Friday, November 25, 2011

Suami digoda selebriti

Utusan Malaysia 25/11/2011

Semakin hari Idah (bukan nama sebenar) mulai nampak perubahan yang begitu ketara ke atas suaminya, Salleh (bukan nama sebenar). Bukan sahaja semakin dingin terhadap dirinya bahkan juga pada anak-anak.
Jika berada di rumah pun Salleh lebih banyak mengisi masa dengan mengelamun sendirian.
Namun apa yang pasti sebahagian besar masanya dihabiskan di butik, menyiapkan tempahan pelanggan katanya.
Dia tahu suaminya kuat bekerja kerana pelanggan suaminya yang ramai itu bukan setakat orang biasa malah ada di antaranya orang kaya dan selebriti.
Dek selalu dikunjungi selebriti, akhirnya Salleh tergoda dengan salah seorang pelakon yang tidaklah popular mana, sekadar 'artis suam-suam kuku' saja.
Rahsia tersebut terbongkar apabila suatu hari Idah datang mengejut ke butik suaminya selepas menghantar anak ke sekolah.
Asal tujuan sekadar ingin menjengah Salleh tetapi terserempak pula dengan adegan 'belai-membelai' antara suaminya dengan pelakon tersebut di satu sudut di butik berkenaan.
Idah menjerit sekuat hati tetapi hatinya lebih sakit apabila Saleh pula yang terkejut dengan kedatangannya, memarahi dan terus menghalaunya keluar dari butik.
Hati Idah lebih kecewa apabila Salleh pulang ke rumah pada malam itu bukan sahaja sibuk mengambil semua bajunya malah sebelum keluar sempat melafazkan cerai talak satu.
Semenjak itu, Salleh pergi tanpa khabar berita meninggalkan segala tanggungjawab untuk menjaga anak-anak pada bahu Idah yang sememangnya tidak bekerja.
Tidak ada pilihan, Idah mengadu nasib ke Mahkamah Syariah Gombak Timur dan kesnya merupakan antara yang dikendalikan oleh Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Dalam kes ini plaintif telah memohon mutaah mengikut Seksyen 58 EUUKIS 2003 sebanyak RM10,000 dan nafkah anak seramai empat orang.
Plaintif dan defendan telah bercerai dengan talak satu setelah bernikah selama 14 tahun.
Berdasarkan keterangan pihak plaintif, dia hanya berpendidikan hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berstatus sederhana di mana sebelum dan semasa berkahwin plaintif bekerja sebagai tukang jahit.
Defendan pula adalah seorang tukang jahit dan dalam pembelaannya defendan mengaku mempunyai pendapatan RM1,800 sehingga RM2,500 sahaja.
Walau bagaimanapun plaintif tidak mengemukakan bukti berkenaan harta-harta defendan sama ada harta alih dan tidak alih sebagai asas tuntutan bayaran mutaah RM10,000.
Setelah menimbang keterangan plaintif dan defendan mahkamah percaya defendan bukanlah terdiri daripada golongan berada.
Defendan adalah orang biasa yang bekerja sebagai tukang jahit dan mempunyai pendapatan tidak melebihi RM2,500 dan ini tidak termasuk kos-kos lain yang perlu ditanggung olehnya.
Walau bagaimanapun secara bayyinahnya pada pandangan mahkamah, defendan masih lagi berkemampuan untuk membayar mutaah setelah dikaji dari segi pekerjaan dan kemampuannya mencari rezeki.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 236 maksudnya, "Suami yang senang hendaklah memberi saguhati mengikut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula mengikut ukuran kemampuannya.''
Berdasarkan kepada dalil di atas, mahkamah berpuas hati bahawa defendan adalah seorang yang dikira berkemampuan untuk membayar nafkah kerana mempunyai pendapatan.
Setelah mahkamah mengambil kira keterangan plaintif dan saksi serta sumpah istizhar plaintif maka Wan Mahyuddin mensabitkan plaintif berhak mendapat mutaah dan nafkah anak-anak daripada defendan.
Defendan diperintahkan membayar mutaah kepada plaintif sebanyak RM4,000.
Defendan juga diperintahkan membayar nafkah anak-anak seramai empat orang sebanyak RM400 seorang sebulan bermula dari keputusan hukuman.
Selain itu, mahkamah juga memerintahkan defendan menjelaskan bayaran mutaah kepada plaintif pada tarikh yang ditetapkan.

