Friday, May 18, 2012

Saya nak Rita’


Harian Metro 17 Mei 2012, PETALING JAYA: “Saya masih sayangkannya. Kalau boleh saya nak kembali bersama Rita dan anak-anak,” kata pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Dia yang mesra dengan panggilan Aidil ditemui selepas menarik balik permohonan bercerai dengan isterinya, aktres popular, Rita Rudaini Mohamad@Mokhtar.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membenarkan permohonan Aidil, 25, namun memerintahkannya selaku plaintif membayar kos kerugian RM250 kepada Rita, 36, kerana menarik balik kes itu di saat akhir iaitu kelmarin, sehari sebelum sebutan kes.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Aidil berkata, dia berharap dengan penarikan balik permohonan cerai itu, hubungan dia dan Rita pulih.

“Kalau Rita setuju dengan permohonan kembali taat (yang difailkannya semalam), perkara ini selesai. Saya nak dia dan anak-anak balik ke rumah saya di USJ1 (Subang). Sekarang dia menetap di rumah sewa di Damansara,” katanya yang hadir di mahkamah memakai kemeja dan seluar hitam.













Zafuan tarik balik hasrat cerai Rita - Sinar harian - 17/5/2012



Sinar Harian 17 Mei 2012, PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah hari ini membenarkan permohonan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak menarik balik hasrat untuk bercerai dengan isterinya, Rita Rudaini Mohamad@Mokhtar.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Mohamad Aidil Zafuan berhubung penarikan permohonan cerai yang difailkannya pada 12 April lalu.
Beliau juga mengarahkan Mohamad Aidil Zafuan membayar kos kepada Rita, 36, sebanyak RM250.
"Kamu (Mohamad Aidil Zafuan) perlu membayar kerugian kepada Rita kerana menarik balik kes ini pada saat akhir iaitu sehari sebelum sebutan kes ditetapkan (15 Mei)," katanya.

Mohamad Aidil Zafuan, 25, yang diwakili peguam Ahmad Nazib Johari mengemukakan tiga alasan berhubung penarikan balik permohonan bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Menurut Ahmad Nazib, permohonan anak guamnya tidak diteruskan kerana Rita tidak bersetuju pada untuk bercerai pada prosiding 30 April lalu.
"Justeru, anak guam saya berhasrat untuk berbaik semula dan mengarahkan isterinya kembali taat dan tinggal di rumah yang disediakannya.
"Anak guam saya juga risau jika diwujudkan jawatankuasa pendamai akan ada campur tangan daripada pihak ketiga. Ini akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.
Ahmad Nazib berkata, pihaknya membantah permohonan kos yang diminta Rita kerana ia bukan dari kesilapan anak guamnya sebaliknya Rita tidak bersetuju untuk bercerai.
Bagaimanapun, Rita yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain memberitahu mahkamah pihaknya hanya dimaklumkan mengenai penarikan balik itu beberapa jam sebelum prosiding bermula.
Mohd Zaidi berkata tuntutan itu dibuat kerana ia membabitkan masa dan perjalanan beliau, anak guamnya serta kos penerbangan bapa tiri Rita, Johari Jonid, 62.
"Saya dan Rita agak terkesima apabila Mohamad Aidil Zafuan ingin menarik permohonannya itu. Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.
"Kami sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menurut arahan mahkamah. Oleh itu, kos perjalanan itu harus dibayar pihak Mohamad Aidil Zafuan," katanya.
Rita yang memakai jubah hitam dan bertudung merah jambu kelihatan tidak bertegur sapa dengan Mohamad Aidil Zafuan, sebaliknya masing-masing pulang bersama ahli keluarga yang hadir di mahkamah.
Mohamad Aidil Zafuan ketika ditemui berharap agar hubungannya dan Rita kembali pulih demi dua anak mereka.
Sementara itu, Ahmad Nazib berkata, permohonan kembali taat terhadap Rita telah difailkan semalam dan notis itu sudah diserahkan kepada peguam yang mewakili Rita.
"Rita akan memfailkan jawapan pembelaan mereka pada tarikh sebutan ditetapkan iaitu pada 18 Jun ini," katanya.
Mengenai kos pembayaran RM250 yang diperintahkan mahkamah semalam, Ahmad Nazib bercadang mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah berhubung keputusan itu.
Pasangan itu berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 dan dikurniakan cahaya mata Airit Rayyan Rizqin,4 dan Airit Rafqa Arjuna, 2.
Perkahwinan mereka pada awalnya mendapat tentangan keluarga Mohamad Aidil Zafuan.






