Friday, October 28, 2011

Tuntut nafkah anak

28/11/2011-Utusan Malaysia

Aina memang tidak puas hati dengan sikap Salim kerana langsung tidak memberikan nafkah ketika dia masih di dalam idah penceraian.
Haknya sebagai wanita diabaikan begitu sahaja oleh Salim.
Sudahlah sepanjang tempoh perkahwinan, Aina juga turut membantu Salim supaya tidak terlalu tertekan dengan perbelanjaan rumahtangga.
Paling memeningkan kepalanya apabila terpaksa menanggung lima anak dengan pendapatannya sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.
Aina sendiri pun sudah naik malu hendak menjawab pertanyaan jiran-jiran di kawasan perumahannya asyik bertanya tentang status perkahwinannya.
Mana tidaknya perkahwinan yang telah dibina atas dasar cinta selama berbelas tahun itu telah berakhir begitu sahaja.
Salim juga beruntung kerana sudah pun berbini baru yang ditemuinya selepas beberapa minggu bercerai dengan Aina.
Dengar khabarnya isteri barunya itu bukan sahaja anak orang kaya bergelar Datuk dan kini mereka berdua sedang menikmati saat kemanisan perkahwinan apabila berbulan madu ke Eropah.
Tinggal Aina terkelip-kelip mata keseorangan melayan perasaan mengenangkan kisah-kisah masa lalu ketika bersama dengan Salim.
Kes Aina dan Salim (bukan nama sebenar) ini antara yang menjadi koleksi penghakiman Hakim Syariah Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.Mengikut fakta kes, Aina telah memfailkan permohonan untuk menuntut nafkah idah mengikut Seksyen 66 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (EUUKIS 2003) sebanyak RM1,800 sebulan dengan jumlah keseluruhan RM5,400 selama tiga bulan idah terhadap Salim.
Aina dan Salim telah bercerai dengan talak satu di luar mahkamah setelah berbelas tahun berkahwin dengan lima anak.
Dalam kes itu plaintif (Aina) tidak pernah diisytihar nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah maka dia berhak menuntut nafkah idah.
Selepas bercerai, tiada persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak mengenai bayaran nafkah idah walaupun defendan pernah membuat tawaran sebanyak RM1,500 tetapi ditolak oleh plaintif.
Dalam keterangan defendan, mahkamah mendapati dia telah bersetuju untuk membayar nafkah idah cuma nilai itu tidak dipersetujui oleh plaintif.
Defendan juga telah memasukkan wang sebanyak RM1,500 ke dalam akaun anak pertama sebagai nafkah idah tanpa dimaklumkan terlebih dahulu atau dibincangkan bersama dan
mendapat persetujuan daripada pihak plaintif.
Mahkamah cuba menyelesaikan sama ada bayaran yang telah dijelaskan oleh defendan ini dikira sebagai satu nafkah idah atau pemberian hibah atau anugerah atau pemberian.
Mengikut hukum syarak pula hibah ialah satu kontrak yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.
Bagaimanapun defendan didapati telah gagal untuk membuktikan kepada mahkamah bahawa pemberian yang dianugerahkan kepada plaintif itu sebagai nafkah idah.
Mahkamah berpandangan bahawa wang yang telah diserahkan oleh defendan sebanyak RM1,500 itu adalah pemberian ikhlas oleh defendan kepada plaintif yang disebut sebagai hibah.
Ini kerana pemberian defenden ke atas plaintif adalah menepati rukun-rukun hibah.
Dari segi kewangan, defendan seorang kakitangan badan berkanun yang berpendapatan RM4,000 sebulan dan menerima gaji bersih selepas potongan sebanyak RM2,500.
Berdasarkan jumlah tersebut, mahkamah berpuas hati defendan bahawa seorang yang mampu untuk membayar nafkah idah kepada plaintif.
Ini dibuktikan dengan kemampuan defendan membayar secara sukarela sebanyak RM1,500 sekali gus kepada plaintif sebagai satu hibah yang dianggap defendan di dalam keterangannya sebagai nafkah idah.
Jumlah tersebut adalah dengan kadar RM500 sebulan yang biasa diberikan oleh defendan kepada plaintif dalam tempoh perkahwinan.
Mahkamah juga mengambil kira defendan telah pun mempunyai tanggungan isteri dan anak yang lain selepas bercerai dengan plaintif.
Dari keterangan plaintif, beliau memerlukan tiga bulan untuk menyediakan RM5,400 bagi menampung keperluan untuk tempat tinggal, makan, pengangkutan, aksesori, perubatan dan duit poket.
Berdasarkan keterangan, semasa bercerai plaintif terpaksa menanggung nafkah anak-anak dalam tempoh idah.
Bagaimanapun hak nafkah idah hanyalah untuk keperluan seorang isteri yang diceraikan kecuali isteri itu hamil semasa tempoh idah.
Plaintif masih mempunyai peluang mendapatkan balik jumlah nafkah berkenaan dengan memfailkan kes tuntutan tunggakan nafkah bagi anak-anak seperti yang diperuntukkan di dalam seksyen 73 dan 78 EUUKIS 2003.
Wan Mahyuddin setelah mengambil kira kesemua isu mendapati plaintif layak menerima nafkah idah selepas bercerai.
Ini kerana plaintif tidak pernah diperintah nusyuz dan mahkamah beranggapan defendan mampu membayarnya kerana sebelum ini defendan pernah memberi wang kepada plaintif berjumlah RM1,500.
Malah mahkamah juga berpuas hati membuat keputusan dengan meluluskan permohonan plaintif menuntut nafkah idah dari defendan.
Sehubungan itu defendan diperintahkan untuk membayar nafkah idah kepada plaintif sebanyak RM900 selama tiga bulan dengan jumlah RM2,700.


No comments:

Post a Comment