Wednesday, August 8, 2012

Isteri atau main bola?’


Harian Metro 8/8/2012 . PETALING JAYA: “Saya minta peguam nasihatkan plaintif supaya ambil kira mana lebih afdal, kes mahkamah atau main bola. Kes mahkamah mengenai hubungan suami isteri, plaintif kena korban salah satu,” kata Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Wan Mahyuddin menasihatkan demikian terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak yang tidak hadir ke mahkamah pada prosiding permohonan kembali taat difailkan Aidil terhadap isterinya pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar kerana menjalani latihan bola sepak selama dua minggu di Austria. Menurutnya, Aidil perlu memberi lebih kepentingan kepada kes mahkamah kerana ia membabitkan soal hidup mati, anak-anak serta dosa pahala.

 
Nasihat itu diberikan berikutan permintaan peguam syarie Datuk Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita Rudaini supaya Aidil mengemukakan dokumen atau bukti kepada mahkamah berhubung ketidakhadirannya pada prosiding kes itu.

“Alasan diberikan plaintif munasabah, namun plaintif sepatutnya kepilkan dokumen atau bukti menyatakan alasan tidak dapat hadir, bukannya disampaikan secara lisan saja,” katanya.

Justeru, peguam syarie Noor Azlina Che Hasan yang mewakili Aidil berjanji pihaknya akan mengemukakan salinan surat kepada mahkamah dan pihak Rita Rudaini yang menyatakan Aidil tidak dapat hadir kerana mempunyai latihan bola sepak.

Terdahulu, Noor Azlina yang hadir mewakili peguam Aidil, Ahmad Nazib Johari memaklumkan kepada mahkamah pihaknya memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita Rudaini berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.

Merujuk kepada arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berbincang bagi mencapai jalan penyelesaian, Noor Azlina memberitahu setakat ini tiada rundingan secara rasmi di antara kedua-dua pihak.

“ Setakat ini pihak kami ada berbincang dengan anak guam menyelesaikan perkara ini, tapi tiada kata putus sah daripada anak guam. Sekiranya ada penyelesaian, pihak kami memberi surat rasmi kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.

Pada prosiding semalam Rita Rudaini hadir berseorangan berbaju kurung moden dan bertudung biru lembut.

Aidil memfailkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita, 36, dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah disediakan Aidil di USJ1 di sini.

Pada tarikh sama, Aidil menarik balik permohonan cerai terhadap Rita Rudaini atas alasan ingin berbaik semula.

Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil. Mereka tinggal berasingan sejak lima bulan lalu selepas Aidil meninggalkan rumah mereka di Damansara di sini.



Aidil Disuruh Fokus Hal Kahwin

Kosmo 8/8/2012. PETALING JAYA – Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam meminta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak supaya memberi keutamaan kepada hal-hal perkahwinan berbanding dengan karier bola sepak.


Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, kes mahkamah ini melibatkan hubungan suami isteri dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main.

“Saya minta peguam nasihat plaintif (Mohd. Aidil) kena ambil kira mana lebih penting sama ada kes mahkamah atau main bola, kena korban salah satu, ini tentang hidup mati, pahala dosa, kalau tidak main bola tidak berdosa,” tegur Wan Mahyuddin dengan tegas.

Wan Mahyuddin berkata demikian semasa sebutan kes permohonan kembali taat yang difailkan Mohd. Aidil terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar supaya dia dan dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan di USJ1 di sini.

Perkara itu terbangkit susulan permintaan peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita supaya Mohd. Aidil mengemukakan dokumen berhubung ketidakhadiran plaintif dalam prosiding kes pasangan itu semalam.

Mohd. Aidil gagal menghadiri prosiding semalam kerana menjalani latihan bola sepak di Austria.

“Alasan yang diberi munasabah tapi perlu ada dokumen bertulis bukan secara lisan dan sambil lewa,” kata beliau.

Terdahulu peguam syarie Noor Azlina Che Hassan yang mewakili Mohd. Aidil memaklumkan plaintif kini berada di Austria selama dua minggu mulai 4 Ogos hingga 17 Ogos kerana latihan bola sepak.

Sehubungan itu, beliau yang hadir bagi pihak peguam syarie Ahmad Nazib Johari iaitu peguam kepada Mohd. Aidil bersetuju mengemukakan salinan surat pengesahan bertulis daripada plaintif sekiranya dia gagal hadir ke mahkamah kelak.