Saturday, November 12, 2011

SUAMI SAKIT JIWA, ISTERI DIPUKUL, DIABAI

Utusan Malaysia 11/11/2011

Milah memang macam tak ada hati sahaja apabila dipinang oleh keluarga Rahmat kerana pada masa itu dia lebih rela mencari nafkah untuk membantu keluarganya yang susah.
Tapi ibunya begitu mendesak kerana bimbang jika anak ketiganya itu tidak akan berkahwin jika asyik menanggung keluarga sedangkan usia sudah menginjak 30 tahun.
Pada awal perkahwinan, memang Milah tidak nampak sesuatu yang pelik pada diri Rahmat. Tetapi selepas melahirkan anak pertama ia mula merasakan sesuatu yang aneh pada diri suaminya itu.
Rahmat bukan sahaja sering meracau-racau sendirian tetapi mudah sangat berang tanpa sebab.
Pipi Milah yang putih melepak itu sudah beberapa kali ditampar oleh Rahmat cuma disebabkan hal-hal yang kecil termasuk lambat menyediakan makan tengah hari.
Itupun Milah boleh sabar lagi. Tetapi yang dia tidak tahan apabila semua barang keperluan dalam rumah itu termasuk makan dan minum, semua ditanggung olehnya sedangkan Rahmat lepas tangan sahaja.
Sudahlah tidak bekerja dan asyik tidur sahaja, Milah terpaksa mengambil upah menjahit baju untuk menambah pendapatan membeli barang keperluan.
Sejak akhir-akhir ini perangai meracau-racau Rahmat makin teruk, sekalipun sudah beberapa kali menerima rawatan di hospital dia masih belum menunjukkan petanda akan pulih.
Cuai
Kali ini Milah nekad. Dia akan menjejakkan kaki ke mahkamah syariah untuk memohon fasakh kerana dia sudah tidak tahan lagi tinggal sebumbung dengan Rahmat.
Kes Milah dan Rahmat ini difasakhkan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Mengikut fakta kes, Milah memfailkan tuntutan fasakh berdasarkan peruntukan Seksyen 47 yang kemudiannya dipinda kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (EUUKIS) 2003.
Sekalipun defendan tidak pernah hadir ke mahkamah tetapi kes itu telah diteruskan dengan keterangan plaintif berasaskan seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.
Seksyen ini memperuntukkan yang mana jika defendan tidak hadir, mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya.
Berdasarkan penyata tuntutan dan keterangan plaintif memohon cerai fasakh kerana defendan telah cuai atau gagal dalam memberi nafkah kepada plaintif melebihi tiga bulan - iaitu sejak mula pernikahan.
Selain itu defendan juga sering menyakiti atau menjadikan kehidupan plaintif menderita, berperangai keji serta mempunyai masalah tekanan jiwa.
Malah defendan juga mempunyai penyakit mental serius yang memudaratkan rumahtangga serta kehidupan plaintif dan anak-anak.
Kes ini telah dibicarakan sebelah pihak dan keterangan dikemukakan secara lisan dan afidavit.
Daripada keterangan itu maka mahkamah berpuas hati menerima dua dakwaan plaintif iaitu defendan cuai atau gagal dalam memberi nafkah kepada plaintif melebihi tiga bulan - iaitu sejak mula pernikahan.
Selain itu defendan juga mempunyai penyakit mental yang serius sehingga memudaratkan rumahtangga serta kehidupan plaintif dan juga anak-anak.
Berkenaan dengan ketiadaan bayaran nafkah, mahkamah merujuk dalam kaedah fiqhiyyah iaitu al-aslu al-adamu bermaksud asal sesuatu itu tiada, maka beban membuktikan adanya pemberian nafkah terletak kepada defendan.
Manakala dakwaan defendan berpenyakit mental pula mahkamah berpuas hati untuk menerima keterangan bahawa defendan telah dimasukkan ke hospital beberapa kali.
Plaintif juga telah hilang keyakinan defendan untuk kembali normal. Bagi membuat keputusan itu mahkamah merujuk kepada sabda Rasululah SAW yang bermaksud, "Tiada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan."
Jika dalam perkahwinan, pihak terbabit tidak lagi mendatangkan kasih sayang maka ia wajar dibubarkan mengikut hukum syarak.
Setelah mendengar keterangan plaintif, keterangan saksi dan sumpah istizhar plaintif maka Wan Mahyuddin mensabitkan defendan telah cuai atau gagal menyediakan bayaran nafkah zahir yang mencukupi ke atas plaintif dalam tempoh tiga bulan tanpa alasan yang munasabah sejak awal pernikahan sehinggalah kes ini diputuskan.
Jelasnya, ini kerana defendan juga seorang yang berpenyakit mental yang serius sehingga memberi kemudaratan kepada plaintif dan anak-anak.
Berikutan itu mahkamah memerintahkan pernikahan antara plaintif dan defendan yang diakadkan pernikahan difasakhkan.

