Wednesday, August 8, 2012

Isteri atau main bola?’


Harian Metro 8/8/2012 . PETALING JAYA: “Saya minta peguam nasihatkan plaintif supaya ambil kira mana lebih afdal, kes mahkamah atau main bola. Kes mahkamah mengenai hubungan suami isteri, plaintif kena korban salah satu,” kata Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Wan Mahyuddin menasihatkan demikian terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak yang tidak hadir ke mahkamah pada prosiding permohonan kembali taat difailkan Aidil terhadap isterinya pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar kerana menjalani latihan bola sepak selama dua minggu di Austria. Menurutnya, Aidil perlu memberi lebih kepentingan kepada kes mahkamah kerana ia membabitkan soal hidup mati, anak-anak serta dosa pahala.

 
Nasihat itu diberikan berikutan permintaan peguam syarie Datuk Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita Rudaini supaya Aidil mengemukakan dokumen atau bukti kepada mahkamah berhubung ketidakhadirannya pada prosiding kes itu.

“Alasan diberikan plaintif munasabah, namun plaintif sepatutnya kepilkan dokumen atau bukti menyatakan alasan tidak dapat hadir, bukannya disampaikan secara lisan saja,” katanya.

Justeru, peguam syarie Noor Azlina Che Hasan yang mewakili Aidil berjanji pihaknya akan mengemukakan salinan surat kepada mahkamah dan pihak Rita Rudaini yang menyatakan Aidil tidak dapat hadir kerana mempunyai latihan bola sepak.

Terdahulu, Noor Azlina yang hadir mewakili peguam Aidil, Ahmad Nazib Johari memaklumkan kepada mahkamah pihaknya memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita Rudaini berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.

Merujuk kepada arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berbincang bagi mencapai jalan penyelesaian, Noor Azlina memberitahu setakat ini tiada rundingan secara rasmi di antara kedua-dua pihak.

“ Setakat ini pihak kami ada berbincang dengan anak guam menyelesaikan perkara ini, tapi tiada kata putus sah daripada anak guam. Sekiranya ada penyelesaian, pihak kami memberi surat rasmi kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.

Pada prosiding semalam Rita Rudaini hadir berseorangan berbaju kurung moden dan bertudung biru lembut.

Aidil memfailkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita, 36, dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah disediakan Aidil di USJ1 di sini.

Pada tarikh sama, Aidil menarik balik permohonan cerai terhadap Rita Rudaini atas alasan ingin berbaik semula.

Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil. Mereka tinggal berasingan sejak lima bulan lalu selepas Aidil meninggalkan rumah mereka di Damansara di sini.



Aidil Disuruh Fokus Hal Kahwin

Kosmo 8/8/2012. PETALING JAYA – Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam meminta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak supaya memberi keutamaan kepada hal-hal perkahwinan berbanding dengan karier bola sepak.


Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, kes mahkamah ini melibatkan hubungan suami isteri dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main.

“Saya minta peguam nasihat plaintif (Mohd. Aidil) kena ambil kira mana lebih penting sama ada kes mahkamah atau main bola, kena korban salah satu, ini tentang hidup mati, pahala dosa, kalau tidak main bola tidak berdosa,” tegur Wan Mahyuddin dengan tegas.

Wan Mahyuddin berkata demikian semasa sebutan kes permohonan kembali taat yang difailkan Mohd. Aidil terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar supaya dia dan dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan di USJ1 di sini.

Perkara itu terbangkit susulan permintaan peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita supaya Mohd. Aidil mengemukakan dokumen berhubung ketidakhadiran plaintif dalam prosiding kes pasangan itu semalam.

Mohd. Aidil gagal menghadiri prosiding semalam kerana menjalani latihan bola sepak di Austria.

“Alasan yang diberi munasabah tapi perlu ada dokumen bertulis bukan secara lisan dan sambil lewa,” kata beliau.

Terdahulu peguam syarie Noor Azlina Che Hassan yang mewakili Mohd. Aidil memaklumkan plaintif kini berada di Austria selama dua minggu mulai 4 Ogos hingga 17 Ogos kerana latihan bola sepak.

Sehubungan itu, beliau yang hadir bagi pihak peguam syarie Ahmad Nazib Johari iaitu peguam kepada Mohd. Aidil bersetuju mengemukakan salinan surat pengesahan bertulis daripada plaintif sekiranya dia gagal hadir ke mahkamah kelak.

Noor Azlina berkata, dia juga telah memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.

Merujuk arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berunding bagi mencari jalan penyelesaian, peguam memberitahu setakat ini tiada rundingan dibuat secara rasmi antara kedua-duanya.

Wan Mahyuddin menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.

Permohonan kembali taat difailkan Mohd. Aidil pada 15 Mei lalu iaitu hari yang sama dia menarik balik permohonan cerai terhadap Rita walaupun mereka tidak lagi tinggal sebumbung selepas Mohd. Aidil bertindak meninggalkan rumah kelamin di Damansara.

Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Mohd. Aidil.