Noor Azlina berkata, dia juga telah memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.

Merujuk arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berunding bagi mencari jalan penyelesaian, peguam memberitahu setakat ini tiada rundingan dibuat secara rasmi antara kedua-duanya.

Wan Mahyuddin menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.

Permohonan kembali taat difailkan Mohd. Aidil pada 15 Mei lalu iaitu hari yang sama dia menarik balik permohonan cerai terhadap Rita walaupun mereka tidak lagi tinggal sebumbung selepas Mohd. Aidil bertindak meninggalkan rumah kelamin di Damansara.

Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Mohd. Aidil.





Hakim Tegur Aidil


Berita Harian 8/8/2012

Petaling Jaya: Hakim Syarie menasihatkan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan supaya tidak mempermainkan kes mahkamah dengan memberi alasan tidak boleh hadir kerana perlu menjalani latihan bola sepak.



Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, berkata plaintif atau nama sebenarnya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, 25, sepatutnya perlu mengambil kira mana yang lebih penting, sama ada kes mahkamah atau bermain bola sepak, kerana kehadirannya ke mahkamah membabitkan hubungan suami, isteri serta dua anaknya.


Aidil dinasihat segera selesaikan kes kembali taat

Utusan Malaysia. PETALING JAYA 7 Ogos - Seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini sekali lagi menasihati pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak agar segera menyelesaikan kes kembali taat yang dikemukakan terhadap isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar.


Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat teguran itu selepas Aidil buat kali kedua gagal hadir ke mahkamah hari ini.

Beliau menyatakan, Aidil perlu mempertimbangkan tindakan yang mana lebih afdal, hadir ke mahkamah menyelesaikan isu hubungan rumah tangga atau bermain bola sepak.

"Dia pelu mengorbankan salah satu. Kes ini tentang soal hidup, mati, anak, dosa dan pahala, jika tidak bermain bola tidak mendapat dosa," katanya kepada peguam syarie, Noor Azlina Che Hassan yang hadir bagi pihak peguam syarie yang mewakili Aidil, Ahmad Nazib Johari.

Thursday, August 2, 2012

Penjaga gol tidak hadir prosiding khalwat


2 Ogos 2012 - Kosmo

PETALING JAYA - Penjaga gawang Malaysia yang beraksi dalam perlawanan menentang Arsenal dan Manchester City bulan lalu, Mohd Farizal Marlias dikenakan perintah saman oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, kerana gagal hadir prosiding khalwat yang dikenakannya, semalam.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengeluarkan saman berkenaan kepada Mohd Farizal, 26, pasangannya Zaiton Othman, 29, serta penjamin mereka yang juga bekas pemain bola sepak Perak, Khairul Izwan Mohamed Jamaludin kerana turut tidak hadir.
Mohd Farizal dan pasangan sepatutnya hadir untuk sebutan pertama kes khalwat mereka hari ini.
Mereka didakwa berkhalwat di sebuah tempat di Petaling Jaya, pada awal pagi, 11 Oktober 2011.

Bagaimanapun, pada prosiding, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli memberitahu, beliau tidak menerima makluman mengenai ketidakhadiran Mohd Farizal Marlias dan Zaiton.

Shafezan memohon mahkamah mengeluarkan saman kehadiran terhadap pasangan itu serta penjamin mereka.

Mahkamah turut memerintahkan mereka hadir pada sebutan kes 13 September depan.

Wan Mahyuddin turut menegaskan sekiranya saman di luar bidang kuasa sudah diserahkan kepada Farizal tetapi masih gagal hadir pada tarikh akan datang, waran tangkap akan dikeluarkan.


Selepas prosiding kes itu tamat hampir satu jam, Khairul Izwan tiba berseorangan di mahkamah pada jam 1 tengah hari dengan membawa sijil cuti sakit Mohd Farizal tetapi tiada dokumen dikemukakan untuk mewakili Zaiton. Mohd Farizal kini adalah penjaga gawang pasukan Negeri Sembilan dan pernah mewakili skuad Shahzan Muda dan Perlis.



