Razak bersalah khalwat – Harian Metro
15/6/2012
PETALING JAYA:
Selepas enam tahun naik turun mahkamah berhubung kes khalwat dengan ahli
perniagaan berstatus isteri orang, pelakon Razak Ahmad akhirnya didapati
bersalah dan didenda RM2,900 atau setahun penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah
di sini, semalam.
Hakim Syarie Wan
Mahyuddin Wan Muhammad memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh
gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Terdahulu, sebelum
menjatuhkan hukuman, Wan Mahyuddin menasihatkan Razak menjaga tingkah laku
memandangkan dia adalah artis kerana setiap perbuatan artis yang baik menjadi
ikutan kepada masyarakat dan mendapat pahala. “Sesungguhnya perbuatan tertuduh
yang berkhalwat bukan saja menjejaskan dirinya malah keluarga, masyarakat dan
peminat.
“Tertuduh sering diberikan watak baik dan ahli agama dalam lakonan, jadi
mahkamah berpendapat dia mengetahui kesalahan khalwat dan patut diberi hukuman
tegas,” katanya. Bagaimanapun, Wan Mahyuddin berkata, mahkamah memberi peluang
kepada tertuduh memperbaiki diri dan mahukan masyarakat menerima dirinya.
“Mahkamah berharap
hukuman ini memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh tapi kepada
masyarakat,” katanya.
Sementara itu, dalam hujahan meringankan hukuman, peguam Syarie Muhamad Azman
Karim yang mewakili Razak merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan
anak guamnya insaf dengan perbuatannya.
Tambahnya, akibat daripada kes itu, tertuduh kurang mendapat tawaran berlakon
selain disenaraihitamkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Kes yang berlanjutan selama enam tahun ini
menjadi hukuman kepada tertuduh. Dia hilang tawaran berlakon dan bercerai
dengan isterinya. Malah kes ini disebut di kalangan warga media,” katanya.
Selain itu, Muhamad Azman memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara
terhadap Razak kerana ia memberi kesan kepada kehidupan dan pendapatannya.
Pendakwaan kes itu yang dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor
(Jais), Shafezan Rusli.
Pada prosiding
sebelum ini, pendakwaan memanggil tiga saksi untuk memberi keterangan manakala
hanya Razak tampil sebagai saksi pembelaan.
Ketika ditemui media di luar mahkamah, Razak enggan mengulas lanjut. “Saya tak
ada apa nak komen. No (tiada) komen. Saya frust (kecewa),” katanya. Razak yang
memakai sut hitam dan bersongkok membayar denda itu.
Pada 14 September 2006, Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 46, tidak
mengaku bersalah berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 46, di sebuah rumah di Apartmen
Blok A, Taman Serdang Perdana, jam 2.15 pagi, 1 April 2006.
Bagaimanapun, Selamah yang hadir bersama suaminya pada prosiding itu mengaku
salah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan (b) bagi
wanita mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.