Hakim Tegur Aidil


Berita Harian 8/8/2012

Petaling Jaya: Hakim Syarie menasihatkan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan supaya tidak mempermainkan kes mahkamah dengan memberi alasan tidak boleh hadir kerana perlu menjalani latihan bola sepak.



Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, berkata plaintif atau nama sebenarnya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, 25, sepatutnya perlu mengambil kira mana yang lebih penting, sama ada kes mahkamah atau bermain bola sepak, kerana kehadirannya ke mahkamah membabitkan hubungan suami, isteri serta dua anaknya.


Aidil dinasihat segera selesaikan kes kembali taat

Utusan Malaysia. PETALING JAYA 7 Ogos - Seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini sekali lagi menasihati pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak agar segera menyelesaikan kes kembali taat yang dikemukakan terhadap isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar.


Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat teguran itu selepas Aidil buat kali kedua gagal hadir ke mahkamah hari ini.

Beliau menyatakan, Aidil perlu mempertimbangkan tindakan yang mana lebih afdal, hadir ke mahkamah menyelesaikan isu hubungan rumah tangga atau bermain bola sepak.

"Dia pelu mengorbankan salah satu. Kes ini tentang soal hidup, mati, anak, dosa dan pahala, jika tidak bermain bola tidak mendapat dosa," katanya kepada peguam syarie, Noor Azlina Che Hassan yang hadir bagi pihak peguam syarie yang mewakili Aidil, Ahmad Nazib Johari.

Thursday, August 2, 2012

Penjaga gol tidak hadir prosiding khalwat


2 Ogos 2012 - Kosmo

PETALING JAYA - Penjaga gawang Malaysia yang beraksi dalam perlawanan menentang Arsenal dan Manchester City bulan lalu, Mohd Farizal Marlias dikenakan perintah saman oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, kerana gagal hadir prosiding khalwat yang dikenakannya, semalam.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengeluarkan saman berkenaan kepada Mohd Farizal, 26, pasangannya Zaiton Othman, 29, serta penjamin mereka yang juga bekas pemain bola sepak Perak, Khairul Izwan Mohamed Jamaludin kerana turut tidak hadir.
Mohd Farizal dan pasangan sepatutnya hadir untuk sebutan pertama kes khalwat mereka hari ini.
Mereka didakwa berkhalwat di sebuah tempat di Petaling Jaya, pada awal pagi, 11 Oktober 2011.

Bagaimanapun, pada prosiding, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli memberitahu, beliau tidak menerima makluman mengenai ketidakhadiran Mohd Farizal Marlias dan Zaiton.

Shafezan memohon mahkamah mengeluarkan saman kehadiran terhadap pasangan itu serta penjamin mereka.

Mahkamah turut memerintahkan mereka hadir pada sebutan kes 13 September depan.

Wan Mahyuddin turut menegaskan sekiranya saman di luar bidang kuasa sudah diserahkan kepada Farizal tetapi masih gagal hadir pada tarikh akan datang, waran tangkap akan dikeluarkan.


Selepas prosiding kes itu tamat hampir satu jam, Khairul Izwan tiba berseorangan di mahkamah pada jam 1 tengah hari dengan membawa sijil cuti sakit Mohd Farizal tetapi tiada dokumen dikemukakan untuk mewakili Zaiton. Mohd Farizal kini adalah penjaga gawang pasukan Negeri Sembilan dan pernah mewakili skuad Shahzan Muda dan Perlis.



Penjaga gol kebangsaan tidak hadir tuduhan khalwat

Kosmo 3/8/2012 PETALING JAYA – Penjaga gol skuad kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias (gambar) yang sepatutnya dituduh di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam atas kesalahan berkhalwat dengan isteri orang tidak muncul di mahkamah semalam kerana kurang sihat.
Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berkata, penjamin Mohd. Farizal, 26, iaitu Khairul Izwan Mohamed Jamaluddin hadir untuk menyerahkan salinan sijil sakit kepada mahkamah sejurus prosiding berakhir.

Terdahulu, semasa kes khalwat Mohd. Farizal yang masih bujang disebut di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad, tertuduh yang juga penjaga gol utama skuad bola sepak Negeri Sembilan tidak kelihatan begitu juga dengan pasangannya, Zaiton Othman, 29.



Nash dakwa tidak pernah cerai Sosilawati-Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Penyanyi Jamaludin Elias atau Nash berkali-kali menegaskan, beliau tidak pernah menceraikan isterinya, jutawan produk kecantikan, Sosilawati Lawiya dan menganggap krisis rumah tangga yang dialami sebagai perkara biasa.

Nash memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini: "Dengan nama Allah, saya mengaku sejak mula bernikah sehingga ke hari ini, saya tidak pernah melafazkan cerai terhadap Sosilawati."

Terdahulunya, pada pukul 10.15 pagi, Nash telah beristighfar sebanyak tiga kali seterusnya mengucap dua kalimah syahadah bahawa segala keterangan diberikan adalah benar.

Nash yang dinamakan sebagai defendan menjawab dakwaan Sosilawati, 45, yang memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai kerana mendakwa Nash telah menceraikannya dalam perbualan telefon pada 12 September 2007.