Penjaga gol kebangsaan tidak hadir tuduhan khalwat

Kosmo 3/8/2012 PETALING JAYA – Penjaga gol skuad kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias (gambar) yang sepatutnya dituduh di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam atas kesalahan berkhalwat dengan isteri orang tidak muncul di mahkamah semalam kerana kurang sihat.
Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berkata, penjamin Mohd. Farizal, 26, iaitu Khairul Izwan Mohamed Jamaluddin hadir untuk menyerahkan salinan sijil sakit kepada mahkamah sejurus prosiding berakhir.

Terdahulu, semasa kes khalwat Mohd. Farizal yang masih bujang disebut di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad, tertuduh yang juga penjaga gol utama skuad bola sepak Negeri Sembilan tidak kelihatan begitu juga dengan pasangannya, Zaiton Othman, 29.



Nash dakwa tidak pernah cerai Sosilawati-Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Penyanyi Jamaludin Elias atau Nash berkali-kali menegaskan, beliau tidak pernah menceraikan isterinya, jutawan produk kecantikan, Sosilawati Lawiya dan menganggap krisis rumah tangga yang dialami sebagai perkara biasa.

Nash memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini: "Dengan nama Allah, saya mengaku sejak mula bernikah sehingga ke hari ini, saya tidak pernah melafazkan cerai terhadap Sosilawati."

Terdahulunya, pada pukul 10.15 pagi, Nash telah beristighfar sebanyak tiga kali seterusnya mengucap dua kalimah syahadah bahawa segala keterangan diberikan adalah benar.

Nash yang dinamakan sebagai defendan menjawab dakwaan Sosilawati, 45, yang memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai kerana mendakwa Nash telah menceraikannya dalam perbualan telefon pada 12 September 2007.

Sosilawati mendakwa, Nash enggan pulang ke rumahnya di No. 9933, Jalan Harmoni, Taman Harmoni, Gombak dekat sini dengan alasan mereka bukan lagi suami isteri kerana beliau telah pun menceraikannya.

Plaintif itu juga mendakwa Nash telah menyatakan perkara yang sama kepada rakan karibnya, Abdul Jalil Ismail pada 17 September 2007.

Peguam syarie, Amli Embong sehubungan itu meminta kepastian, adakah Nash pada tarikh tersebut pernah menceraikan plaintif ataupun membuat pengakuan kepada sesiapa yang membawa maksud beliau telah menceraikan Sosilawati.

Nash, 48, sekali lagi menegaskan, beliau tidak pernah menceraikan Sosilawati seperti yang didakwa isterinya.

Pada peringkat soalan balas peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili pengasas produk kecantikan Nouvelles Visage, mencadangkan bahawa tujuan sebenar Sosilawati menelefon Nash pada 12 September 2007 untuk mengajak beliau balik semula ke rumah kerana penyanyi itu sudah lama tidak pulang.

Nash yang tidak bersetuju dengan kenyataan Mohd. Zaidi kemudiannya 'mendedahkan' versi beliau yang mendakwa krisis tersebut semata-mata berpunca daripada Sosilawati ketika perkahwinan baru berusia antara tiga dan empat bulan.

"Pada 12 September 2007, saya telah dimaki hamun oleh isteri yang bertanya mengapa saya tidak balik ke rumah. Beliau (Sosilawati) kata, tidak guna beliau kahwin. Kahwin pun macam tidak kahwin. Bila bergaduh sedikit, isteri saya akan minta cerai."

"Saya menceritakan perkara yang benar, semata-mata benar Yang Arif. Perkahwinan ini bukan yang pertama bagi saya. Ini perkahwinan saya yang kedua. Saya tahu lelaki tidak boleh menceraikan isteri di luar mahkamah," kata Nash.

Menurut bekas penyanyi utama kumpulan Lefthanded, pada tarikh itu, beliau baru sahaja pulang selepas selesai tugas luar.

Pada awal prosiding Mohd. Zaidi mengesahkan, tiada lagi saksi yang akan dipanggil pihaknya selepas Sosilawati dan Abdul Jalil Ismail, 50, (rakan karib Nash) memberikan keterangan.

Sehubungan itu, Mohd. Zaidi menegaskan, wajar mahkamah mengarahkan Nash memberikan keterangan lisan dan menyatakan kesanggupan untuk bersumpah syarie daripada kandang saksi.

Mahkamah bagaimanapun membuat keputusan belum membenarkan Nash untuk bersumpah hari ini meskipun penyanyi itu sedia berbuat demikian.

