Friday, September 23, 2011

Malik abai isteri 'gilakan' Eja

Malik abai isteri 'gilakan' Eja

Utusan Malaysia 23 September 2011

Oleh SHOLINA OSMAN

SEMASA Lisa diperkenalkan dengan Malik dia memang telah ada buah hati, Kamal, yang dikenalinya sejak beberapa bulan semasa bekerja di sebuah kilang di Kuantan.

Bagaimanapun, dia terpaksa balik ke kampungnya di Temerloh memandangkan ibunya tidak sihat sejak kematian ayahnya beberapa tahun lalu.

Ibunya pula sentiasa risau memikirkan Lisa belum bertemu jodoh kerana bimbang dengan siapalah nanti anaknya akan menumpang harap setelah dia tiada lagi di dunia yang fana ini.

Malik pula walau sudah lama bekerja di Kuala Lumpur tetapi ibu bapanya tetap mahu menjodohkannya dengan anak gadis dari kampung.

Lisa akhirnya menerima saja pinangan Malik sekalipun jauh di sudut hatinya kecewa kerana cintanya dengan Kamal terputus begitu sahaja di pertengahan jalan.

Kebetulan selepas beberapa bulan berkahwin, emaknya kembali menemui Ilahi dan Lisa akhirnya mengikut Malik bermastautin di Kuala Lumpur kerana sebelum ini telah memberikan kebenaran untuknya menjaga ibunya yang sedang tenat.

Boleh dikatakan perkahwinan antara Lisa dan Malik memang cukup bahagia seperti mana pasangan lain sehinggalah lahir anak yang kedua.

Tetapi sebagai isteri, Lisa sekadar boleh membaca riak suaminya dengan meneka-neka sahaja tetapi belum mendapat sebarang bukti di atas kecurangan Malik.

Menggapai impian

Ini kerana kalau Lisa ajak keluar di hujung minggu, Malik sentiasa memberikan jawapan malas dengan alasan anak-anaknya masih kecil.

Malik tahunya tidur sahaja dan kalau tidak pun jari-jemarinya sibuk bermain khidmat pesanan ringkas (SMS). Ingin ditanya Lisa takut pula Malik naik berang.

Lisa sedar Malik kini bukan seperti dulu lagi dan semua itu terbongkar semenjak dia terbaca SMS dari seorang wanita yang dikenali sebagai 'Eja' dari telefon bimbit Malik yang kebetulan tertinggal semasa dia kelam-kabut untuk ke kedai servis kereta.

Berderau darah Lisa. Bagai hendak pecah kepalanya. Tetapi semua itu terpaksa ditelan kerana dari SMS itu membuktikan Malik dan Eja sudah lama asyik-mahsyuk di alam percintaan.

Lisa pun tidak boleh marahkan Malik kerana perkahwinan mereka atas pilihan keluarga.

Malik kini sedang melayari percintaan dengan wanita yang memenuhi ciri yang dicari selama ini dan isterinya kini bagai orang asing sekalipun tidur sekatil.

Sudah lama Malik tidak 'mengindahkan' isterinya.

Gelagat Malik pula asal letak sahaja kepala di bantal terus sahaja lelap dengan dengkuran yang kuat sehingga menambahkan lagi panas hati Lisa.

Pernah juga Lisa cuba bermanja-manja dengan suaminya tetapi dia sendiri naik malu apabila Malik sanggup menepis tangannya seolah-olah cuba menganggu masa tidurnya.

Bagi Malik, isterinya bukan sudah tiada daya penarik lagi kerana kini dalam akal fikirannya hanya untuk mencari jalan keluar bagi menggapai impian bersama Eja.

Eja adalah segala-galanya. Senyum, gelak ketawa, lentok badannya, rambut ikal mayang dan minyak wangi yang dipakai Eja sentiasa dirindukan siang dan malam.

Malangnya pertemuan dia dengan Eja yang tinggal di selatan tanah air itu sekali-sekala sahaja apabila gadis itu turun ke Kuala Lumpur untuk keduanya melepaskan rindu.

Memang pada petang itu, Malik nekad akan mengikut Eja pulang ke selatan kerana sudah tidak sanggup lagi berpisah kerana keluarga kekasihnya itu sudah merestui perhubungan itu asalkan dia meninggalkan anak dan isterinya.

