Thursday, June 2, 2011

Ayah enggan jadi wali

Ayah enggan jadi wali

Utusan Malaysia 3/6/2011


ILA sudah tidak tahu hendak cakap apa lagi. Rancangan perkahwinannya dengan Adi sudah tertangguh masuk bulan kelima.
Dia dan Adi sudah lama menjalin percintaan selama tujuh tahun memang dan keduanya memang berhajat sangat mendirikan rumah tangga sebaik sahaja masing-masing sudah mendapat kerja.
Bagaimanapun Ila juga tidak menyangka hari pertunangan dia dan Adi telah membongkar rahsia kedua ibu bapanya yang telah disimpan selama 26 tahun.
Ila merasakan dunianya menjadi gelap seketika kerana tidak menyangka selama ini telah dibesarkan oleh ibu bapa angkat.
Bagaimanapun ayahnya berjanji untuk mencari ayah kandung Ila secepat mungkin demi untuk memastikan perkahwinannya berjalan dengan lancar.
Sayangnya setelah ayah kandung ditemui lain pula jadinya apabila dia enggan jadi wali.
Bapanya melahirkan rasa kecewa setelah mendapat tahu namanya disisihkan kerana Ila telah dibintikan dengan nama bapa angkat.
Berikutan itu Ila akhirnya membawa kes berkaitan dengan wali pernikahannya itu ke mahkamah supaya perkahwinannya dengan Adi akan terlaksana.
Kes seperti Ila ini juga pernah menjadi koleksi penghakiman Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.Salah satu kes berkaitan ini telah difailkan pada 2008 berhubung tuntutan untuk menggunakan wali hakim atas alasan defendan (bapa) enggan menjadi wali di dalam pernikahan yang dicadangkan.
Tuntutan ini dibuat di bawah seksyen 13 (b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Saman bagi kes ini telah sempurna kerana telah diserahkan oleh pihak peguam plaintif kepada defendan (bapa) melalui Mahkamah Rendah Syariah Kemaman, Terengganu dan satu affidavit penyampaian telah diserahkan ke mahkamah.
Namun, defenden masih tidak hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan tersebut dan sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung.
Oleh itu, kes ini telah diteruskan dengan keterangan pihak plaintif berasaskan seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.
Berikutan itu jika defendan tidak hadir maka mahkamah boleh tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya.
Berdasarkan fakta ringkas kes ini, plaintif telah diserahkan oleh bapa sebenar yang menjadi saksi di dalam kes ini sejak masih kecil.
Bapa angkat plaintif kemudiannya telah meletakkan nama beliau (jadi plaintif telah dibintikan dengan bukan nama bapa sebenar)
Jadi perkara ini yang menjadi punca defendan (bapa sebenar) enggan memberi kerjasama kerana tidak berpuas hati dengan tindakan bapa angkat plaintif seolah-olah menafikan defendan sebagai anaknya.
Mahkamah telah berpuas hati dengan keterangan saksi iaitu bapa angkat plaintif sendiri.
Bapa angkat plaintif sebenarnya telah berusaha secara lisan dan bersurat bagi memujuk defendan supaya menjadi wali dan memberi keizinan atas pernikahan yang dicadangkan namun defendan masih tidak bersetuju menjadi wali.
Oleh itu kes ini telah di bawa ke mahkamah untuk mendapatkan kebenaran bernikah secara wali hakim disebabkan oleh keengganan wali sebenar untuk berbuat demikian.
Dalam hal akad perkahwinan wali yang dimaksudkan ialah ke atas wanita di dalam sesuatu akad perkahwinan, sama ada wali mujbir atau wali bukan mujbir atau Sultan (Qadhi) bagi orang yang tidak berwali.
Kewajipan wali di dalam aqad pernikahan adalah wajib menurut hukum syarak. Jika kesemua wali di atas tidak ada, walinya adalah wali Sultan sebagaimana hadis yang bermaksud; 'Sultan (pemerintah) menjadi wali kepada sesiapa yang tidak ada wali.'
Setelah mahkamah mendengar keterangan plaintif serta saksi dan hujah yang dikemukakan mahkamah berpuashati membuat keputusan iaitu:
Setelah itu, Wan Mahyuddin memutuskan mahkamah mensabitkan ketidakhadiran defendan sebagai wali sebagai satu qarinah membenarkan plaintif bernikah menggunakan wali hakim.

No comments:

Post a Comment