Monday, May 24, 2010

Titisan Air Mata

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Pelakon Norman Hakim menitiskan air mata dan terpaksa mengambil masa untuk menenangkan perasaan sebelum mampu melafazkan cerai terhadap isterinya, Abby Abadi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini.

Norman, 32, dilihat terdiam seketika menahan sebak sambil menundukkan kepala dan mengesat air mata dengan sehelai sapu tangan sebelum cuba ditenteramkan oleh seorang pembantu mahkamah serta peguam syarie mewakili Abby, Ahmad Nazib Johari.

Melihatkan keadaan Norman itu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menangguhkan sebentar prosiding sebelum menyambung semula 40 minit kemudian.

Sejurus prosiding bersambung semula pada 11.15 pagi, Norman yang sebelum itu duduk bersendirian di galeri awam untuk menenangkan perasaannya, berdiri dan melafazkan: ”Bahawa saya, Mohamed Norhakim Zaidon dengan suci hati menceraikan isteri saya, Arbaeyah Abdul Manan dengan talak satu.”

Wan Mahyuddin kemudian mensabitkan penceraian tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 dengan talak satu.

”Kedua-dua pihak pernah bercerai satu kali talak dan ini talak kedua, talak rajie. Mahkamah berpuas hati dengan lafaz talak itu dibuat di mahkamah pada pukul 11.20 pagi adalah mengikut hukum syarak,” katanya.

Beliau dengan itu memerintahkan supaya surat perakuan rujuk pasangan tersebut sebelum ini dibatalkan dan perintah penceraian hari ini didaftarkan.

Abby, 31, yang berbaju kurung putih gading berbunga biru dan tudung merah jambu turut diperintahkan oleh hakim syarie tersebut supaya beridah tiga kali suci mulai hari ini.

Pasangan itu berkahwin pada 8 Januari 2002 dan sepanjang perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd. Danish Hakim, 5, Marisa Dania Hakim, 3, dan Maria Danisha Hakim, tiga bulan.

Mereka pernah bercerai pada 5 Mei 2006 tetapi rujuk semula pada 11 Mei tahun yang sama.

No comments:

Post a Comment