Thursday, June 2, 2011

Tuntut fasakh selepas suami lumpuh

ARKIB : 20/05/2011 Utusan Malaysia
Tuntut fasakh selepas suami lumpuh
Nadirah memang dikenali gadis paling cantik di kawasan perumahan separuh elit tidak jauh dari pusat bandar.
Dalam ramai-ramai jejaka yang masuk meminang, Faris memang bernasib baik. Walaupun tidak berjawatan besar tetapi dia yang menjadi pilihan Nadirah.
Nadirah sebenarnya dalam diam-diam memang meminati Faris, jejaka tinggi lampai yang paling kacak dan pernah menjadi seniornya di sekolah.
Bagaimanapun ketika itu, Nadirah cuma melihat Faris dari jauh sahaja dan memang dia berangan-angan memiliki jejaki itu pada suatu hari nanti.
Nadirah akui perkahwinan mereka cukup bahagia sehinggalah dikurniakan cahaya mata yang ketiga apabila Faris semakin banyak berubah seperti tidak sihat.
Sudah puas Nadirah memujuk Faris untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tetapi suaminya berdegil kononnya dia memang tidak ada apa-apa masalah.
Sehinggalah suatu hari dia mendapat panggilan telefon bahawa suaminya terjatuh ketika sedang bermesyuarat di tempat kerja.
Faris telah disahkan doktor telah diserang angin ahmar sehingga membuatkan dia lumpuh separuh badan.
Semenjak itu kehidupan yang dilalui Nadirah semakin hari semakin rumit.
Mana lagi hendak menguruskan Faris yang kini seperti 'mayat hidup' yang sudah berlarutan hingga masuk tahun ketiga. Pada masa sama hendak diuruskan anak-anak, rumah dan dia sendiri juga harus bekerja untuk menyara keluarga.
Setiap malam dia cuma mampu memandang sepi ke arah Faris yang kini cuma sekujur tubuh yang hampir kaku.
Tubuh itu sudah tidak mampu lagi untuk memberikan dia belaian hangat seperti dahulu malah membiarkan Nadirah dibuai keresahan yang tidak ada penghujung.
Nadirah bernasib baik apabila beberapa bulan lalu mertuanya datang untuk mengambil Faris pulang ke kampung halaman bagi mengurangkan beban yang ditanggungnya selama ini.
Sementara itu sudah beberapa lama rakan sepejabatnya, Khairil seorang duda beranak dua yang cuba menjinakkan hati Nadirah.
Usaha Khairil yang tidak mengenal jemu itu membuatkan Nadirah mengalah dan mula meletakkan duda itu sebagai cintanya yang baru.
Kini Khairil adalah segala-galanya kepada Nadirah kerana walaupun lelaki itu tidak sekacak Faris tetapi telah berjaya membebaskan dirinya daripada cerita sengsara sekali gus meronakan lagi jiwanya dengan nikmat kebahagiaan.
Pada suatu minggu, Khairil mengajaknya untuk ke tepian pantai bagi menikmati keindahan matahari terbenam di ufuk timur.
Khairil yang sekian lama menunggu peluang untuk berdua-duaan itu cuba mengocak jantung Nadirah dengan belaian yang membuatkan dia hampir lemas dihanyut gelora asmara.
Mujurlah Nadirah tidak terleka dengan godaan syaitan kerana sedar dia masih berstatus isteri orang.
Khairil kemudiannya mengulangi perkataan maaf dan berjanji untuk mengambil Nadirah sebagai isteri yang sah selepas selesai memohon tuntutan fasakh di mahkamah.
Untuk membolehkan dia hidup bersama khairil, Nadirah akhirnya memfailkan cerai terhadap suaminya yang kini lumpuh.
Dalam kes itu permohonan ceraikan dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.Fakta kes menyebut si isteri memohon cerai fasakh dengan alasan defendan iaitu suaminya telah cuai memberi nafkah melebihi tiga bulan.
Si isteri juga mendakwa suaminya tidak menunaikan nafkah batin selama satu tahun sejak sehingga tarikh permohonan fasakh kerana sakit angin ahmar.
Kes ini telah dibicarakan sebelah pihak dan keterangan dikemukakan secara lisan dan afidavit.
Plaintif telah menyediakan dua orang saksi bagi menyokong permohonan itu yang merupakan kenalannya dan mereka mengetahui apa yang dialami oleh pihak plaintif.
Mahkamah juga mendapati keterangan plaintif memenuhi peruntukan dalam seksyen 73 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syaraih 2003.
Setelah mendengar keterangan si isteri, saksi dan sumpah istizharnya maka mahkamah memfasakkan pernikahan itu.
Malah mahkamah juga telah mensabitkan defendan telah cuai atau gagal menyediakan nafkah zahir yang mencukupi ke atas plaintif dalam tempoh bulan tanpa alasan yang munasabah.
Defendan juga tidak menunaikan nafkah batin kepada plaintif sehinggalah kes diputuskan.
Dengan itu mahkamah mensabitkan perbuatan defendan yang tidak memberi nafkah ke atas plaintif dengan mencukupi dalam tempoh tersebut telah mendatangkan kemudaratan ke atas diri plaintif.

No comments:

Post a Comment