Sebaliknya, mahkamah mengarahkan Nash memberikan keterangan berhubung lafaz cerai yang didakwa isterinya.

Kelancaran posiding kerap tersekat-sekat ekoran bantahan peguam kepada soalan yang ditanya oleh Mohd. Zaidi. Sungguhpun begitu, prosiding telah dihiasi bahasa berbunga-bunga dan perumpamaan.

Misalnya peguam syarie, Ahmad Daud yang juga mewakili Nash membantah soalan Mohd. Zaidi berhubung krisis rumah tangga dihadapi pasangan itu.

Beliau membantah kerana soalan sepatutnya menjurus kepada isu pokok iaitu lafaz cerai yang didakwa plaintif yang kononnya telah dilafazkan anak guamnya (Nash).

"Jika isu krisis rumah tangga yang diperbincangkan di sini, nanti isu pinggan pecah pun akan ditimbulkan,", kata Ahmad.

Namun bagi Mohd. Zaidi, sebelum isu lafaz cerai yang timbul mestilah ada penyebabnya.

"Kalau tidak, masakan tiada angin, pokok bergoyang. Jika tiada lafaz cerai masakan anak guam saya sanggup membawa perkara ini ke mahkamah," tegas Mohd. Zaidi.

Ahmad mencelah: "Buah durian pun boleh jatuh tanpa ada angin. Sekarang cerai sudah dilafazkan, mengapa perlu kita membincangkan soal krisis rumah tangga lagi."

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohamad: "Baiklah. Cerita tentang angin, ia sudah dilafazkan tetapi plaintif gagal membuktikan bahawa ada angin, pokok bergoyang. Supaya angin tidak bertiup lebih kencang lagi, apa yang berlaku, sudah berlaku. Jadi mahkamah berharap pihak-pihak menumpukan soalan kepada lafaz cerai. Perkara sampingan boleh dikemukakan tetapi tumpuannya kepada lafaz cerai."

Selepas mendengar keterangan Nash, mahkamah telah menetapkan tiga tarikh iaitu 15 Ogos ini untuk Mohd. Zaidi memfailkan hujahan permohonan plaintif, manakala 2 September depan untuk Nash menyerahkan hujahan balas kepada mahkamah dan 16 September pula untuk pihak-pihak mengemukakan hujahan di akhir kes.

Mahkamah juga mengecualikan kehadiran plaintif dan defendan pada ketiga-tiga tarikh tersebut.



Nash cerai Sosilawati talak satu –Utusan Malaysia


Utusan Malaysia, 26/05/2009

KUALA LUMPUR 26 Mei - Ikatan perkahwinan antara penyanyi Nash dan jutawan produk kecantikan, Sosilawati Lawiya terlerai akhirnya pada pukul 11 pagi,setelah beliau bersetuju menceraikan isterinya itu dengan talak satu.

Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias melafazkan cerai dengan kebenaran mahkamah di hadapan hakim syarie, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Keramat, Wan Mahyuddin Wan Muhammad setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai secara baik.

Sebelum melafazkan cerai, Sosilawati memohon diberi peluang untuk memohon maaf kepada suaminya dan mereka dilihat saling bersalaman serta berpelukan di mahkamah terbuka.

Sejajar dengan persetujuan tersebut juga, mahkamah merekodkan persetujuan bahawa Sosilawati selaku plaintif memberi aku janji dan bersetuju menggugurkan semua permohonan beliau berkaitan nafkah idah, mutaah dan apa juga tuntutan lain bersangkutan nafkah tertunggak dan hutang yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah.

Sosilawati diperintahkan beridah tiga kali suci.

Selesai prosiding, Nash yang ditemui pihak media di luar mahkamah memberitahu bahawa beliau mendoakan agar bekas isterinya itu beroleh kesejahteraan di dunia dan akhirat.