Aidil tarik balik permohonan cerai


Utusan Malaysia, PETALING JAYA 16 Mei 2012- Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak memutuskan untuk menarik balik permohonan cerai terhadap isterinya yang juga pelakon Rita Rudaini Mokhtar atas alasan ingin berbaik semula.
Perkara itu dimaklumkan oleh Aidil, 25, kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menerusi peguam syarie yang mewakilinya, Ahmad Nazib Johari.
Ahmad Nazib menyatakan, keputusan tersebut dibuat oleh anak guamnya berikutan pendirian Rita yang tidak bersetuju dengan permohonan cerai yang difailkan Aidil pada 30 April lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Negeri Selangor 2003.
Prosiding hari ini ditetapkan untuk kedua-dua pihak melantik wakil dalam Jawatankuasa Pendamai yang terdiri daripada dua ahli keluarga terdekat pasangan itu.
Justeru, peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain yang mewakili Rita, 36, menyatakan, pihaknya terkesima dengan keputusan mengejut plaintif itu kerana hanya dimaklumkan berkenaan penarikan itu sebelum memasuki mahkamah hari ini.
''Pihak kami menurut saranan mahkamah yang mulia ini dengan membawa wakil Jawatankuasa Pendamai iaitu bapa tiri Rita, Johari Junid yang datang dari Perlis.
''Memandangkan pihak plaintif mahu menarik balik kes tanpa berbincang atau memaklumkan lebih awal kepada kami, anak guam saya mengalami kerugian dan kami menuntut kos perjalanan sebanyak RM500 dikenakan kepada pihak plaintif,'' kata beliau.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian meminta penjelasan daripada plaintif mengenai alasannya menarik semula kes itu.
Ahmad Nazib menyatakan, penarikan itu dibuat kerana Rita tidak bersetuju bercerai selain Aidil ingin berbaik semula dengan Rita demi anak-anak dan sekiranya kes itu diteruskan dengan Jawatankuasa Pendamai, anak guamnya bimbang campur tangan pihak ketiga itu akan mengeruhkan lagi hasratnya untuk berbaik-baik.
Selain itu, Ahmad Nazib menyatakan, anak guamnya turut memfailkan perintah kembali taat semalam di mahkamah sama supaya Rita dan anak-anak mereka menetap di rumah yang disediakan oleh Aidil yang terletak di USJ1 di sini.
Rita ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan keputusan itu mengejutkan beliau kerana tiada sebarang perbincangan dilakukan oleh Aidil sebelum menarik balik kes itu.

Aidil Zafuan batal hasrat cerai Rita

Berita Harian 17/5/2012. PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam membenarkan permohonan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 25, menarik balik hasrat untuk bercerai dengan isterinya yang juga pelakon, Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu dan turut memerintahkan Mohamad Aidil Zafuan (plaintif) membayar kos kerugian kepada Rita Rudaini (defendan) sebanyak RM250 kerana menarik balik kes itu pada saat akhir iaitu sehari sebelum sebutan kes ditetapkan pada 15 Mei lalu.

Terdahulu, Mohamad Aidil Zafuan yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari mengemukakan tiga alasan berhubung penarikan balik permohonan bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 difailkan anak guamnya pada 12 April lalu.

Beliau berkata, permohonan untuk bercerai tidak dapat diteruskan berikutan defendan memberikan jawapan tidak bersetuju pada prosiding lalu selain anak guamnya berhasrat berbaik semula serta dalam proses mengarahkan isterinya kembali taat dan tinggal di rumah disediakan plaintif.

“Anak guam saya juga risau jika diwujudkan jawatankuasa pendamai akan ada campur tangan pihak ketiga yang akan mengeruhkan lagi keadaan. Pihak kami juga membantah permohonan kos yang diminta defendan kerana ia bukan kesilapan plaintif, sebaliknya defendan tidak bersetuju bercerai,” katanya.

Bagaimanapun, Rita Rudaini yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain memberitahu mahkamah, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai penarikan balik itu beberapa jam sebelum prosiding bermula, kelmarin sekali gus memohon plaintif membayar kerugian ditanggung membabitkan masa dan perjalanan beliau, anak guamnya serta kos penerbangan bapa tiri Rita Rudaini, Johari Jonid, 62.

“Saya dan defendan (Rita) agak terkesima dengan apa diperkatakan plaintif (untuk menarik balik). Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah sebutan untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.
“Kami sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menuruti arahan mahkamah. Oleh itu, kos RM500 harus dibayar plaintif,” katanya.

Selepas prosiding kes itu, Rita yang memakai jubah hitam dan bertudung merah jambu kelihatan tidak bertegur sapa dengan Mohamad Aidil Zafuan sebaliknya masing-masing pulang bersama ahli keluarga yang hadir ke mahkamah.

