Thursday, June 2, 2011

Padah Kahwin Lari

Padah kahwin lari – 27 Mei 2011 – Utusan Malaysia
LIZA betul-betul sudah 'angau' dan tidak boleh melupakan Rahmat walau sedetik pun. Leteran ibu dan ayahnya supaya jangan sesekali terjebak dengan Rahmat yang sememang sedia diketahui adalah suami orang tidak menjadi kudis kepada Liza.
Pedulikan semua itu kerana yang penting lelaki yang bertakhta di hatinya itu melayan dirinya bagai seorang puteri.
Cinta gila itu juga yang merasuk Liza untuk mengikut sahaja telunjuk Rahmat supaya mereka kahwin lari di Thailand.
Sudah menjadi lumrah, akhirnya belang sebenar Rahmat tidak mampu ditutup lama-lama, semakin hari perangainya mulai berubah.
Bukan sahaja sudah mula jarang balik rumah, paling Liza tak tahan apabila dia kerap menjadi sasaran Rahmat melepas geram setiap kali lelaki itu menghadapi masalah.
Liza cuma mampu menangis seorang diri kerana jika masalah itu dikongsi dengan keluarga pasti mereka akan memulangkan paku buah keras kepadanya.
Silap Liza juga kerana terlalu percayakan lelaki itu yang tidak disangka begitu mudah berubah hati dan langsung tidak bertanggungjawab untuk memberi nafkah ke atas dirinya.
Liza terpaksa menanggung segalanya kerana Rahmat memberikan pelbagai alasan sedang menghadapi masalah kewangan yang tenat.
Malah jauh di sudut hati, Liza juga telah lama tidak 'berselera' nak melayan Rahmat kerana di dalam hatinya semakin lama berbuku dengan perasaan geram dan tercabar.
Akhirnya Liza membuat keputusan untuk menuntut fasakh di mahkamah kerana Rahmat bukan sahaja sudah lama tidak pulang ke rumah malah dia mendengar cerita sudah menambah 'cawangan baru'.
Akhirnya Liza memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (EUKIS 2003).
Walaupun perkahwinan plaintif dan defendan itu didaftarkan di Perak, mahkamah mempunyai kuasa mendengar kes itu kerana plaintif tinggal dalam daerah Gombak, Selangor.
Perkahwinan itu juga mengikut syarak dan memenuhi peruntukan seksyen 45 EUKIS 2003.
Alasan plaintif memohon cerai fasakh dalam pernyataan tuntutan pindaan itu kerana defendan cuai memberi nafkah kepada plaintif melebihi tiga bulan.
Defendan juga selalu menyakiti plaintif, berperangai keji dan tidak berlaku adil di dalam perkahwinan poligami.
Plaintif telah menyediakan tiga orang saksi yang disepina bagi menyokong permohonan itu iaitu anak dan dua jirannya.
Berhubung dakwaan pertama iaitu nafkah, mahkamah berpuas hati menerima keterangan plaintif yang menyatakan defendan telah tinggal berasingan. Dalam tempoh tersebut tiada nafkah mencukupi yang dihantar kepada plaintif.
Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan bahawa defendan tidak menyediakan tempat tingggal kerana rumah yang diduduki bersama defendan adalah milik plaintif.
Bagi alasan kedua pula, defendan selalu menyakiti fizikal plaintif sehingga menjadikan kehidupannya menderita dan mahkamah mendapati keterangan itu disokong oleh qarinah atau keterangan lain misalnya laporan polis dan perubatan.
Dakwaan ini telah disokong oleh saksi (anak plaintif) yang telah melihat kejadian pukulan tersebut dan kesan pukulan ke atas plaintif selepas dua bulan bersalin.
Keterangan plantif dan saksi-saksi diterima atas asas bayyinah serta qarinah dan kegagalan defendan hadir bagi menjawab dakwaan dan tuntutan plaintif menunjukkan secara qarinah defendan merestui perkahwinan ini difasakhkan.
Oleh kerana defendan tidak hadir ke mahkamah dan gagal memberi keterangan membela diri, maka berdasarkan hukum syarak dan peraturan di dalam Arahan Amalan No.1 Tahun 2003 JKSM, mahkamah mengarahkan plaintif bersumpah istizhar bagi mengelakkan tohmah sebelum keputusan dibuat.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad mensabitkan defendan cuai atau gagal menyediakan bayaran nafkah zahir yang mencukupi ke atas plaintif dalam tempoh tiga bulan tanpa alasan yang munasabah.
Mahkamah mensabitkan perbuatan defendan yang tidak memberi nafkah ke atas plaintif dengan mencukupi dalam tempoh tersebut telah mendatangkan kemudaratan ke atas diri plaintif.
Malah mahkamah mensabitkan plaintif tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah.
Mahkamah mensabitkan defendan tidak berlaku adil di dalam perkahwinan poligami, menganiaya plaintif dengan lazim menyakiti pihak plaintif berdasarkan laporan perubatan dan laporan polis.
Mahkamah kemudiannya memfasakkan pernikahan antara plaintif dan defendan.

No comments:

Post a Comment