Friday, April 22, 2011

Zakiah Anas lantik bekas kadi

PETALING JAYA 11 April 2011- Pengacara Zakiah Anas (gambar) dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib masing-masing telah melantik wakil untuk menganggotai jawatankuasa hakam (penimbangtara) berhubung kemelut rumah tangga mereka yang telah berlanjutan hampir dua tahun.
Zakiah Anas, 45, melantik bekas kadi, Muhammed Shouib Awalludin sebagai wakilnya, manakala suaminya akan diwakili oleh seorang imam, Mohd. Azizi Mohd. Yaakob.
Kedua-dua wakil hakam tersebut dilantik secara rasmi hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Peguam syarie, Anuar Sahri yang mewakili Zakiah, memberitahu mahkamah bahawa lelaki yang mewakili anak guamnya adalah kenalan lama pengacara televisyen swasta tersebut.
Ketika disoal oleh Wan Mahyuddin berkenaan hubungan Mohamad Yusof, 49, dengan Mohd. Azizi, ahli perniagaan itu yang tidak diwakili peguam syarie memaklumkan bahawa dia dan imam tersebut telah bersahabat sejak 10 tahun lalu.
Wan Mahyuddin kemudian menetapkan 16 Mei ini untuk pembentangan laporan daripada hasil perbincangan jawatankuasa hakam terbabit yang diwujudkan bagi membuat keputusan berkenaan rumah tangga pasangan tersebut.
Beliau mengarahkan agar wakil tersebut mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya tiga kali sebelum laporan dibentangkan kepada mahkamah dan memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menganggu jawatankuasa itu.

No comments:

Post a Comment