Monday, May 24, 2010

Hawa dapat cerai - Utusan Malaysia 19 Nov 2008

Nov 19th, 2008

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Setelah empat tahun ditinggalkan suami tanpa sebarang nafkah akhirnya penyanyi, Wan Salmiah Meor Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Hawa, hari ini berjaya menuntut cerai secara fasakh.

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini membenarkan permohonan Hawa, 29, untuk bercerai secara fasakh selepas mendengar penyanyi itu melafazkan sumpah istizhar untuk menyakinkan mahkamah atas dakwaan terhadap defendan.

Sepanjang prosiding kes itu berlangsung, suaminya, Izzat Datuk Abdul Malek, 42, selaku defendan tidak pernah hadir ke mahkamah. Hawa diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan.

Terdahulunya, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad dalam penghakimannya berkata, alasan Hawa untuk bercerai secara fasakh disebabkan defendan sering menyakiti fizikal dan mentalnya di samping tidak memberi nafkah.

Defendan juga telah berpoligami tanpa kebenaran dan mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan keduanya.

Di samping itu, mereka juga acap kali bergaduh.

Mahkamah bagaimanapun berpendapat, tindakan defendan meninggalkan plaintif sejak 1 Januari 2004 ternyata menyusahkan Hawa dan anaknya.

“Sesungguhnya perbuatan defendan ini mendatangkan mudarat kepada plaintif. Plaintif terpaksa berkorban mencari nafkah sendiri. Sedangkan antara tujuan perkahwinan untuk berkasih sayang. Antara tanda-tanda rahmat Allah ialah menciptakan isteri-isteri kepada kaum lelaki. Perasaan kasih sayang dan belas kasihan hanya akan menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.

“Kesimpulannya, mahkamah berpuas hati dan meluluskan permohonan fasakh plaintif setelah mendapati defendan cuai kerana tidak mengadakan peruntukan nafkah,’’ katanya.

Selain itu, menurut hakim, kegagalan defendan untuk menghadiri prosiding meskipun iklan telah disiarkan dalam Utusan Malaysia, menunjukkan defendan merestui perkahwinan ini dibubarkan.

“Mahkamah menerima keterangan saksi-saksi (bapa Hawa, Meor Abdul Rashid Meor Abdul Rahman, 60, dan bapa mertuanya, pesara kerajaan, Datuk Abdul Malek Ahmad, 70, setelah defendan gagal hadir ke mahkamah.

“Oleh kerana defendan gagal membela dirinya, berdasarkan hukum syarak dan arahan amalan Jabatan Kehakiman Syariah, memerlukan plaintif melafazkan sumpah istizhar. Adakah plaintif sedia untuk melafazkan sumpah,’’ soal hakim kepada Hawa.

Plaintif yang nampak anggun mengenakan baju kebaya berwarna hitam, terlebih dahulu dengan tenang telah beristighfar sebanyak tiga kali.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Bahawa saya Wan Salmiah Meor Abdul Rashid menyatakan suami saya Izzat Datuk Abdul Malek telah cuai memberi nafkah kepada saya mulai 1 Januari 2004 sehingga sekarang. Sesungguhnya perbuatan defendan telah menimbulkan kesusahan dan penderitaan kepada saya dan anak. Sekiranya saya tidak bercakap benar saya akan bertanggungjawab ke atasnya (sumpah) dan sanggup menerima balasan di dunia mahupun akhirat.’’

Sejurus kemudian, Hakim Wan Mahyuddin berpuas hati untuk mensabitkan bahawa defendan memang cuai menyediakan nafkah tanpa alasan munasabah mulai 1 Januari 2004.

No comments:

Post a Comment