Hakim: Perkahwinan Di Hotel Berakhir Di Hotel

Utusan Malaysia, KUALA LUMPUR, 2 SEPTEMBER 2010 : Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam, mengesahkan perceraian talak satu pemain badminton negara, Roslin Hashim dengan pasangannya Norhayati Othman, pada 7 Ogos lalu.
Hakim Syarie Mahyudin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan Norhayati, 38, yang juga Pengarah Pemasaran dan Promosi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dan Roslin, 35, dalam perbicaraan ringkas bulan lalu.
Mahyudin berkata, Roslin atau nama sebenarnya Muhamad Roslin Hashim bersetuju dengan ikrar dan mengakui berlakunya lafaz cerai berbunyi 'I cerai youlah,' di bilik 533 Hotel Corus di sini, jam 8.32 malam, pada 7 Ogos 2010.
Katanya, mahkamah bersetuju lafaz dibuat Roslin itu jelas ditujukan kepada Norhayati tanpa paksaan mana-mana pihak dan ia talak satu walaupun beliau tidak menyebut berapa talak dijatuhkan.
"Kes perceraian ini mengejutkan ramai pihak berikutan pasangan baru saja berkahwin. Apa yang dikesalkan perkahwinan yang berlangsung di hotel berakhir di hotel. Sepatutnya setiap masalah di bawa berbincang sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.
Wan Mahyuddin berkata, walaupun dalam keterangan Roslin sebelum ini mengatakan wujud unsur paksaan sehingga dia melafazkan cerai, beliau memutuskan ia tidak boleh diterima memandangkan ia paksaan berbentuk lisan dan bukan boleh mencederakan.
"Ia hanya secara lisan dan tidak memudaratkan tubuh badan. Suami masih ada pilihan melafazkan atau tidak. Mahkamah memberi ingatan kepada defendan dan umat Islam yang lain, perceraian di luar mahkamah hendaklah dielakkan kerana ia zalim dan mendatangkan keburukan.
"Setiap pasangan perlu mempunyai pengetahuan untuk memimpin rumah tangga, menjaga akhlak dan kewajipannya kepada keluarga kerana perkahwinan adalah ibadah yang berat. Kita hendaklah bertolak ansur dan bersabar apabila rumah tangga diuji oleh Allah. Lumrah akan ada perselisihan faham," katanya.
Pada 10 Ogos lalu, Norhayati (plaintif) melalui peguam syarie, Zulqarnain Lukman memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai kepada mahkamah sama manakala Roslin menerusi peguam syarie Roslizam Rahim tidak memfailkan sebarang pembelaan berikutan mengakui berlakunya kejadian berkenaan.
Sementara itu, Roslin ketika ditemui di luar mahkamah berkata dia tidak pernah serik untuk berkahwin lagi kerana dia memang mahukan perkahwinan yang berkekalan untuk selamanya.
"Bagaimanapun saya akur dengan kehendak Allah dan ini adalah takdir saya. Saya juga ingin jelaskan Raja Azmi tiada kaitan langsung dalam masalah perkahwinan saya," katanya.
Dia turut menjelaskan bahawa perceraiannya dengan Norhayati tidak mempunyai kaitan dengan Raja Azmi.
"Dia (Raja Azmi) tiada kaitan langsung dengan dalam masalah perkahwinan saya. Apa yang berbangkit sebelum ini tidak perlu dibahaskan kerana tujuan saya ke mahkamah untuk mendengar prosiding pengesahan lafaz cerai, tidak lebih daripada itu," katanya.
Roslin juga sempat menyampaikan pesanan kakak angkatnya, Raja Azmi Raja Sulaiman yang akan mengambil tindakan undang-undang atas mana-mana pihak yang mensensasikan nama penerbit filem '... Dalam Botol' itu dengan perceraian tersebut.

Sementara itu, ketika Roslin sedang membuat sidang media itu, terdapat seorang lelaki yang membawa dua buah beg bersaiz besar cuba memberikan barang-barang tersebut yang telah diletakkan di kaunter mahkamah kepada Nurhayati.
Ketika Roslin mengadakan sidang media, seorang lelaki meletakkan dua beg bersaiz besar di kaunter mahkamah sementara Norhayati yang ketika itu berada di pintu masuk mahkamah kemudian dengan nada suara yang lantang dan tegas berkata, "You can have your bag," (Awak boleh ambil beg awak!).
Roslin yang mendengar perkataan tersebut hanya tersenyum.
Pada prosiding terdahulu, Nurhayati dalam keterangannya menyatakan, dia bersama-sama keluarganya telah ke Hotel Corus selepas mendapati Roslin dan Raja Azmi juga berada di hotel itu.
Roslin dan Norhayati mendirikan rumah tangga pada 9 Julai lalu di Hotel Flamigo, Ampang. Ia perkahwinan kedua Roslin selepas dia mengejutkan ramai pihak apabila perkahwinan pertamanya dengan Faizah Mohamad, 32, pada 30 Januari 2009 hanya mampu bertahan selama 12 hari.