Sosilawati mendakwa, Nash enggan pulang ke rumahnya di No. 9933, Jalan Harmoni, Taman Harmoni, Gombak dekat sini dengan alasan mereka bukan lagi suami isteri kerana beliau telah pun menceraikannya.

Plaintif itu juga mendakwa Nash telah menyatakan perkara yang sama kepada rakan karibnya, Abdul Jalil Ismail pada 17 September 2007.

Peguam syarie, Amli Embong sehubungan itu meminta kepastian, adakah Nash pada tarikh tersebut pernah menceraikan plaintif ataupun membuat pengakuan kepada sesiapa yang membawa maksud beliau telah menceraikan Sosilawati.

Nash, 48, sekali lagi menegaskan, beliau tidak pernah menceraikan Sosilawati seperti yang didakwa isterinya.

Pada peringkat soalan balas peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili pengasas produk kecantikan Nouvelles Visage, mencadangkan bahawa tujuan sebenar Sosilawati menelefon Nash pada 12 September 2007 untuk mengajak beliau balik semula ke rumah kerana penyanyi itu sudah lama tidak pulang.

Nash yang tidak bersetuju dengan kenyataan Mohd. Zaidi kemudiannya 'mendedahkan' versi beliau yang mendakwa krisis tersebut semata-mata berpunca daripada Sosilawati ketika perkahwinan baru berusia antara tiga dan empat bulan.

"Pada 12 September 2007, saya telah dimaki hamun oleh isteri yang bertanya mengapa saya tidak balik ke rumah. Beliau (Sosilawati) kata, tidak guna beliau kahwin. Kahwin pun macam tidak kahwin. Bila bergaduh sedikit, isteri saya akan minta cerai."

"Saya menceritakan perkara yang benar, semata-mata benar Yang Arif. Perkahwinan ini bukan yang pertama bagi saya. Ini perkahwinan saya yang kedua. Saya tahu lelaki tidak boleh menceraikan isteri di luar mahkamah," kata Nash.

Menurut bekas penyanyi utama kumpulan Lefthanded, pada tarikh itu, beliau baru sahaja pulang selepas selesai tugas luar.

Pada awal prosiding Mohd. Zaidi mengesahkan, tiada lagi saksi yang akan dipanggil pihaknya selepas Sosilawati dan Abdul Jalil Ismail, 50, (rakan karib Nash) memberikan keterangan.

Sehubungan itu, Mohd. Zaidi menegaskan, wajar mahkamah mengarahkan Nash memberikan keterangan lisan dan menyatakan kesanggupan untuk bersumpah syarie daripada kandang saksi.

Mahkamah bagaimanapun membuat keputusan belum membenarkan Nash untuk bersumpah hari ini meskipun penyanyi itu sedia berbuat demikian.

Sebaliknya, mahkamah mengarahkan Nash memberikan keterangan berhubung lafaz cerai yang didakwa isterinya.

Kelancaran posiding kerap tersekat-sekat ekoran bantahan peguam kepada soalan yang ditanya oleh Mohd. Zaidi. Sungguhpun begitu, prosiding telah dihiasi bahasa berbunga-bunga dan perumpamaan.

Misalnya peguam syarie, Ahmad Daud yang juga mewakili Nash membantah soalan Mohd. Zaidi berhubung krisis rumah tangga dihadapi pasangan itu.

Beliau membantah kerana soalan sepatutnya menjurus kepada isu pokok iaitu lafaz cerai yang didakwa plaintif yang kononnya telah dilafazkan anak guamnya (Nash).

"Jika isu krisis rumah tangga yang diperbincangkan di sini, nanti isu pinggan pecah pun akan ditimbulkan,", kata Ahmad.

Namun bagi Mohd. Zaidi, sebelum isu lafaz cerai yang timbul mestilah ada penyebabnya.

"Kalau tidak, masakan tiada angin, pokok bergoyang. Jika tiada lafaz cerai masakan anak guam saya sanggup membawa perkara ini ke mahkamah," tegas Mohd. Zaidi.

Ahmad mencelah: "Buah durian pun boleh jatuh tanpa ada angin. Sekarang cerai sudah dilafazkan, mengapa perlu kita membincangkan soal krisis rumah tangga lagi."

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohamad: "Baiklah. Cerita tentang angin, ia sudah dilafazkan tetapi plaintif gagal membuktikan bahawa ada angin, pokok bergoyang. Supaya angin tidak bertiup lebih kencang lagi, apa yang berlaku, sudah berlaku. Jadi mahkamah berharap pihak-pihak menumpukan soalan kepada lafaz cerai. Perkara sampingan boleh dikemukakan tetapi tumpuannya kepada lafaz cerai."

Selepas mendengar keterangan Nash, mahkamah telah menetapkan tiga tarikh iaitu 15 Ogos ini untuk Mohd. Zaidi memfailkan hujahan permohonan plaintif, manakala 2 September depan untuk Nash menyerahkan hujahan balas kepada mahkamah dan 16 September pula untuk pihak-pihak mengemukakan hujahan di akhir kes.

Mahkamah juga mengecualikan kehadiran plaintif dan defendan pada ketiga-tiga tarikh tersebut.