Friday, April 22, 2011

Abai nafkah anak cacat

1/4/2011-UTUSAN MALAYSIA

Abas (bukan nama sebenar), sebenarnya sudah semakin bosan untuk pulang ke rumah yang kini disifatkan sudah tidak memberi lagi kebahagiaan untuk dirinya.
Isterinya, Jijah (bukan nama sebenar), juga sudah lama tidak menyambutnya di muka pintu sambil menghadiahkan senyuman manis dengan secawan kopi pahit kegemarannya sewaktu pulang kerja.
Semua ini gara-gara sejak kelahiran kedua-dua anaknya yang tidak sempurna sifat seperti kanak-kanak lain atau bahasa mudahnya cacat.
Telinga Abas juga sudah tidak dapat menahan leteran demi leteran mulut Jijah yang semakin celupar sehingga mengaitkan kelahiran anak itu sebagai balasan Tuhan terhadap perbuatan silamnya.
Itu Abas akui. Memang sewaktu muda dia dikenali sebagai lelaki buas kerana pantang bertemu dengan gadis cantik pasti dirembatnya.
Tapi Abas tidak boleh terus menyalahkan dirinya juga kerana kesemua gadis itu sendiri yang mahu diperlakukan sesuka hati termasuk dibawa sehingga ke bilik tidur.
Cuma Jijah sahaja yang bernasib baik kerana Abas belum sempat untuk menggunakan gadis lurus bendul ini untuk melampiaskan nafsu buasnya.
Lagi pun dia sudah lama memerhati Jijah dan cuma menunggu sahaja peluang baik untuk menggoda gadis tersebut.
Secara kebetulan pula hari itu Jijah sudi menaiki keretanya ketika dipelawa sewaktu gadis itu dilihat berada di perhentian bas semasa hujan lebat yang menggila.
Lelaki buas seperti Abas memang bijak menggunakan kesempatan dengan sengaja menggunakan alasan untuk singgah sebentar di rumahnya untuk mengambil barang.
Satu bisikan
Memang di kepala Abas sejak di dalam kereta lagi sudah tidak tahan melihat susuk tubuh Jijah yang seakan tidak ada alas lagi disebabkan kebasahan dek hujan.
Jijah yang dalam keadaan terketar-ketar kesejukan mula terasa seronok apabila tangan Abas mula menjalar ke tubuhnya sehingga membuatkan dirinya terasa panas secara tiba-tiba sewaktu berehat di sofa lembut rumah Abas.
Abas tersentak apabila mula merasai sesuatu yang menyekat hajat buasnya dari tertunai. Jijah terselamat hari itu kerana dia sedang datang bulan.
Ketika itu Abas terasa seakan ada satu bisikan singgah ke telinganya supaya tidak lagi mempermainkan gadis di hadapannya itu dan semenjak itu dia nekad mengahwini Jijah.
Namun Abas juga tidak menyangka kebahagiaan rumahtangganya yang dibina dengan Jijah teruji dengan kelahiran anak-anak yang tidak sempurna seperti kanak-kanak lain.
Jijah juga asyik melayan anak-anaknya sehingga Abas merasakan dirinya semakin terabai termasuk melayan nalurinya sebagai suami.
Abas sedar, biarpun dirinya dicemuh kerana sanggup meninggalkan rumah kerana enggan menanggung beban mempunyai anak cacat tetapi dia tidak kisah asalkan hatinya puas.
Kenyataannya, kisah Abas ini adalah sebahagian daripada pasangan yang mempunyai anak cacat namun sanggup melepaskan tanggungjawab itu tanpa rasa bersalah terhadap isteri.
Perbicaraan tuntutan nafkah terhadap bapa yang mempunyai anak cacat juga termasuk dalam koleksi penghakiman yang dikendalikan oleh Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Syariah Gombak Timur.
Kes ini difailkan oleh plaintif (bekas isteri) bagi menuntut nafkah anak mengikut peruntukan seksyen 73 Enakmen Untuk Keluarga Islam Selangor (EUKIS) 2003 pada 9/5/2007 di mana kedua-duanya diwakili peguam syarie.
Plaintif dan defendan berkahwin pada 1962 dan bercerai pada 1997 dan hasil perkahwinan dikurniakan empat anak.
