Friday, September 23, 2011

Ako terlepas hukuman penjara

Utusan Malaysia 13/9/2011

SHAH ALAM 13 Sept. - Pelakon, Ako Mustapha terlepas daripada hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam empat tahun lalu apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menerima rayuannya untuk mengetepikan hukuman itu.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad yang mengekalkan hukuman denda RM3,000 bagi kesalahan sama membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah telah terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ako.

Beliau dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Syarie Mohamad Adib Husain berpendapat, kesalahan yang dilakukan pelakon itu adalah kesalahan takzir (kesalahan yang tidak ditentukan jenis atau kadar hukuman dalam al-Quran dan hadis) yang lebih bertujuan mencegah.

Selain itu, Abu Zaky juga berpendapat hakim Mahkamah Rendah telah terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan faktor bahawa Ako telah mengaku bersalah, tidak mempunyai rekod lampau, telah berkeluarga serta bertaubat selain kesal dengan kesalahan yang dilakukan semasa menjatuhkan hukuman.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 38, dihukum penjara tiga bulan dan denda maksimum RM3,000 oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dekat sini pada 21 April 2009.Hukuman dijatuhkan selepas Ako mengaku bersalah berkhalwat dengan jurusolek artis, Anang Sagunting, 25, di Blok B-2-9 Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa, dekat sini pada pukul 1.20 pagi pada 27 Jun 2007.

Ako yang sinonim dengan watak Kapten Boleh, membayar denda tersebut pada hari yang sama.

Beliau melalui peguam syarienya, Akbardin Abdul Kader sebelum ini memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini bagi mengetepikan hukuman penjara tersebut.

Ako yang telah berkahwin dengan Kartina Shuaib Abdullah, 29, di Sabah pada 17 Januari 2009 pernah dikenakan waran tangkap selepas empat kali gagal hadir ke mahkamah sejak kesnya disebut pada 20 Mei 2008.

Sementara itu, Ako semasa ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu serta menyifatkan dirinya terlepas daripada satu beban.

Dia yang turut bersyukur kerana mendapat sokongan Kartina sepanjang prosiding berjalan juga berazam untuk memberi tumpuan kepada kepada isteri dan anaknya yang berusia setahun lapan bulan, Merissa Tempawan.

"Selepas ini, lebih mudah untuk saya memberi fokus kepada keluarga dan kerjaya," katanya yang kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan di TV3.

No comments:

Post a Comment