Lisa sedar Malik sudah pergi buat selama-lamanya maka jalan terakhirnya adalah membuat tuntutan fasakh di mahkamah supaya dirinya akan bebas sepenuhnya dari bayangan Malik.

Kenyataannya masalah yang dihadapi oleh Lisa dan Malik termasuk dalam kes yang pernah dikendalikan oleh Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad ketika berkhidmat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur. Berikutan itu, Lisa telah membuat permohonan fasakh pada berdasarkan Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUKIS) 2003 daripada Malik (bukan nama sebenar).

Lisa telah berkahwin dengan Malik di Pahang. Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mempunyai bidang kuasa mendengar kes ini kerana Lisa tinggal dalam daerah Gombak dan perkahwinan ini mengikut hukum syarak yang berdasarkan Seksyen 45 EUKIS 2003.

Berdasarkan kenyataan bertulis yang disampaikan oleh Lisa selaku plaintif, saman bagi kes ini secara ganti iklan telah dilakukan. Tetapi Malik selaku defendan tidak hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut atau membuat pembelaan di sepanjang perbicaraan kes berlangsung.

Pihak mahkamah meneruskan kes itu dengan mendengar keterangan daripada Lisa yang berasaskan Seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.

Alasan Lisa memohon cerai daripada Malik kerana gagal menunaikan nafkah batin terhadapnya selama tempoh melebihi satu tahun dan sudah tinggal berasingan sehingga tuntutan fasakh dibawa ke mahkamah.

Semasa perbicaraan, Lisa juga telah menyediakan dua saksi yang disepina bagi menyokong permohonannya.

Keterangan oleh saksi-saksi juga konsisten dan menyokong tuntutan Lisa yang antaranya mengatakan Malik sudah tinggal berasingan.

Keterangan Lisa ini telah memenuhi peruntukan di dalam seksyen 73 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2003.

Difasakhkan

Akibat perbuatan Malik yang tiada belas kasihan, menyebabkan Lisa yang terpaksa berkorban mencari nafkah bersendirian untuk hidup bersama dengan anak-anaknya.

Mahkamah juga mengambil pendekatan bagi membuat keputusan ini berdasarkan keputusan kes terdahulu di mana Mahkamah Rayuan di masa itu disebut Jawatankuasa Rayuan meluluskan permohonan plaintif memohon fasakh dari defendan atas alasan suami telah cuai dan tidak mengadakan peruntukkan bagi nafkah isterinya selama tempoh tiga bulan.

Kesimpulannya berdasarkan keterangan Lisa, saksi-saksi dan hujah yang dikemukakan maka Hakim Wan Mahyuddin berpuas hati untuk meluluskan permohonan fasakh oleh Lisa ke atas dengan alasan:

Malik selaku defendan telah gagal menunaikan nafkah batin kepada Lisa selama tempoh melebihi satu tahun dan sudah tinggal berasingan sehingga tarikh keputusan dibuat oleh mahkamah.

Keterangan Lisa dan saksi-saksi diterima atas asas bayyinah dan kegagalan Malik hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah bagi menjawab dakwaan Lisa menunjukkan dia merestui perkahwinan itu difasakhkan.

Mahkamah kemudian mengarahkan Lisa bersumpah istizhar bagi mengelakkan tohmah sebelum keputusan dibuat.

Setelah mendengar keterangan, plaintif, saksi dan sumpah istizhar plaintif, Wan Mahyuddin membenarkan permohonan fasakh Lisa berdasarkan peruntukkan mengikut Seksyen 53 di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Alasannya defendan telah gagal menunaikan nafkah batin kepada Lisa selama tempoh melebihi satu tahun sdan masing-masing telah tinggal berasingan sehingga keputusan dijatuhkan oleh mahkamah .

Sehubungan itu, mahkamah telah mensabitkan perbuatan Malik telah mendatangkan kesusahan kepada Lisa.

Alasan lain Lisa juga tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah.

Mahkamah memerintahkan Lisa beridah tiga kali suci, penceraian ini hendaklah didaftarkan dan surat akuan nikah asal hendaklah dibatalkan.

No comments:

Post a Comment