Thursday, August 2, 2012

Nash dakwa tidak pernah cerai Sosilawati-Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Penyanyi Jamaludin Elias atau Nash berkali-kali menegaskan, beliau tidak pernah menceraikan isterinya, jutawan produk kecantikan, Sosilawati Lawiya dan menganggap krisis rumah tangga yang dialami sebagai perkara biasa.

Nash memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini: "Dengan nama Allah, saya mengaku sejak mula bernikah sehingga ke hari ini, saya tidak pernah melafazkan cerai terhadap Sosilawati."

Terdahulunya, pada pukul 10.15 pagi, Nash telah beristighfar sebanyak tiga kali seterusnya mengucap dua kalimah syahadah bahawa segala keterangan diberikan adalah benar.

Nash yang dinamakan sebagai defendan menjawab dakwaan Sosilawati, 45, yang memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai kerana mendakwa Nash telah menceraikannya dalam perbualan telefon pada 12 September 2007.

Sosilawati mendakwa, Nash enggan pulang ke rumahnya di No. 9933, Jalan Harmoni, Taman Harmoni, Gombak dekat sini dengan alasan mereka bukan lagi suami isteri kerana beliau telah pun menceraikannya.

Plaintif itu juga mendakwa Nash telah menyatakan perkara yang sama kepada rakan karibnya, Abdul Jalil Ismail pada 17 September 2007.

Peguam syarie, Amli Embong sehubungan itu meminta kepastian, adakah Nash pada tarikh tersebut pernah menceraikan plaintif ataupun membuat pengakuan kepada sesiapa yang membawa maksud beliau telah menceraikan Sosilawati.

Nash, 48, sekali lagi menegaskan, beliau tidak pernah menceraikan Sosilawati seperti yang didakwa isterinya.

Pada peringkat soalan balas peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili pengasas produk kecantikan Nouvelles Visage, mencadangkan bahawa tujuan sebenar Sosilawati menelefon Nash pada 12 September 2007 untuk mengajak beliau balik semula ke rumah kerana penyanyi itu sudah lama tidak pulang.

Nash yang tidak bersetuju dengan kenyataan Mohd. Zaidi kemudiannya 'mendedahkan' versi beliau yang mendakwa krisis tersebut semata-mata berpunca daripada Sosilawati ketika perkahwinan baru berusia antara tiga dan empat bulan.

"Pada 12 September 2007, saya telah dimaki hamun oleh isteri yang bertanya mengapa saya tidak balik ke rumah. Beliau (Sosilawati) kata, tidak guna beliau kahwin. Kahwin pun macam tidak kahwin. Bila bergaduh sedikit, isteri saya akan minta cerai."

"Saya menceritakan perkara yang benar, semata-mata benar Yang Arif. Perkahwinan ini bukan yang pertama bagi saya. Ini perkahwinan saya yang kedua. Saya tahu lelaki tidak boleh menceraikan isteri di luar mahkamah," kata Nash.

Menurut bekas penyanyi utama kumpulan Lefthanded, pada tarikh itu, beliau baru sahaja pulang selepas selesai tugas luar.

Pada awal prosiding Mohd. Zaidi mengesahkan, tiada lagi saksi yang akan dipanggil pihaknya selepas Sosilawati dan Abdul Jalil Ismail, 50, (rakan karib Nash) memberikan keterangan.

Sehubungan itu, Mohd. Zaidi menegaskan, wajar mahkamah mengarahkan Nash memberikan keterangan lisan dan menyatakan kesanggupan untuk bersumpah syarie daripada kandang saksi.

Mahkamah bagaimanapun membuat keputusan belum membenarkan Nash untuk bersumpah hari ini meskipun penyanyi itu sedia berbuat demikian.

Sebaliknya, mahkamah mengarahkan Nash memberikan keterangan berhubung lafaz cerai yang didakwa isterinya.

Kelancaran posiding kerap tersekat-sekat ekoran bantahan peguam kepada soalan yang ditanya oleh Mohd. Zaidi. Sungguhpun begitu, prosiding telah dihiasi bahasa berbunga-bunga dan perumpamaan.

Misalnya peguam syarie, Ahmad Daud yang juga mewakili Nash membantah soalan Mohd. Zaidi berhubung krisis rumah tangga dihadapi pasangan itu.

Beliau membantah kerana soalan sepatutnya menjurus kepada isu pokok iaitu lafaz cerai yang didakwa plaintif yang kononnya telah dilafazkan anak guamnya (Nash).

"Jika isu krisis rumah tangga yang diperbincangkan di sini, nanti isu pinggan pecah pun akan ditimbulkan,", kata Ahmad.

Namun bagi Mohd. Zaidi, sebelum isu lafaz cerai yang timbul mestilah ada penyebabnya.

"Kalau tidak, masakan tiada angin, pokok bergoyang. Jika tiada lafaz cerai masakan anak guam saya sanggup membawa perkara ini ke mahkamah," tegas Mohd. Zaidi.

Ahmad mencelah: "Buah durian pun boleh jatuh tanpa ada angin. Sekarang cerai sudah dilafazkan, mengapa perlu kita membincangkan soal krisis rumah tangga lagi."

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohamad: "Baiklah. Cerita tentang angin, ia sudah dilafazkan tetapi plaintif gagal membuktikan bahawa ada angin, pokok bergoyang. Supaya angin tidak bertiup lebih kencang lagi, apa yang berlaku, sudah berlaku. Jadi mahkamah berharap pihak-pihak menumpukan soalan kepada lafaz cerai. Perkara sampingan boleh dikemukakan tetapi tumpuannya kepada lafaz cerai."

Selepas mendengar keterangan Nash, mahkamah telah menetapkan tiga tarikh iaitu 15 Ogos ini untuk Mohd. Zaidi memfailkan hujahan permohonan plaintif, manakala 2 September depan untuk Nash menyerahkan hujahan balas kepada mahkamah dan 16 September pula untuk pihak-pihak mengemukakan hujahan di akhir kes.

Mahkamah juga mengecualikan kehadiran plaintif dan defendan pada ketiga-tiga tarikh tersebut.



No comments:

Post a Comment