SULH SELESAI KES LUAR MAHKAMAH

Utusan Malaysia 4/11/2011

SINAR mata Zulaikha memang cukup membuatkan Rizal penasaran sehingga lelaki itu tidak kisah sekalipun koceknya berisi sehingga pertengahan bulan sahaja.
Biarpun sekarang dia senang hati kerana telah melepaskan isterinya, Suhana beberapa bulan lalu tetapi dia sebenarnya lupa bahawa lima anaknya itu masih perlu untuk makan, minum dan belanja persekolahan.
Tambahan pula isterinya pula hanya menjual nasi lemak di mana mulai pukul empat pagi sudah bersengkang mata untuk menanak nasi dan menyediakan lauk-pauk untuk dijual di gerai seberang jalan rumah mereka.
Zulaikha pula tidak peduli asalkan mana-mana jantan akan dikikisnya lagi pun inilah masanya untuk meminta macam-macam sementara masih disayangi.
Janda muda ini tidak rugi apa-apa kerana dia sudah biasa melayan dari satu lelaki ke satu lelaki asalkan hidupnya mewah tanpa mempedulikan sumbernya halal atau haram.
Rizal pula pada suatu hari tergamam dan mati akal seketika apabila mendapat surat dari Mahkamah Syariah.
Mana tidaknya dek terlampau seronok benar di alam cinta dengan janda muda itu sehingga dia terlupa untuk memberikan nafkah kepada kelima-lima anaknya.
Menamatkan pertikaian
Hakim Wan Mahyuddin bin Wan Muhammad di Mahkamah Syariah Petaling Jaya juga turut memutuskan kes yang telah berjaya diselesaikan menerusi kaedah persetujuan bersama (sulh).
Salah satunya mengenai kes di mana Suhana dan Rizal telah bersetuju untuk menyelesaikan kes Saman Penghutang Penghakiman untuk tunggakan nafkah anak-anak sebanyak lima orang yang berumur antara dua hingga 17 tahun mengikut kaedah sulh.
Alasan penghakiman di mana terma sulh mengandungi pengertian umum, mencakup sulh dalam lapangan harta benda, sulh dalam urusan rumah tangga, sulh dalam peperangan dan sulh yang dilakukan antara sesama Islam dan antara Islam dengan bukan muslim.
Sulh secara umumnya bermaksud menamatkan pertikaian.
Secara terminologi pula sulh bermaksud 'akad' atau perjanjian yang mengakhiri pertikaian antara dua orang yang bersengketa secara damai.
Menyelesaikan pertikaian secara damai adalah berdasarkan kerelaan dari kedua belah pihak untuk menamatkan pertikaian mereka.
Islam memuji perbuatan seperti itu seperti mana ditegaskan dalam surah al-Nisa' ayat 128 yang membawa bermaksud: 'Perdamaian itu adalah perbuatan yang baik'.
Ayat ini adalah di antara dalil-dalil yang membolehkan perdamaian.
Dalam menyelesaikan pertikaian, Rasulullah SAW sendiri langkah pertama yang dilakukannya adalah mendamaikan.
Hakikatnya proses penyelesaian pertikaian secara sulh memang amat digalakkan dan ia merupakan kaedah penyelesaian terbaik yang diakui oleh Islam.
Umar bin al-Khattab seorang yang dikenali pakar dalam penghakiman Islam telah mengingatkan para hakim supaya berusaha semaksimum mungkin untuk menganjurkan sulh.
Diriwayatkan bahawa Umar telah berkata: "Hendaklah disuruh mereka yang bertikai itu supaya membuat penyelesaian sesama mereka secara damai, kerana jika diselesaikan secara kehakiman (berdasarkan keputusan hakim) akan menimbulkan perasaan benci dan dendam."
Umar juga menegaskan: "Sulh adalah harus. Hakim hendaklah memberi peluang kepada pihak-pihak yang bertikai melaksanakan sulh. Namun demikian hendaklah difahami bahawa sulh tidak boleh dilakukan untuk menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal."
Untuk membuat keputusan di dalam kes ini mahkamah telah merujuk peruntukan seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan seperti berikut;
Maka berdasarkan persetujuan bersama secara sulh yang diakui oleh kedua-dua pihak maka dengan itu mahkamah memerintahkan defendan membayar nafkah lima orang anak yang berumur antara 2 hingga 17 tahun berdasarkan kepada persetujuan bersama (sulh).
Berikutan itu Wan Mahyuddin memerintahkan defendan membayar nafkah anak yang tertunggak sebanyak RM3,000 kepada plaintif.
Sekiranya pihak defenden gagal melaksanakannya maka boleh dianggap menghina perintah mahkamah ini.