Friday, May 18, 2012

Aidil tarik balik permohonan cerai


Utusan Malaysia, PETALING JAYA 16 Mei 2012- Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak memutuskan untuk menarik balik permohonan cerai terhadap isterinya yang juga pelakon Rita Rudaini Mokhtar atas alasan ingin berbaik semula.
Perkara itu dimaklumkan oleh Aidil, 25, kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menerusi peguam syarie yang mewakilinya, Ahmad Nazib Johari.
Ahmad Nazib menyatakan, keputusan tersebut dibuat oleh anak guamnya berikutan pendirian Rita yang tidak bersetuju dengan permohonan cerai yang difailkan Aidil pada 30 April lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Negeri Selangor 2003.
Prosiding hari ini ditetapkan untuk kedua-dua pihak melantik wakil dalam Jawatankuasa Pendamai yang terdiri daripada dua ahli keluarga terdekat pasangan itu.
Justeru, peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain yang mewakili Rita, 36, menyatakan, pihaknya terkesima dengan keputusan mengejut plaintif itu kerana hanya dimaklumkan berkenaan penarikan itu sebelum memasuki mahkamah hari ini.
''Pihak kami menurut saranan mahkamah yang mulia ini dengan membawa wakil Jawatankuasa Pendamai iaitu bapa tiri Rita, Johari Junid yang datang dari Perlis.
''Memandangkan pihak plaintif mahu menarik balik kes tanpa berbincang atau memaklumkan lebih awal kepada kami, anak guam saya mengalami kerugian dan kami menuntut kos perjalanan sebanyak RM500 dikenakan kepada pihak plaintif,'' kata beliau.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian meminta penjelasan daripada plaintif mengenai alasannya menarik semula kes itu.
Ahmad Nazib menyatakan, penarikan itu dibuat kerana Rita tidak bersetuju bercerai selain Aidil ingin berbaik semula dengan Rita demi anak-anak dan sekiranya kes itu diteruskan dengan Jawatankuasa Pendamai, anak guamnya bimbang campur tangan pihak ketiga itu akan mengeruhkan lagi hasratnya untuk berbaik-baik.
Selain itu, Ahmad Nazib menyatakan, anak guamnya turut memfailkan perintah kembali taat semalam di mahkamah sama supaya Rita dan anak-anak mereka menetap di rumah yang disediakan oleh Aidil yang terletak di USJ1 di sini.
Rita ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan keputusan itu mengejutkan beliau kerana tiada sebarang perbincangan dilakukan oleh Aidil sebelum menarik balik kes itu.

No comments:

Post a Comment