Monday, July 9, 2012

Rita, Aidil diarah selesai cara baik – Kosmo 10/7/2012

PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah di sini mengarahkan pasangan pelakon Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak supaya menyelesaikan kes rumah tangga mereka secara baik sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad berkata, sebagai pasangan yang dikenali ramai, mereka seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat supaya menjadi ikutan dan boleh mendapat pahala.
Rita Rudaini yang ditanya akan kesediaan untuk berbincang berkata: "Ya, saya sedia untuk bincang melalui arahan mahkamah."
"Kalau tidak boleh bersama, mahkamah tiada masalah untuk kamu bercerai, tindakan selepas ini perlu dibuat peguam masing-masing," kata Wan Mahyuddin semasa sebutan semula kes permohonan kembali taat yang difailkan plaintif, Aidil Zafuan, 24, terhadap isterinya selaku defendan.
Terdahulu, permohonan itu mendapat bantahan Rita Rudaini, 36, menerusi peguam syarie Datuk Zaidi Zain yang menimbulkan isu bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes berkenaan.
Menurut Zaidi, kes seumpama itu pernah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, namun telah ditarik balik plaintif yang tidak tinggal bersama dengan defendan sejak Januari 2012 tetapi dalam permohonan kembali taat, plaintif menyatakan alamatnya ialah rumah yang defendan duduki sekarang.
"Malah, plaintif ajak defendan tinggal bersama tetapi tidak sebut alamat mana, sekejap Seremban, sekejap Petaling Jaya main-main dengan undang-undang macam main bola," kata Zaidi lagi.

Tak tuntut RM500,000 – Harian Metro 10/7/2012

PETALING JAYA: Pasangan kontroversi, pelakon Rita Rudaini dan suaminya, pemain bola sepak Aidil Zafuan Razak dinasihatkan supaya menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.
Nasihat berkenaan diberikan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada prosiding kes permohonan perintah kembali taat dikemukakan Aidil Zafuan selaku plaintif terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
“Mahkamah harap supaya kes ini dapat diselesaikan secara baik. Kalau tidak boleh hidup bersama lagi, lebih baik bercerai secara baik.

“Bagi contoh yang baik kepada masyarakat kerana pihak-pihak dikenali ramai.
Semoga berkat bulan Ramadan nanti ada penyelesaian,” katanya.
Terdahulu pada prosiding semalam, peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Aidil Zafuan memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sudah menerima bantahan awal daripada Rita selaku defendan dan memerlukan masa 14 hari untuk menjawab bantahan awal itu.

Rita, Aidil diminta selesai kemelut rumah tangga secara baik – Utusan Malaysia 10/7/2012

Rita, Aidil diminta selesai kemelut rumah tangga secara baik – Utusan Malaysia 10/7/2012




PETALING JAYA 9 Julai - Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menasihati pelakon, Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak agar menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, sekiranya pasangan itu tidak mahu bersama lagi, mereka diharapkan dapat bercerai secara baik.
‘‘Kamu berdua dikenali umum, tunjukkan contoh baik kepada masyarakat. Jika perbuatan baik kamu menjadi contoh kepada orang lain, kamu mendapat pahala.
‘‘Semoga dengan keberkatan Ramadan yang akan tiba nanti, kes ini juga menemui penyelesaiannya,’’ katanya.
Terdahulu, peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewakili Aidil selaku plaintif memaklumkan, pihaknya sudah menerima bantahan awal daripada Rita berhubung perintah kembali taat dan memerlukan masa 14 hari untuk menjawab bantahan itu.

Selesai kemelut secara baik – Berita Harian 10/7/2012

Selesai kemelut secara baik – Berita Harian 10/7/2012

Petaling Jaya: Pelakon, Rita Rudaini dan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam supaya menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, menasihatkan pasangan itu, sebagai individu dikenali umum supaya mencari jalan penyelesaian bagi menjernihkan kembali hubungan mereka kerana kes itu yang sering tertangguh akan memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat.

Berkat Ramadan

“Kalau tidak boleh hidup bersama lagi, lebih baik bercerai secara baik sekali gus kamu berdua sebagai pihak-pihak dikenali ramai akan mendapat ganjaran pahala. Semoga berkat Ramadan nanti ada penyelesaian,” katanya.

Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36, (defendan) hadir ke mahkamah semalam memakai baju kurung moden dan bertudung ungu ditemani peguam syarienya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain manakala Aidil Zafuan atau nama sebenarnya Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 25, (plaintif) tidak hadir dan diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari.
Ahmad Nazib memaklumkan anak guamnya tidak mendapat pelepasan untuk hadir ke mahkamah kerana perlu menjalani latihan bola sepak menentang Arsenal yang akan berlangsung dua minggu lagi.
Buka pintu perbincangan
Menjawab soalan Wan Mahyuddin, Rita Rudaini berkata beliau sedia berbincang dengan Aidil Zafuan sekiranya mendapat arahan daripada mahkamah manakala Ahmad Nazib menjelaskan anak guamnya membuka pintu perbincangan seluas-luasnya berhubung kes rumah tangga mereka.

“Perbincangan sebelum ini, mereka menuntut hampir setengah juta ringgit dan tiada perbincangan mengenai isu lain,” kata Ahmad Nazib.
Mohd Zaidi kemudian menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan anak guamnya tidak pernah berbincang mengenai wang jutaan ringgit sebaliknya hanya mengharapkan perbincangan sebenar dan bukannya permainan tarik tali antara kedua-dua pihak.
Serah bantahan awal
Terdahulu, Mohd Zaidi berkata, beliau sudah menyerahkan bantahan awal kes kembali taat itu kepada plaintif yang antara lainnya membantah berhubung isu bidang kuasa mahkamah.
“Mereka sudah tinggal berasingan sejak Januari 2012. Tetapi dalam afidavit dia (Aidil) masih guna pakai alamat tempat tinggal defendan (Rita) malah mengajak tinggal bersama tetapi tidak sebut alamat tetap. Sekejap Seremban, sekejap Petaling Jaya. Seolah-olah plaintif main-main dengan undang-undang seperti bermain bola sepak,” katanya.
Ahmad Nazib mengakui menerima afidavit itu dan memohon masa selama 14 hari untuk menjawab bantahan berkenaan, sebelum mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 7 Ogos depan.
Aidil Zafuan memfailkan perintah kembali taat terhadap Rita supaya isteri dan anaknya berpindah dari kediaman mereka ketika ini di Damansara ke rumahnya di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini pada 15 Mei lalu.







Thursday, June 21, 2012

Aidil Batal Hasrat Ceraikan Rita 17/5/2012


Kosmo17 Mei 2012, PETALING JAYA – Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak membuat kejutan dengan menarik balik kes permohonan cerai yang difailkan terhadap isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Perkembangan itu sama sekali tidak diduga oleh Rita, 36, dan peguamnya, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain kerana mereka hanya dimaklumkan oleh peguam Aidil iaitu Ahmad Nazib Johari tentang permohonan itu lima minit sebelum kes disebut semula petang semalam.


“Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah sebutan untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.
“Kami sebenarnya sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita (Johari Jonid) yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menuruti arahan mahkamah. Oleh itu, kami mohon kos perosiding itu harus dibayar pihak plaintif,” kata Mohd. Zaidi.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian membenarkan permohonan plaintif untuk menarik balik kes itu, namun plaintif perlu membayar RM250 kepada defendan sebagai kos kerugian kerana menarik balik kes itu pada saat akhir.
Terdahulu, Ahmad Nazib memberitahu, terdapat tiga alasan utama mengapa plaintif terpaksa menarik balik tuntutan cerai yang dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 12 April lalu.

Rita akan fail bantahan terhadap permohonan kembali taat Aidil – Utusan Malaysia 18/6/2012


Rita akan fail bantahan terhadap permohonan kembali taat Aidil – Utusan Malaysia 18/6/2012