Plaintif menuntut nafkah anak-anak sebanyak RM600 sebulan bagi dua anak istimewa (OKU).
Sebelum ini, bekas suami memberi nafkah anak-anak RM400 sebulan tetapi selepas bercerai dia tidak lagi berbuat demikian.
Sebaliknya defendan menyuruh anak sulungnya membayar RM500 kepada plaintif.
Alasannya, defendan terpaksa berpindah rumah selepas bercerai di mana wang RM500 sebagai ganti bayaran sewa rumah tempat tinggal baru plaintif.
Dalam keterangan membela diri, defendan telah mengemukakan keterangan dengan surat penting dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Gombak pada 2009 iaitu keputusan kelulusan bantuan Skim Bantuan Persekutuan (Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja) mulai September 2009 hingga Ogos 2010 sebanyak RM50 sebulan kepada kedua-dua anak plaintif berjumlah RM300.
Berdasarkan kepada dalil dan hukum syarak, mahkamah berpandangan defendan adalah seorang yang dikira berkemampuan membayar nafkah kerana masih mampu bekerja dan mempunyai pendapatan sebagai seorang pesara tentera, pemandu teksi dan bekerja di sebuah syarikat dengan anggaran nilai RM4,579.26.
Walaupun defendan sudah dikira berumur tetapi kegigihan defendan mencari rezeki adalah faktor diambil kira sebagai seorang yang berkemampuan.
Ini kerana kemampuan bukanlah dikira dari sudut kewangan dan faktor gaji defendan semata-mata tetapi mahkamah berpendapat defendan berkemampuan dari segi fizikal untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan diri dan anak-anak.
Satu sedekah
Berkenaan isu defendan arah anak sulung plaintif membayar RM500 sebulan pula tidak boleh dijadikan sebagai pembelaan dirinya.
Mahkamah juga berpandangan kesanggupan plaintif sebagai ibu menjaga anak-anaknya yang istimewa adalah satu pengorbanan yang amat besar serta tidak boleh dicari ganti.
Defendan sepatutnya berterima kasih kepada plaintif kerana menjaga kedua-dua anak ini dengan baik dengan menyediakan keperluan yang secukupnya walaupun tanpa bantuan kewangan dari pihak defendan selepas bercerai pada 1997.
Oleh itu, mahkamah berpandangan pengorbanan ini perlu dibantu oleh pihak defendan sebagai bapa bagi kedua-dua anak istimewa. Mahkamah yakin sekiranya defendan membayar nafkah yang mencukupi dan membayar segala keperluan anak-anak walaupun dibawah jagaan plaintif ianya dikira sebagai satu sedekah.
Kata Wan Mahyuddin, perbuatan ini juga akan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara bapa dan anak-anak dan semoga diberi pahala yang besar di akhirat kelak kerana membantu orang yang benar-benar susah dan memerlukan pertolongan.
Walaupun anak-anak defendan telah dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ianya adalah berasaskan kepada bantuan kerajaan dan defendan selaku bapa yang sah masih lagi berkewajipan membayar nafkah anak-anak selagi berkemampuan seperti yang diperuntukkan di dalam hukum syarak.
Dalam keputusan itu, mahkamah memerintahkan supaya defendan (suami) membayar nafkah kedua anaknya yang telah disahkan OKU sebanyak RM300 sebulan (setiap seorang RM150 sebulan) setiap bulan mulai bulan Januari 2010.
Mahkamah memerintahkan defenden membayar wang untuk nafkah anak-anak ini ke dalam akaun plaintif sebagai ibu dan penjaga anak-anak pada setiap 3 haribulan setiap bulan.
Jika defendan gagal membayar nafkah anak-anak ini maka dianggap telah menghina perintah mahkamah.

1 comment:

  1. Boleh tau nama kes tak? Sbb mmg tgh cari kes2 nafkah anak kurang upaya

    ReplyDelete