Wednesday, July 13, 2011

Tuduhan khalwat dengan ahli perniagaan

Berita Harian 1/7/2011

PETALING JAYA: Pelakon Abdul Razak Ahmad atau dikenali sebagai Razak Ahmad, 44, diperintah membela diri oleh Mahkamah Rendah Syariah semalam, atas tuduhan berkhalwat dengan ahli perniagaan, enam tahun lalu. Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan diwakili Pendakwa Syarie, Shafezan Rusli berjaya membuktikan kes terhadap pelakon yang popular dalam drama bersiri Geng Surau dengan membawa watak Tok Imam. Wan Mahyuddin berkata, keadaan tertuduh yang tidak berbaju ketika ditangkap anggota polis di dalam sebuah rumah di Seri Kembangan di sini, bersama wanita bukan muhrimnya adalah perkara yang boleh mendatangkan syak dan perbuatan tidak bermoral.

Katanya, lima saksi pendakwaan turut memberitahu ketika tangkapan dilakukan hanya ada tertuduh bersama pasangannya, Selamah Sahudin, 45, malah suami wanita itu turut membuktikan tertuduh kedua (Selamah) adalah isterinya.

Wan Mahyuddin berkata, pangkat anggota polis yang membuat serbuan ke rumah itu tidak seharusnya ditimbulkan peguam syarie Razak, Mohd Azman Karim kerana tangkapan dilakukan mereka yang berkelayakan mengikut undang-undang malah tiada percanggahan dalam kes berkenaan.

Pada 27 Julai 2006, Razak mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan berkhalwat dengan Selamah di rumah beralamat Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini, jam 2.15 pagi, 1 April 2006.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selamah mengaku bersalah atas tuduhan itu dan dihukum denda RM2,850 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda terbabit di mahkamah sama.

Wan Mahyuddin menetapkan 15 September ini untuk prosiding membela diri selepas tertuduh membuat pilihan memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi.

No comments:

Post a Comment