Thursday, June 21, 2012

Rita akan fail bantahan terhadap permohonan kembali taat Aidil – Utusan Malaysia 18/6/2012


Rita akan fail bantahan terhadap permohonan kembali taat Aidil – Utusan Malaysia 18/6/2012

PETALING JAYA 18 Jun - Pelakon Rita Rudaini Mokhtar akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan kembali taat yang dikemukakan oleh suaminya, Aidil Zafuan Abd. Razak, bulan lalu.
Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain yang mewakili aktres itu memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, beliau mendapat arahan daripada anak guamnya supaya mengemukakan bantahan awal untuk menolak permohonan Aidil.
Pada prosiding di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad hari ini, Rita hadir manakala Aidil yang juga pemain pasukan bola sepak kebangsaan dan peguam syarienya, Ahmad Nazib Johari tidak kelihatan.
Seorang wakil bagi pihak Aidil selaku plaintif hadir memohon kes itu ditangguhkan kepada waktu tengah hari.
Namun menurut Mohd. Zaidi, pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh pihak plaintif mengenai ketidakhadiran mereka.
Justeru, beliau memohon mahkamah merekodkan pihak plaintif gagal hadir tanpa alasan yang munasabah dan memohon satu tarikh sebutan yang lain.
Wan Mahyuddin kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 9 Julai ini bagi memberi peluang kepada Rita mengemukakan bantahan awalnya.
Aidil, 25, memfailkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita, 36, dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan oleh Aidil yang terletak di USJ1 di sini.
Pada tarikh tersebut juga, Aidil menarik balik permohonan cerainya terhadap Rita atas alasan ingin berbaik semula.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil.
Mereka tinggal berasingan sejak lima bulan lalu selepas Aidil dikatakan meninggalkan rumah kelamin mereka di Damansara di sini.

1 comment: