggunakan wali hakim.

Zakiah Anas Enggan Kembali Kepada Suami Lagi

Zakiah Anas Enggan Kembali Kepada Suami Lagi

Personaliti TV3, Zakiah Anas menegaskan bahawa dia tidak akan kembali ke pangkuan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib sekalipun lelaki tersebut berubah sikap.
Zakiah juga mengakui bahawa dirinya tidak mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada Mohamad Yusof selain tiada persefahaman dalam perkahwinan yang dibina sejak 18 tahun lalu.
Sehubungan itu, wakil hakam (penimbangtara) Zakiah, Muhammed Shouib Awalludin membuat kesimpulan menasihatkan Mohamad Yusof untuk menceraikan isterinya dengan lafaz talak satu.
Perkara itu dinyatakan oleh Muhammed Shouib, yang merupakan seorang bekas kadi dalam laporan hakam tersebut yang dibentangkan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.
Dalam majlis hakam, Mohamad Yusof diwakili oleh seorang imam masjid, Mohd. Azizi Mohd. Yaakob.
Sekiranya Zakiah nekad untuk tidak kembali ke pangkuan suami, Mohamad Yusof pula nekad untuk tidak mahu melafazkan cerai.
Mohamad Yusof berhasrat untuk menyelamatkan ikatan perkahwinan tersebut kerana dia masih sayang kepada Zakiah dan tidak mahu krisis rumah tangga mereka memberi kesan terhadap dua anak lelaki mereka.
Menurut Mohd. Azizi, selain itu Mohamad Yusof ingin menyelamatkan Zakiah yang kian hanyut dengan memberi perumpamaan seperti `sampan yang hanyut dalam lautan luas’ kerana meninggalkan rumah tanpa izinnya.
Ekoran itu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad memutuskan agar wakil hakam itu untuk sekali lagi mencuba mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga pasangan tersebut.
Bagaimanapun tiada tarikh yang ditetapkan untuk perintah tersebut dilaksanakan.
Pada prosiding itu, Zakiah diwakili peguam syarie Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof tidak diwakili peguam syarie.
Keretakan rumah tangga pasangan tersebut bermula sejak tahun 2009 apabila Zakiah, 45, memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di MahkamahRendah Syariah Shah Alam.
Dia kemudiannya meminda permohonan itu sebanyak dua kali, iaitu kepada fasakh dan taklik sebelum menarik semula permohonan pada 1 September 2009. Serentak dengan penarikan itu, Mohamad Yusod, 49, menarik semula permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkannya.
Pada Januari 2010, Zakiah sekali lagi memfailkan permohonan untuk berceraisecara baik yang berlanjutan sehingga kini. Zakiah dan Mohamad Yusof dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15 tahun.