PETALING JAYA 18 Jun - Pelakon Rita Rudaini Mokhtar akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan kembali taat yang dikemukakan oleh suaminya, Aidil Zafuan Abd. Razak, bulan lalu.
Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain yang mewakili aktres itu memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, beliau mendapat arahan daripada anak guamnya supaya mengemukakan bantahan awal untuk menolak permohonan Aidil.
Pada prosiding di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad hari ini, Rita hadir manakala Aidil yang juga pemain pasukan bola sepak kebangsaan dan peguam syarienya, Ahmad Nazib Johari tidak kelihatan.
Seorang wakil bagi pihak Aidil selaku plaintif hadir memohon kes itu ditangguhkan kepada waktu tengah hari.
Namun menurut Mohd. Zaidi, pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh pihak plaintif mengenai ketidakhadiran mereka.
Justeru, beliau memohon mahkamah merekodkan pihak plaintif gagal hadir tanpa alasan yang munasabah dan memohon satu tarikh sebutan yang lain.
Wan Mahyuddin kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 9 Julai ini bagi memberi peluang kepada Rita mengemukakan bantahan awalnya.
Aidil, 25, memfailkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita, 36, dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan oleh Aidil yang terletak di USJ1 di sini.
Pada tarikh tersebut juga, Aidil menarik balik permohonan cerainya terhadap Rita atas alasan ingin berbaik semula.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil.
Mereka tinggal berasingan sejak lima bulan lalu selepas Aidil dikatakan meninggalkan rumah kelamin mereka di Damansara di sini.

Thursday, June 14, 2012

Khalwat: Razak Ahmad didenda RM2,900 – Utusan Malaysia 15/6/2012


PETALING JAYA 14 Jun - Pelakon Razak Ahmad didenda RM2,900 atau penjara setahun oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini selepas didapati bersalah berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang, enam tahun lalu.


Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad memutuskan demikian selepas mendapati pelakon tersebut gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Wan Mahyuddin sempat menasihati Razak supaya menjaga tingkah laku kerana sebagai seorang selebriti, perbuatannya akan menjadi ikutan masyarakat sama ada kelakuan yang baik atau buruk.
"Kamu mempunyai latar belakang agama, selalu melakonkan watak-watak baik di kaca televisyen, seperti imam dan qari yang sering membacakan ayat-ayat suci al-Quran.

Razak bersalah khalwat – Harian Metro 15/6/2012


Razak bersalah khalwat – Harian Metro 15/6/2012

PETALING JAYA: Selepas enam tahun naik turun mahkamah berhubung kes khalwat dengan ahli perniagaan berstatus isteri orang, pelakon Razak Ahmad akhirnya didapati bersalah dan didenda RM2,900 atau setahun penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mahyuddin menasihatkan Razak menjaga tingkah laku memandangkan dia adalah artis kerana setiap perbuatan artis yang baik menjadi ikutan kepada masyarakat dan mendapat pahala. “Sesungguhnya perbuatan tertuduh yang berkhalwat bukan saja menjejaskan dirinya malah keluarga, masyarakat dan peminat.

“Tertuduh sering diberikan watak baik dan ahli agama dalam lakonan, jadi mahkamah berpendapat dia mengetahui kesalahan khalwat dan patut diberi hukuman tegas,” katanya. Bagaimanapun, Wan Mahyuddin berkata, mahkamah memberi peluang kepada tertuduh memperbaiki diri dan mahukan masyarakat menerima dirinya.

“Mahkamah berharap hukuman ini memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh tapi kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, dalam hujahan meringankan hukuman, peguam Syarie Muhamad Azman Karim yang mewakili Razak merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan anak guamnya insaf dengan perbuatannya.

Tambahnya, akibat daripada kes itu, tertuduh kurang mendapat tawaran berlakon selain disenaraihitamkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
 “Kes yang berlanjutan selama enam tahun ini menjadi hukuman kepada tertuduh. Dia hilang tawaran berlakon dan bercerai dengan isterinya. Malah kes ini disebut di kalangan warga media,” katanya. Selain itu, Muhamad Azman memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Razak kerana ia memberi kesan kepada kehidupan dan pendapatannya.

Pendakwaan kes itu yang dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli.
Pada prosiding sebelum ini, pendakwaan memanggil tiga saksi untuk memberi keterangan manakala hanya Razak tampil sebagai saksi pembelaan.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Razak enggan mengulas lanjut. “Saya tak ada apa nak komen. No (tiada) komen. Saya frust (kecewa),” katanya. Razak yang memakai sut hitam dan bersongkok membayar denda itu.

Pada 14 September 2006, Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 46, tidak mengaku bersalah berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 46, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, jam 2.15 pagi, 1 April 2006.

Bagaimanapun, Selamah yang hadir bersama suaminya pada prosiding itu mengaku salah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan (b) bagi wanita mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.