Wednesday, August 8, 2012

Isteri atau main bola?’


Harian Metro 8/8/2012 . PETALING JAYA: “Saya minta peguam nasihatkan plaintif supaya ambil kira mana lebih afdal, kes mahkamah atau main bola. Kes mahkamah mengenai hubungan suami isteri, plaintif kena korban salah satu,” kata Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Wan Mahyuddin menasihatkan demikian terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak yang tidak hadir ke mahkamah pada prosiding permohonan kembali taat difailkan Aidil terhadap isterinya pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar kerana menjalani latihan bola sepak selama dua minggu di Austria. Menurutnya, Aidil perlu memberi lebih kepentingan kepada kes mahkamah kerana ia membabitkan soal hidup mati, anak-anak serta dosa pahala.

 
Nasihat itu diberikan berikutan permintaan peguam syarie Datuk Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita Rudaini supaya Aidil mengemukakan dokumen atau bukti kepada mahkamah berhubung ketidakhadirannya pada prosiding kes itu.

“Alasan diberikan plaintif munasabah, namun plaintif sepatutnya kepilkan dokumen atau bukti menyatakan alasan tidak dapat hadir, bukannya disampaikan secara lisan saja,” katanya.

Justeru, peguam syarie Noor Azlina Che Hasan yang mewakili Aidil berjanji pihaknya akan mengemukakan salinan surat kepada mahkamah dan pihak Rita Rudaini yang menyatakan Aidil tidak dapat hadir kerana mempunyai latihan bola sepak.

Terdahulu, Noor Azlina yang hadir mewakili peguam Aidil, Ahmad Nazib Johari memaklumkan kepada mahkamah pihaknya memfailkan afidavit jawapan kepada bantahan Rita Rudaini berhubung permohonan kembali taat dan diserahkan kepada defendan semalam.

Merujuk kepada arahan mahkamah supaya kedua-dua pihak berbincang bagi mencapai jalan penyelesaian, Noor Azlina memberitahu setakat ini tiada rundingan secara rasmi di antara kedua-dua pihak.

“ Setakat ini pihak kami ada berbincang dengan anak guam menyelesaikan perkara ini, tapi tiada kata putus sah daripada anak guam. Sekiranya ada penyelesaian, pihak kami memberi surat rasmi kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula bagi defendan memfailkan afidavit balasan terhadap jawapan plaintif.

Pada prosiding semalam Rita Rudaini hadir berseorangan berbaju kurung moden dan bertudung biru lembut.

Aidil memfailkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita, 36, dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah disediakan Aidil di USJ1 di sini.

Pada tarikh sama, Aidil menarik balik permohonan cerai terhadap Rita Rudaini atas alasan ingin berbaik semula.

Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil. Mereka tinggal berasingan sejak lima bulan lalu selepas Aidil meninggalkan rumah mereka di Damansara di sini.



No comments:

Post a Comment