Monday, May 24, 2010

Haleeda tarik balik kes ke atas Azman Adnan

Haleeda tarik balik notis tunjuk sebab
KUALA LUMPUR 20 Mei - Pelakon dan penyanyi, Haleeda hari ini menarik balik notis tunjuk sebab terhadap bekas suaminya yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan berhubung kelewatan membayar nafkah anak mereka.
Peguam syarie, Mahyuddin Md. Zahari yang mewakili Haleeda bagaimanapun memberi peringatan kepada Azman, 39, agar sentiasa mematuhi perintah nafkah anak seperti yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membenarkan penarikan balik notis itu ketika kes berkenaan disebut di hadapannya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini.
Terdahulu, Mahyuddin menyatakan, alasan penarikan itu adalah disebabkan Azman selaku responden telah melangsaikan keseluruhan tunggakan nafkah anak berjumlah RM5,250 seperti yang dituntut oleh Haleeda selaku plaintif.
''Pihak responden hendaklah memastikan bayaran nafkah ke atas anak mereka dibayar pada setiap 1 haribulan setiap bulan, manakala segala tunggakan yang terlibat semasa kes ini berjalan juga perlu dibayar sebelum 30 Mei ini.
''Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, pihak kami tidak akan memaafkannya dan dia boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah mengikut Seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Negeri Selangor 2003,'' katanya.
Di bawah seksyen tersebut, responden boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara bagi permohonan Haleeda untuk meminda jumlah nafkah anak daripada RM350 sebulan kepada RM500, menurut Mahyuddin, anak guamnya ingin meneruskan permohonan tersebut dan beliau memohon satu tarikh sebutan.
Wan Mahyuddin menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan bagi memberi peluang kepada responden yang diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan untuk memfailkan pembelaan.
Azman berkahwin dengan Haleeda pada 27 Januari 1995 dan bercerai talak satu pada 9 Oktober 2003.

No comments:

Post a Comment