Thursday, August 2, 2012

Penjaga gol tidak hadir prosiding khalwat


2 Ogos 2012 - Kosmo

PETALING JAYA - Penjaga gawang Malaysia yang beraksi dalam perlawanan menentang Arsenal dan Manchester City bulan lalu, Mohd Farizal Marlias dikenakan perintah saman oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, kerana gagal hadir prosiding khalwat yang dikenakannya, semalam.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengeluarkan saman berkenaan kepada Mohd Farizal, 26, pasangannya Zaiton Othman, 29, serta penjamin mereka yang juga bekas pemain bola sepak Perak, Khairul Izwan Mohamed Jamaludin kerana turut tidak hadir.
Mohd Farizal dan pasangan sepatutnya hadir untuk sebutan pertama kes khalwat mereka hari ini.
Mereka didakwa berkhalwat di sebuah tempat di Petaling Jaya, pada awal pagi, 11 Oktober 2011.

Bagaimanapun, pada prosiding, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli memberitahu, beliau tidak menerima makluman mengenai ketidakhadiran Mohd Farizal Marlias dan Zaiton.

Shafezan memohon mahkamah mengeluarkan saman kehadiran terhadap pasangan itu serta penjamin mereka.

Mahkamah turut memerintahkan mereka hadir pada sebutan kes 13 September depan.

Wan Mahyuddin turut menegaskan sekiranya saman di luar bidang kuasa sudah diserahkan kepada Farizal tetapi masih gagal hadir pada tarikh akan datang, waran tangkap akan dikeluarkan.


Selepas prosiding kes itu tamat hampir satu jam, Khairul Izwan tiba berseorangan di mahkamah pada jam 1 tengah hari dengan membawa sijil cuti sakit Mohd Farizal tetapi tiada dokumen dikemukakan untuk mewakili Zaiton. Mohd Farizal kini adalah penjaga gawang pasukan Negeri Sembilan dan pernah mewakili skuad Shahzan Muda dan Perlis.



No comments:

Post a Comment