Friday, October 14, 2011

Kerana cinta, sanggup berwali lelaki Indonesia dibubar

Utusan Malaysia : 14/10/2011


MACAM lembu ditarik hidung, Syakirah setuju sahaja cadangan Mokhtar untuk mengajak dia lari dari rumah supaya mereka dapat berkahwin.

Malah sejak lebih sebulan mengikut lelaki yang dicintai itu ke Kuala Lumpur, Syakirah dan Mohktar telah tinggal bersama dan hidup bagai suami-isteri.

Syakirah yang memang lurus bendul ini sudah termakan dengan janji Mokhtar yang ingin memperisterikannya sehingga sedikitpun timbul rasa bersalah kerana hidup dalam noda dan dosa.

Bagi Syakirah, Mokhtar adalah penyelamatnya dan ternyata lelaki itu juga tidak berbohong kepadanya apabila pada suatu malam membawanya ke sebuah tempat untuk mereka dinikahkan.

Di kala itu fikirannya juga masih buntu kerana sedang menghadapi krisis dengan keluarga angkat yang menghalang percintaannya dengan Mokhtar yang sudah beristeri dan mempunyai anak lima itu.

Demi cintakan Mokhtar, Syakirah mengikut sahaja apabila pernikahannya cuma berwalikan seorang lelaki Indonesia lebih separuh abad yang didakwa sebagai orang alim.

Permulaan perkahwinan, Mokhtar melayan Syakirah dengan baik tetapi lama-kelamaan rumah tangga semakin hambar apabila Mokhtar berkahwin lagi.

Semenjak itu Syakirah selalu runsing memikirkan diri yang semakin diabaikan sehinggalah dia mendapat jiran baru yang kebetulan pula seorang ustazah di sebuah sekolah agama.

Ustazah Umairah bukan sahaja banyak memberikan nasihat malah juga bimbingan agama sehinggalah Syakirah mula menyedari perkahwinannya selama ini tidak sah disebabkan soal wali.

Atas nasihat Ustazah Umairah, akhirnya Syakirah membawa masalah yang membelenggu perkahwinan itu untuk diputuskan oleh mahkamah syariah.

Kisah yang berlaku ke atas Syakirah dan Mokhtar ini adalah koleksi kes yang dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Kes ini telah difailkan oleh Syakirah menerusi peguamnya bagi memfarakkan atau membubarkan pernikahannya dengan Mokhtar berdasarkan peruntukan Seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mengikut fakta kes, dalam keterangan lisan dan afidavit oleh Syakirah, dia dan Mokhtar telah bernikah pada 1996 di Kuala Lumpur yang berwalikan wali hakim, seorang warganegara Indonesia yang dipanggil Pak Kiyai yang juga kenalan defendan.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang anak. Walau bagaimanapun tiada sebarang dokumen pernikahan dikemukakan ke mahkamah.

Pernikahan itu telah diurus dan diatur sepenuhnya oleh pihak defendan dengan menggunakan wali hakim tersebut.

Kes itu juga terpaksa dibicarakan sebelah pihak kerana Mokhtar gagal dikesan dan saman diserahkan melalui penyampaian ganti-iklan.

Sijil nikah terbang

Daripada keterangan Syakirah dan saksi-saksinya, mahkamah mendapati dia tidak pernah memohon kebenaran bernikah secara wali hakim terlebih dahulu sebelum melangsungkan pernikahan dengan Mokhtar. Sedangkan dia adalah seorang anak angkat dan tidak mengenali langsung bapa kandungnya.

Sepatutnya jika tidak ada bapa kandung, Syakirah perlu memfailkan permohonan kebenaran bernikah secara wali hakim di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 18 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Kepentingan menggunakan wali ketika pernikahan amat dititikberatkan dalam Islam bagi menjaga kemaslahatan wanita dari berkahwin dengan mana-mana lelaki yang tidak baik dari sudut agama dan akhlaknya.

Terdapat beberapa hadis bagi membuktikan wanita yang hendak berkahwin perlu mendapat keizinan walinya terlebih dahulu.

Antaranya Nabi Muhamad SAW telah bersabda maksudnya; "Tidak ada pernikahan melainkan dengan adanya wali dan dua orang saksi yang adil."

Dalam kes itu wali yang sebenarnya bagi pihak Syakirah adalah Wali Raja atau Wali Hakim yang dilantik oleh Sultan atau Raja di negeri di mana dia menetap dan bukannya menggunakan wali warganegara Indonesia dipanggil Pak Kiyai yang tidak diiktiraf dari sudut undang-undang dan hukum syarak.

Oleh kerana tiada sebarang dokumen pernikahan dilampirkan maka mahkamah berpuas hati mensabitkan wali hakim tersebut sebenarnya tidak mempunyai kuasa perwalian ke atas plaintif dan pernikahan yang dilangsungkan itu boleh disabitkan pernikahan batil kerana seolah-olah bernikah tanpa menggunakan wali.

Wan Mahyuddin berpandangan pernikahan yang telah diuruskan itu sebenarnya telah dilakukan secara sindiket yang tidak diketahui siapa wali hakimnya dan sijil nikah tersebut diumpamakan sebagai sijil nikah terbang kerana ia tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa agama negeri dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Berdasarkan keterangan Syakirah, saksi serta hujah yang dikemukakan, mahkamah berpuashati untuk meluluskan permohonan farak nikah yang telah difailkan.

Oleh kerana Mokhtar tidak hadir ke mahkamah dan gagal memberi keterangan maka berdasarkan hukuman mengikut Seksyen 121 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dan Arahan Amalan No.1 2003 JKSM maka Syakirah diarah bersumpah istizhar untuk mengelak tohmah sebelum keputusan dibuat.

Berikutan itu mahkamah mensabitkan Syakirah kerana tidak meminta keizinan wali hakim yang sah dari segi hukum syarak dan undang-undang semasa pernikahan pada 1996.

Mahkamah juga mensabitkan pernikahan antara Syakirah dan Mokhtar adalah pernikahan fasid.

Selain itu mahkamah juga memfarakkan atau membubarkan pernikahan kedua-duanya tidak sah mengikut hukum syarak.

Plaintif diperintahkan beredah tiga kali suci mulai tarikh keputusan jika ingin berkahwin selain dengan defendan.

No comments:

Post a Comment