Friday, October 14, 2011

Dicekup ketika menagih layanan gadis Vietnam

6/10/ 2011 - Utusan Malaysia

Tabiat Khairul yang suka melangkah ke mana-mana lorong atau premis yang menawarkan perempuan untuk melepaskan nafsu serakahnya seolah tidak bernoktah.
Biarpun ibu di kampung sudah mencarikan seorang gadis sebaik Saleha untuk dijadikan isteri, tarikan keseronokan berbuat maksiat sejak zaman remaja lagi nyata lebih kuat.
Sekelumit pun dia tidak pernah terfikir tentang dosa apatah lagi untuk segera bertaubat.
Khairul memang bijak kerana setakat ini bukan sahaja Saleha tidak dapat menghidu perangai buruknya itu, malah rakan-rakan sekerjanya juga tidak pernah mengetahui sisi gelap hidupnya.
Di rumah dia adalah seorang suami dan bapa baik manakala di pejabat pula dia seorang pekerja yang pendiam dan tidak banyak onar.
Tetapi kalau bab perempuan, tanya saja wanita bangsa apa yang tidak pernah dilanggannya termasuk yang terbaru seorang gadis Vietnam.
Bayaran untuk menjadikan gadis itu sebagai pelampias nafsunya bukan sahaja tidak mahal, malah khabarnya layanan oleh gadis warga asing tersebut dikatakan mempunyai ciri-ciri gadis Melayu dan Cina itu memang luar biasa.
Sekali bertemu dengan Kieu memang Khairul akui dia ketagih dengan layanan perempuan itu dan mula merencana untuk menempah lagi.
Kebetulan hari itu giliran kerja habis awal, tanpa berlengah Khairul segera bergerak ke premis yang menempatkan gadis Vietnam itu.
Hati Khairul semakin berbunga melihat gadis berkenaan yang sudah menunggu di pintu bilik untuk melayan pelanggan tetapnya.
Gadis Vietnam itu faham sangat dengan kelibat Khairul yang seolah-olah tidak dapat menahan selera yang membuak-buak.
Kieu pula sengaja mencabar lelaki di hadapannya itu dengan aksi-aksi yang menambah lagi kocakan degup jantungnya.
Khairul yang sudah berada di luar kawalan itu nyata tidak sabar-sabar menawan gadis tersebut hinggalah telinganya terdengar ketukan pintu yang begitu kuat.
Baru dia tersedar dan ditolaknya gadis Vietnam itu untuk segera mencapai apa sahaja bagi membalut dirinya sebelum membuka pintu.
Muka Khairul seperti ditoreh tidak berdarah apabila di muka pintu terdapat sekumpulan lelaki yang mengenalkan diri sebagai pegawai pencegah maksiat.
Kini topeng 'muka baik' selama ini di hadapan isteri, anak dan rakan sekerja akhirnya akan terbongkar kerana dia pastinya akan dihadapkan ke muka pengadilan.
Kes Khairul (bukan nama sebenar) antara kes khalwat yang telah dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Wan Mahyuddin Wan Muhammad baru-baru ini.
Mengikut fakta kes, Khairul pada pukul 10.35 malam di sebuah bilik premis di Petaling Jaya telah dituduh berkhalwat dengan seorang perempuan bukan Islam yang bukan isteri atau mahram yang sah di mana telah menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral yang dilarang agama.

Dia dituduh melakukan kesalahan berkhalwat di bawah Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Khairul telah mengaku bersalah dengan sukarela dan memahami akibat pengakuan itu serta mengetahui hukuman yang bakal diterima setelah pertuduhan dibaca ke atasnya.
Mahkamah menerima pengakuan bersalah sukarela Khairul sebagai iqrar yang boleh diterima kerana dibuat di dalam mahkamah mengikut Seksyen 17 (2) (a) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang mengatakan apa-apa iqrar hendaklah dibuat di dalam mahkamah iaitu di hadapan Hakim Syarie.
Selain itu, mahkamah mendapati semasa tangkapan hanya tertuduh dan pasangannya yang bukan mahramnya sahaja di tempat kejadian.

Juga terdapat barang kes yang dirampas iaitu kondom dan seluar dalam lelaki.
Kes ini juga dirujuk berdasarkan hukum syarak bahawa perbuatan khalwat dilarang agama Islam kerana ditakuti akan berlaku kepada dosa yang lebih besar iaitu zina.
Allah telah berfirman di dalam al-Quran surah al-Israa' ayat 32 bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan).
Mengenai rayuan tertuduh bahawa telah bertaubat, mahkamah tidak dimaklumkan bentuk taubat itu oleh tertuduh sama ada telah insaf atau tidak.
Disebabkan Khairul merayu tidak mahu hilang kerja kerana adalah penjawat awam maka rayuan diterima tetapi memberi satu alternatif yang amat sesuai sebagai menjatuhkan hukuman.
Walaupun itu kesalahan pertama Khairul, prinsip mencegah itu lebih diutamakan kerana demi kebaikan dan pengajaran dia sendiri dan juga masyarakat tentang larangan khalwat yang salah di sisi undang-undang dan hukum syarak.
Berdasarkan rayuan tertuduh sebagai penjawat awam yang telah berkeluarga dan mempunyai anak maka mahkamah berpendapat denda dengan wang bukan jalan terbaik untuk menginsafkan Khairul kerana ia perlu sebagai simpanan untuk keperluan isteri dan anaknya.
Mahkamah berpendapat hukuman penjara juga bukan pengajaran terbaik ke atas tertuduh kerana akan memberikan kesan psikologi apabila dia terpaksa bergaul dengan pesalah jenayah.
Wan Mahyuddin kemudiannya memerintahkan supaya Khairul dihantar ke Pusat Pemulihan iaitu Baitul Iman selama tempoh tiga bulan.Tujuannya supaya Khairul dapat diberikan bimbingan oleh pakar motivasi, keagamaan dan kerohanian supaya menjadi insaf berdasarkan peruntukkan Seksyen 97 (1) (2) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003.
Bagaimanapun tertuduh memohon untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman itu atas alasan beliau seorang penjawat awam serta perlu menanggung seorang isteri dan seorang anak.
Mahkamah meluluskan permohonan untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman sementara menanti keputusan penuh rayuan dari Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

No comments:

Post a Comment