Monday, October 31, 2011

Mahkamah sahkan adik angkasawan bercerai awal

Utusan Malaysia 1/11/2011

PETALING JAYA 31 Okt. - Selepas lima tahun berlalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini akhirnya memutuskan, Allahyarham Sheikh Mustafa shukor al-Masrie iaitu adik Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, sah bercerai awal dengan talak satu dengan isterinya Haryati Mohd Redza, lima bulan sebelum kematiannya.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad dalam memutuskan lafaz 'Aku ceraikan awak' yang diucapkan oleh Allahyarham Sheikh Mustafa Shukor terhadap Haryati pada pukul 9 pagi, 20 Mei 2007 di rumah mereka di sini, berbentuk soreh dan jelas ditujukan kepada Haryati.
"Mahkamah menolak keterangan defendan (Haryati) yang mendakwa suaminya tidak waras ketika melafazkan talak tersebut kerana tiada sebarang laporan perubatan atau bukti dikemukakan kepada mahkamah.
"Berdasarkan keterangan bapa Allahyarham, Allahyarham masih lagi mempunyai fikiran yang baik kerana mengingati kejadian yang berlaku pada dirinya dan mampu menceritakan semula kepada plaintif," katanya.
Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh bapa mertua defendan, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abd. Shukor, 75, pada 25 Januari tahun lalu selepas mendakwa anaknya telah melafazkan cerai kepada menantunya itu, lima bulan sebelum Allahyarham meninggal dunia.
Menurut beliau, anaknya telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai namun mahkamah berkenaan tidak sempat membuat keputusan dalam permohonan itu kerana Allahyarham meninggal dunia pada pada 27 Oktober tiga tahun lalu.
Allahyarham yang bekerja sebagai jurutera awam disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas koma selama seminggu akibat terhantuk tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama.
Pada prosiding itu, Sheikh Mustapha diwakili peguam syarie Zulqarnain Lukman sementara Haryati, 33, diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.
Bagaimanapun Fakhrul Azman memaklumkan Haryati tidak hadir ke mahkamah kerana masih dalam pantang selepas melahirkan anak minggu lalu hasil perkahwinan baharu defendan itu pada tahun lalu.
Allahyarham dan Haryati mempunyai dua orang anak iaitu Sheikh Aiman Shukor Al-Masrie, 7 tahun dan Siti Balkish Aisha Al-Masrie, 5 tahun.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Sheikh Mustapha bersyukur kerana kes ini sudah selesai dan akan meneruskan dengan tuntutan faraid.
Katanya, beliau hanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan sebagai bapa kepada Allahyarham.
"Dia beritahu saya tentang perceraiannya dan menjadi tanggungjawab saya membawa perkara ini ke mahkamah selepas dia meninggal dunia," katanya.

No comments:

Post a Comment