Monday, July 9, 2012

Selesai kemelut secara baik – Berita Harian 10/7/2012

Selesai kemelut secara baik – Berita Harian 10/7/2012

Petaling Jaya: Pelakon, Rita Rudaini dan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam supaya menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, menasihatkan pasangan itu, sebagai individu dikenali umum supaya mencari jalan penyelesaian bagi menjernihkan kembali hubungan mereka kerana kes itu yang sering tertangguh akan memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat.

Berkat Ramadan

“Kalau tidak boleh hidup bersama lagi, lebih baik bercerai secara baik sekali gus kamu berdua sebagai pihak-pihak dikenali ramai akan mendapat ganjaran pahala. Semoga berkat Ramadan nanti ada penyelesaian,” katanya.

Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36, (defendan) hadir ke mahkamah semalam memakai baju kurung moden dan bertudung ungu ditemani peguam syarienya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain manakala Aidil Zafuan atau nama sebenarnya Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 25, (plaintif) tidak hadir dan diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari.
Ahmad Nazib memaklumkan anak guamnya tidak mendapat pelepasan untuk hadir ke mahkamah kerana perlu menjalani latihan bola sepak menentang Arsenal yang akan berlangsung dua minggu lagi.
Buka pintu perbincangan
Menjawab soalan Wan Mahyuddin, Rita Rudaini berkata beliau sedia berbincang dengan Aidil Zafuan sekiranya mendapat arahan daripada mahkamah manakala Ahmad Nazib menjelaskan anak guamnya membuka pintu perbincangan seluas-luasnya berhubung kes rumah tangga mereka.

“Perbincangan sebelum ini, mereka menuntut hampir setengah juta ringgit dan tiada perbincangan mengenai isu lain,” kata Ahmad Nazib.
Mohd Zaidi kemudian menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan anak guamnya tidak pernah berbincang mengenai wang jutaan ringgit sebaliknya hanya mengharapkan perbincangan sebenar dan bukannya permainan tarik tali antara kedua-dua pihak.
Serah bantahan awal
Terdahulu, Mohd Zaidi berkata, beliau sudah menyerahkan bantahan awal kes kembali taat itu kepada plaintif yang antara lainnya membantah berhubung isu bidang kuasa mahkamah.
“Mereka sudah tinggal berasingan sejak Januari 2012. Tetapi dalam afidavit dia (Aidil) masih guna pakai alamat tempat tinggal defendan (Rita) malah mengajak tinggal bersama tetapi tidak sebut alamat tetap. Sekejap Seremban, sekejap Petaling Jaya. Seolah-olah plaintif main-main dengan undang-undang seperti bermain bola sepak,” katanya.
Ahmad Nazib mengakui menerima afidavit itu dan memohon masa selama 14 hari untuk menjawab bantahan berkenaan, sebelum mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 7 Ogos depan.
Aidil Zafuan memfailkan perintah kembali taat terhadap Rita supaya isteri dan anaknya berpindah dari kediaman mereka ketika ini di Damansara ke rumahnya di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini pada 15 Mei lalu.







No comments:

Post a Comment