Tuesday, March 6, 2012

Empat elemen khalwat lengkap


HARIAN METRO 4/3/2012

PETALING JAYA: Keterangan pelakon Razak Ahmad bahawa dia tidak tahu perbuatannya ke tempat dia ditangkap khalwat adalah satu kesalahan di sisi undang-undang kerana tidak mempunyai apa-apa niat selain mengambil baju yang ditaja, adalah satu penafian dan alasan semata-mata.
Perkara itu dihujahkan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.

Menurutnya, Razak yang diwakili peguam syarie, Mohammad Azman Karim sebelum ini memberitahu mahkamah, dia dijemput ke RTM untuk menjadi qari dalam satu program terbitan stesen televisyen itu dan oleh itu Shafezan berhujah adalah tidak relevan bagi seseorang yang menjadi qari iaitu orang yang mahir dalam pembacaan al-Quran tidak mengetahui undang-undang berdasarkan syarak.
“Pihak pendakwaan berhujah bahawa keterangan tertuduh itu adalah alasan dan penafian semata-mata. Tertuduh dalam keterangannya sebelum ini juga memberitahu, dia pernah bersekolah di sekolah agama,” katanya ketika prosiding hujahan balas kes khalwat pelakon itu, semalam. Pada 14 September 2006, Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 46, tidak mengaku bersalah berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 46, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, jam 2.15 pagi pada 1 April 2006.

Bagaimanapun Selamah yang hadir bersama suaminya pada prosiding itu mengaku salah dan didenda RM2,850 atau tujuh bulan penjara.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Sementara itu, Shafezan turut berhujah bahawa tertuduh tidak memakai baju dan hanya berseluar jean ketika ditangkap.

Menurutnya, dua saksi pendakwaan iaitu suami Selamah, dan pegawai polis mengesahkan tertuduh tidak memakai baju dan hanya berseluar jean ketika ditangkap bersama pasangannya di dalam bilik gelap. Bagaimanapun ketika sesi membela diri, Razak mendakwa beliau memakai baju singlet dan berseluar panjang.
Hujahnya, ia berbeza dengan keterangan bersumpah tertuduh yang mengatakan dia memakai anak baju (singlet) dan berseluar panjang ketika tangkapan dibuat ke atasnya.

Shafezan juga membangkitkan persoalan adalah tidak wajar untuk seseorang individu itu mencuba pakaian dalam keadaan lampu tertutup dengan alasan mentol terbakar kerana sekurang-kurangnya baju itu perlu dilihat atau digayakan di hadapan cermin atau mungkin boleh dicuba di dalam bilik lain yang tidak mempunyai masalah lampu.

Pihak pendakwaan turut berhujah terdapat empat elemen khalwat yang dipenuhi termasuk ketika ditangkap tertuduh berada bersama pasangannya serta kedua-duanya bukan mahram tidak dicabar ketika pembelaan.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menetapkan 19 April ini untuk pembelaan mengemukakan hujahan balas.

No comments:

Post a Comment