Tuesday, March 6, 2012

Hujahan akhir kes khalwat Razak Ahmad 19 April

1/3/2012 - Sinar Harian
SUBANG - Hakim Mahkamah Rendah Syariah menetapkan 19 April depan untuk hujahan akhir pembelaan kes pelakon dan penyanyi Razak Ahmad yang didakwa berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang enam tahun lalu.

Wan Mahyuddin Wan Muhammad menetapkan demikian untuk memberi peluang kepada peguam mewakili Razak, Mohamad Azman Karim menyediakan hujahan balas terhadap pihak pendakwaan.
Pelakon yang membawakan watak Tok Imam di dalam drama Geng Surau itu didakwa berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini, pada jam 2.15 pagi, 1 April 2006.

Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli semalam berhujah, terdapat banyak percanggahan yang dikemukakan Razak mengenai tujuan dia ke kediaman Selamah.

"Keterangan lisan mengatakan mahu ambil baju yang ditaja, keterangan lain kata dia datang ke rumah itu atas cadangan pasangannya manakala dalam hujahan balas pembelaan pula mengatakan jadual pengambaran yang luar biasa menyebabkan dia terpaksa datang ke rumah itu pada awal pagi," katanya.

Menurutnya, percanggahan keterangan itu jelas menunjukkan pembelaan Razak bersifat penafian semata-mata.

Shafezan turut mempertikaikan keterangan bela diri Razak yang mengatakan beliau memakai singlet ketika ditangkap sedangkan saksi pendakwaan memberitahu mahkamah, dia tidak berbaju.

"Pembelaan juga tidak mengemukakan saksi lain bagi menyokong keterangan itu. Versi pembelaan yang mengatakan keadaan gelap disebabkan lampu rosak juga tidak terpakai kerana saksi pertama, juga suami kepada Selamah mengatakan beliau membuka lampu selepas kedua pasangan itu ditangkap," katanya.

Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, didakwa kali pertama pada 27 Julai 2006 mengikut Seksyen 20 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa itu, Razak mengaku tidak bersalah manakala Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan mengaku bersalah dan dihukum denda RM2,850 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

Perbicaraan sebelum ini melibatkan keterangan tiga saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan, iaitu Razak sendiri. Razak juga pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992.

No comments:

Post a Comment