Mohamad Aidil Zafuan ketika ditanya di luar mahkamah berharap hubungannya dan Rita Rudaini kembali pulih demi dua anak mereka.
Top of Form


Wednesday, May 2, 2012

Nasib Razak Ahmad Keputusan pada 14 Jun 2012

19/4/2012 – Utusan Malaysia

PETALING JAYA 19 April - Nasib pelakon Razak Ahmad yang didakwa berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang, enam tahun lalu bakal diketahui pada 14 Jun ini.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menetapkan demikian selepas selesai mendengar hujahan peguam syarie dan pendakwa syarie hari ini.
Terdahulu, peguam syarie, Hazirah Othman memaklumkan, dia berhujah bagi pihak peguam syarie yang mewakili Razak, Mohammad Azman Karim pada prosiding hujahan balas hari ini berikutan Mohammad Azman tidak dapat hadir ke mahkamah kerana kurang sihat.
Pendakwaan pula dikendalikan oleh Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli.
Ketika didakwa pada 14 September 2006, Razak, 45, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berada bersama Selamah Sahudin, 45, dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006.
Bagaimanapun, Selamah yang hadir bersama suaminya pada prosiding itu mengaku salah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Selepas perbicaraan dijalankan, Razak diperintahkan membela diri pada 30 Jun tahun lalu.




Kes Rita Rudaini lwn Mohamad Aidil Zafuan 1/5/2012


Utusan Malaysia 1/5/2012  

Rita Rudaini tak setuju cerai, mahu bincang

PETALING JAYA 30 April - Pelakon Rita Rudaini tidak bersetuju dengan permohonan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini. Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain yang mewakili Rita memberitahu mahkamah bahawa pihaknya berpendapat perbincangan perlu diadakan menerusi Jawatankuasa Pendamai bagi mengetahui alasan permohonan cerai itu dibuat oleh Aidil selaku plaintif. Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang mendengar kes itu seterusnya meminta penjelasan Aidil mengenai alasannya untuk menceraikan isterinya dan Aidil yang diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Nazib Johari mendakwa, tiada keserasian dan kesefahaman antara dia dan Rita. Aidil, 25, dan Rita, 36, masing-masing turut mengesahkan mereka tidak tinggal sebumbung sejak empat bulan lalu dan sepanjang tempoh itu tiada sebarang perbincangan dilakukan berhubung isu rumah tangga mereka.  

Kosmo 1/5/2012

PETALING JAYA - Pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar berkeras tidak mahu diceraikan oleh suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak selepas mendakwa alasan yang diberikan lelaki itu bahawa mereka tidak lagi serasi dan tiada persefahaman sebagai tidak masuk akal. Ketika prosiding di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad, Rita, 36, yang diwakili peguam Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memberitahu, dia tetap ingin mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 25 tahun itu ekoran tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan suaminya. Dakwa Zaidi, anak guamnya membantah perceraian tersebut kerana mahukan perbincangan secara baik diadakan terlebih dahulu. "Mohd. Aidil tidak pernah berbincang secara bersemuka atau secara maya dengan anak guam saya sejak meninggalkan rumah pada 10 Januari lalu. "Jika perceraian dipersetujui secara drastik, ia tidak adil bagi pihak anak guam saya kerana dia mengharapkan perkahwinan ini dapat diteruskan, kalau hendak bercerai pun, biarlah alasan itu berbaloi," katanya.  

Sinar Harian 1/5/2012

PETALING JAYA - Pelakon Rita Rudaini tidak bersetuju dengan permohonan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohammad Aidil Zafuan Abd Razak, untuk bercerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam. Rita, yang diwakili Peguam Syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak berpuas hati dengan alasan Aidil yang mahu bercerai dengannya. “Ini kerana tiada sebarang perbincangan¬ antara Rita dan Aidil mengenai perkara ini (cerai). “Jadi, adalah tidak adil jika Aidil memberikan alasan mereka tiada keserasian dan persefahaman sejak Aidil keluar dari rumah mereka empat bulan lalu,” katanya. Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian memerintahkan agar jawatankuasa pendamai yang diwakili keluarga terdekat kedua-dua pihak dilantik. Mahkamah juga menetapkan 16 Mei depan sebutan semula kes. Aidil hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Ahmad Nazib Johari. Pasangan itu berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand, pada 25 Februari 2008 dan dikurniakan cahaya mata Airit Rayyan Rizqin,4 dan Airit Rafqa Arjuna, 2. Perkahwinan mereka pada awalnya mendapat tentangan keluarga Aidil.