Tuntut fasakh selepas suami lumpuh

ARKIB : 20/05/2011 Utusan Malaysia
Tuntut fasakh selepas suami lumpuh
Nadirah memang dikenali gadis paling cantik di kawasan perumahan separuh elit tidak jauh dari pusat bandar.
Dalam ramai-ramai jejaka yang masuk meminang, Faris memang bernasib baik. Walaupun tidak berjawatan besar tetapi dia yang menjadi pilihan Nadirah.
Nadirah sebenarnya dalam diam-diam memang meminati Faris, jejaka tinggi lampai yang paling kacak dan pernah menjadi seniornya di sekolah.
Bagaimanapun ketika itu, Nadirah cuma melihat Faris dari jauh sahaja dan memang dia berangan-angan memiliki jejaki itu pada suatu hari nanti.
Nadirah akui perkahwinan mereka cukup bahagia sehinggalah dikurniakan cahaya mata yang ketiga apabila Faris semakin banyak berubah seperti tidak sihat.
Sudah puas Nadirah memujuk Faris untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tetapi suaminya berdegil kononnya dia memang tidak ada apa-apa masalah.
Sehinggalah suatu hari dia mendapat panggilan telefon bahawa suaminya terjatuh ketika sedang bermesyuarat di tempat kerja.
Faris telah disahkan doktor telah diserang angin ahmar sehingga membuatkan dia lumpuh separuh badan.
Semenjak itu kehidupan yang dilalui Nadirah semakin hari semakin rumit.
Mana lagi hendak menguruskan Faris yang kini seperti 'mayat hidup' yang sudah berlarutan hingga masuk tahun ketiga. Pada masa sama hendak diuruskan anak-anak, rumah dan dia sendiri juga harus bekerja untuk menyara keluarga.
Setiap malam dia cuma mampu memandang sepi ke arah Faris yang kini cuma sekujur tubuh yang hampir kaku.
Tubuh itu sudah tidak mampu lagi untuk memberikan dia belaian hangat seperti dahulu malah membiarkan Nadirah dibuai keresahan yang tidak ada penghujung.
Nadirah bernasib baik apabila beberapa bulan lalu mertuanya datang untuk mengambil Faris pulang ke kampung halaman bagi mengurangkan beban yang ditanggungnya selama ini.
Sementara itu sudah beberapa lama rakan sepejabatnya, Khairil seorang duda beranak dua yang cuba menjinakkan hati Nadirah.
Usaha Khairil yang tidak mengenal jemu itu membuatkan Nadirah mengalah dan mula meletakkan duda itu sebagai cintanya yang baru.
Kini Khairil adalah segala-galanya kepada Nadirah kerana walaupun lelaki itu tidak sekacak Faris tetapi telah berjaya membebaskan dirinya daripada cerita sengsara sekali gus meronakan lagi jiwanya dengan nikmat kebahagiaan.
Pada suatu minggu, Khairil mengajaknya untuk ke tepian pantai bagi menikmati keindahan matahari terbenam di ufuk timur.
Khairil yang sekian lama menunggu peluang untuk berdua-duaan itu cuba mengocak jantung Nadirah dengan belaian yang membuatkan dia hampir lemas dihanyut gelora asmara.
Mujurlah Nadirah tidak terleka dengan godaan syaitan kerana sedar dia masih berstatus isteri orang.
Khairil kemudiannya mengulangi perkataan maaf dan berjanji untuk mengambil Nadirah sebagai isteri yang sah selepas selesai memohon tuntutan fasakh di mahkamah.
Untuk membolehkan dia hidup bersama khairil, Nadirah akhirnya memfailkan cerai terhadap suaminya yang kini lumpuh.
Dalam kes itu permohonan ceraikan dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.Fakta kes menyebut si isteri memohon cerai fasakh dengan alasan defendan iaitu suaminya telah cuai memberi nafkah melebihi tiga bulan.
Si isteri juga mendakwa suaminya tidak menunaikan nafkah batin selama satu tahun sejak sehingga tarikh permohonan fasakh kerana sakit angin ahmar.
Kes ini telah dibicarakan sebelah pihak dan keterangan dikemukakan secara lisan dan afidavit.
Plaintif telah menyediakan dua orang saksi bagi menyokong permohonan itu yang merupakan kenalannya dan mereka mengetahui apa yang dialami oleh pihak plaintif.
Mahkamah juga mendapati keterangan plaintif memenuhi peruntukan dalam seksyen 73 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syaraih 2003.
Setelah mendengar keterangan si isteri, saksi dan sumpah istizharnya maka mahkamah memfasakkan pernikahan itu.
Malah mahkamah juga telah mensabitkan defendan telah cuai atau gagal menyediakan nafkah zahir yang mencukupi ke atas plaintif dalam tempoh bulan tanpa alasan yang munasabah.
Defendan juga tidak menunaikan nafkah batin kepada plaintif sehinggalah kes diputuskan.
Dengan itu mahkamah mensabitkan perbuatan defendan yang tidak memberi nafkah ke atas plaintif dengan mencukupi dalam tempoh tersebut telah mendatangkan kemudaratan ke atas diri plaintif.

Kes Khalwat Razak Ahamd

Pendakwa serah jawapan bertulis kes khalwat Razak – 27 Mei 2011 – Utusan Malaysia

PETALING JAYA 26 Mei – Pihak pendakwa syarie hari ini menyerahkan jawapan bertulis di Mahkamah Rendah Syariah di sini berhubung kes terhadap pelakon Abdul Razak Ahmad yang menghadapi tuduhan khalwat dengan seorang wanita
berstatus isteri orang, lima tahun lalu.
Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berbuat demikian selepas artis itu yang diwakili peguam syarie Mohd. Azman Karim mengemukakan hujahan balas pada 28 April lalu.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad sebelum ini menetapkan 30 Jun ini untuk menentukan sama ada Abdul Razak dibebaskan atau dipanggil membela diri berhubung kes khalwat berkenaan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Shafezan berkata, dalam hujah bertulisnya, elemen kes yang didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 telah dibuktikan melalui penangkapan tertuduh bersama seorang wanita yang bukan isterinya dalam sebuah rumah.
Dramatis itu yang sering memegang watak 'ustaz' dalam drama televisyen, hadir pada prosiding hari ini.
Abdul Razak, 44, didakwa berada bersama Selamah Sahudin, 43, dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006.
Ketika pertama kali didakwa pada 14 September tahun yang sama, Abdul Razak memohon dibicarakan tetapi Selamah didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan selepas mengaku melakukan perbuatan itu.
Jika sabit kesalahan, Abdul Razak boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Padah Kahwin Lari

