Friday, September 30, 2011

Tuntut mutaah selepas dicerai suami curang

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 30/09/2011

Tuntut mutaah selepas dicerai suami curang

Ketika dipinang oleh Sulaiman (bukan nama sebenar), rakan-rakan yang pernah sekuliah dengan Rohaiza (bukan nama sebenar) menganggap dia adalah wanita yang paling bertuah di muka bumi ini.

Alasannya kerana Sulaiman bukan sahaja memiliki wajah yang tampan, malah berjawatan cukup baik di mana selepas kahwin Rohaiza hanya perlu menumpukan sepenuh masa di rumah melayan suami dan anak-anak.

Rohaiza juga akui, dengan berkahwin dengan Sulaiman dia dapat tinggal di beberapa buah negara orang selain dikurniakan anak-anak yang comel dan bijak.

Tetapi bertugas di luar negara mendedahkan Sulaiman dengan budaya baru. Godaan demi godaan daripada gadis-gadis asing yang langsung tidak ada pantang larang daripada segi pergaulan tanpa menghiraukan status itu turut menjebakkan Sulaiman.

Biarpun dia suami orang, itu bukan halangan untuk berseronok sambil melepaskan hawa nafsu.

Leteran Rohaiza sudah tidak ada maknanya kepada Sulaiman.

Dia bukan sudah lama lupa tikar sembahyang, malah semakin seronok melakukan maksiat dengan mana-mana gadis atau bini orang.

Suatu malam selepas pulang dari menjenguk anak kawannya yang sakit, Rohaiza terkejut apabila mendapati terdapat sepasang kasut tumit tinggi wanita di pintu masuk rumah.

Hatinya memang tidak keruan. Ketika itu dadanya berombak kencang. Perlahan-lahan Rohaiza melangkah ke bilik tidur.

Setelah hampir di hadapan bilik, Rohaiza terus menolak daun pintu. Seperti yang telah diduga di hadapannya dua insan sedang asyik memadu kasih dalam keadaan memalukan.

Apa yang lebih dikesalkan, suaminya itu semakin melampau apabila sanggup membawa balik dan meniduri perempuan lain di bilik tidur mereka.

Ternyata perangai buruk Sulaiman tidak pernah berubah, malah dia sanggup bertindak melafazkan cerai semata-mata untuk menghukum Rohaiza yang tidak bersalah.

Kerana tidak tahan dengan tindakan Sulaiman itu, Rohaiza juga bertindak nekad membawa kes penceraian itu ke mahkamah bagi menuntut mutaah atau sagu hati berdasarkan haknya dari segi undang-undang.

Rohaiza menuntut mutaah sebanyak RM50,000 kerana Sulaiman telah menceraikannya tanpa sebab selepas 15 tahun berkahwin.

Rohaiza dan Sulaiman sebelum itu telah bercerai dengan talak satu sebanyak dua kali. Mereka mempunyai empat orang anak berumur antara 11 hingga 18 tahun.

Semasa bercerai, Rohaiza adalah suri rumah sepenuh masa dan Sulaiman penjawat awam.

Selepas perceraian sehingga kini masih belum ada apa-apa perintah mengenai mutaah yang perlu dibayar oleh Sulaiman kepada Rohaiza oleh mana-mana mahkamah.

Kedua-duanya juga telah menjalani proses sulh tetapi tiada persetujuan dicapai.

Dalam keterangan utama secara afidavit bertulis Rohaiza mengemukakan tiga orang saksi. Sulaiman pula tiada saksi.

Mutaah sebenarnya bukan sahaja untuk meringankan beban isteri yang bakal hidup bersendirian, malah bagi menjaga kepentingan peribadi serta sebagai tanda memuliakan dirinya bagi mengelak tanggapan masyarakat yang beranggapan negatif terhadap isteri apabila berlaku penceraian.

Di dalam kes ini beberapa elemen penting mesti diambil kira oleh mahkamah sebelum keputusan dibuat.

Ia termasuk bagaimana perceraian berlaku, tempoh perkahwinan antara Rohaiza dan Sulaiman, taraf atau kedudukan atau status Rohaiza semasa berlakunya perceraian, taraf keluarga Rohaiza dan kemampuan Sulaiman untuk membayar mutaah.

Mahkamah bagaimanapun berpuas hati dengan keterangan utama Rohaiza mengenainya pengorbanannya dalam membantu kerjaya Sulaiman ketika bertugas di beberapa buah negara.

Sulaiman pula dalam keterangan kepada mahkamah memberitahu, walaupun pendapatan bulanannya lima angka tetapi dia tidak mampu memberikan mutaah RM50,000 seperti yang dituntut Rohaiza.

Bagaimanapun selepas meneliti keterangan kedua-dua belah pihak pihak dan mengkaji kedudukan kewangan Sulaiman, mahkamah mendapati dia berkemampuan mengikut hukum syarak.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Wan Mahyuddin Wan Muhammad ketika membuat penghakiman mensabitkan Rohaiza berhak mendapat mutaah daripada Sulaiman sebanyak RM20,000.

Mahkamah memerintahkan Sulaiman menjelaskan bayaran mutaah kepada plaintif sebelum 1 Januari 2012.

Jika gagal berbuat demikian dianggap sebagai menghina perintah mahkamah.

No comments:

Post a Comment