Padah kahwin lari – 27 Mei 2011 – Utusan Malaysia
LIZA betul-betul sudah 'angau' dan tidak boleh melupakan Rahmat walau sedetik pun. Leteran ibu dan ayahnya supaya jangan sesekali terjebak dengan Rahmat yang sememang sedia diketahui adalah suami orang tidak menjadi kudis kepada Liza.
Pedulikan semua itu kerana yang penting lelaki yang bertakhta di hatinya itu melayan dirinya bagai seorang puteri.
Cinta gila itu juga yang merasuk Liza untuk mengikut sahaja telunjuk Rahmat supaya mereka kahwin lari di Thailand.
Sudah menjadi lumrah, akhirnya belang sebenar Rahmat tidak mampu ditutup lama-lama, semakin hari perangainya mulai berubah.
Bukan sahaja sudah mula jarang balik rumah, paling Liza tak tahan apabila dia kerap menjadi sasaran Rahmat melepas geram setiap kali lelaki itu menghadapi masalah.
Liza cuma mampu menangis seorang diri kerana jika masalah itu dikongsi dengan keluarga pasti mereka akan memulangkan paku buah keras kepadanya.
Silap Liza juga kerana terlalu percayakan lelaki itu yang tidak disangka begitu mudah berubah hati dan langsung tidak bertanggungjawab untuk memberi nafkah ke atas dirinya.
Liza terpaksa menanggung segalanya kerana Rahmat memberikan pelbagai alasan sedang menghadapi masalah kewangan yang tenat.
Malah jauh di sudut hati, Liza juga telah lama tidak 'berselera' nak melayan Rahmat kerana di dalam hatinya semakin lama berbuku dengan perasaan geram dan tercabar.
Akhirnya Liza membuat keputusan untuk menuntut fasakh di mahkamah kerana Rahmat bukan sahaja sudah lama tidak pulang ke rumah malah dia mendengar cerita sudah menambah 'cawangan baru'.
Akhirnya Liza memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (EUKIS 2003).
Walaupun perkahwinan plaintif dan defendan itu didaftarkan di Perak, mahkamah mempunyai kuasa mendengar kes itu kerana plaintif tinggal dalam daerah Gombak, Selangor.
Perkahwinan itu juga mengikut syarak dan memenuhi peruntukan seksyen 45 EUKIS 2003.
Alasan plaintif memohon cerai fasakh dalam pernyataan tuntutan pindaan itu kerana defendan cuai memberi nafkah kepada plaintif melebihi tiga bulan.
Defendan juga selalu menyakiti plaintif, berperangai keji dan tidak berlaku adil di dalam perkahwinan poligami.
Plaintif telah menyediakan tiga orang saksi yang disepina bagi menyokong permohonan itu iaitu anak dan dua jirannya.
Berhubung dakwaan pertama iaitu nafkah, mahkamah berpuas hati menerima keterangan plaintif yang menyatakan defendan telah tinggal berasingan. Dalam tempoh tersebut tiada nafkah mencukupi yang dihantar kepada plaintif.
Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan bahawa defendan tidak menyediakan tempat tingggal kerana rumah yang diduduki bersama defendan adalah milik plaintif.
Bagi alasan kedua pula, defendan selalu menyakiti fizikal plaintif sehingga menjadikan kehidupannya menderita dan mahkamah mendapati keterangan itu disokong oleh qarinah atau keterangan lain misalnya laporan polis dan perubatan.
Dakwaan ini telah disokong oleh saksi (anak plaintif) yang telah melihat kejadian pukulan tersebut dan kesan pukulan ke atas plaintif selepas dua bulan bersalin.
Keterangan plantif dan saksi-saksi diterima atas asas bayyinah serta qarinah dan kegagalan defendan hadir bagi menjawab dakwaan dan tuntutan plaintif menunjukkan secara qarinah defendan merestui perkahwinan ini difasakhkan.
Oleh kerana defendan tidak hadir ke mahkamah dan gagal memberi keterangan membela diri, maka berdasarkan hukum syarak dan peraturan di dalam Arahan Amalan No.1 Tahun 2003 JKSM, mahkamah mengarahkan plaintif bersumpah istizhar bagi mengelakkan tohmah sebelum keputusan dibuat.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad mensabitkan defendan cuai atau gagal menyediakan bayaran nafkah zahir yang mencukupi ke atas plaintif dalam tempoh tiga bulan tanpa alasan yang munasabah.
Mahkamah mensabitkan perbuatan defendan yang tidak memberi nafkah ke atas plaintif dengan mencukupi dalam tempoh tersebut telah mendatangkan kemudaratan ke atas diri plaintif.
Malah mahkamah mensabitkan plaintif tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah.
Mahkamah mensabitkan defendan tidak berlaku adil di dalam perkahwinan poligami, menganiaya plaintif dengan lazim menyakiti pihak plaintif berdasarkan laporan perubatan dan laporan polis.
Mahkamah kemudiannya memfasakkan pernikahan antara plaintif dan defendan.