Friday, April 22, 2011

Dicaci isteri depan rakan pejabat

15/4/2011-UTUSAN MALAYSIA

KALI ini Azizan (bukan nama sebenar) memang sudah tidak boleh lagi bersabar dengan sikap cemburu buta isterinya, Rohaiza (bukan nama sebenar).
Selama ini selama lapan tahun mendirikan rumah tangga, Azizan masih boleh dapat bersabar walaupun sedar dirinya dikongkong Rohaiza sehingga hendak bergerak ke mana pun amat terbatas.
Cemburu buta Rohaiza juga dilihatnya semakin membuak-buak selepas lahir anak kedua mereka di mana pantang lewat sejam pulang ke rumah pun Azizan akan disoal siasat seperti bermain kayu tiga dengan perempuan lain.
Rohaiza bukan sahaja membalas dendam dengan ‘menggantung senduk’ di mana tiada makanan akan dihidangkan sebaliknya kemarahan itu berlanjutan sehingga ke bilik tidur.
Terkulat-kulat Azizan memandang isterinya yang sengaja mengabaikan dirinya daripada ‘dilayan’ sehingga sanggup memalingkan muka darinya.
Kemarahan Rohaiza bukan setakat sehari dua sahaja malah lebih berani lagi pernah memulau Azizan tanpa perasaan belas kasihan sehingga seminggu.
Tetapi peristiwa petang itu benar-benar membuatkan sudah tidak tahan dengan perangai Rohaiza yang cemburu buta sehingga akhirnya Azizan bertindak melepaskan sahaja isterinya itu.
Azizan memang tidak menyangka peristiwa keluar makan bersama dengan rakan sekerja telah membuatkan dirinya telah dimalukan oleh isteri sendiri di hadapan khalayak ramai.
Semua pelanggan yang ada di dalam restoran memandangnya apabila isterinya tiba-tiba datang mengherdik dan mencacinya seolah-olah dia mempunyai maruah sebagai seorang suami disebabkan cemburu.
Malunya Azizan pada waktu itu kerana ketika itu dia bersama rakan sepejabat iaitu Intan, Lisa, Gee dan Zahid yang sudah lama merancang majlis makan untuk meraikan Zahid yang dinaikkan pangkat.
Sebelum ini Azizan memang sering mengelak untuk makan dengan rakan sepejabat kerana amaran itu sentiasa diingatkan oleh isterinya setiap kali keluar rumah.
Nasibnya hari itu memang tidak baik kerana entah di mana kebetulan pula Rohaiza tiba-tiba muncul di restoran itu bersama dengan seorang rakan wanitanya.
Walaupun Azizan sedar dirinya seakan sudah dibuang beban selepas melepaskan Rohaiza tetapi hatinya menjadi pilu apabila mengenangkan akan terpisah kasih sayang dengan kedua-dua anaknya.
Bagaimanapun ketika ke mahkamah untuk mengesahkan penceraian keduanya dicadangkan hadir majlis sulh bagi menyelesaikan masalah tuntutan termasuk penjagaan anak.
Azizan pada mulanya kurang yakin dengan perbincangan itu memandangkan Rohaiza pada ketika itu muncul dengan muka yang merah mencuka.
Bagaimanapun hasil perbincangan yang dijalankan dengan baik oleh pegawai sulh itu telah berjaya membuka hati Rohaiza sekali gus bersetuju untuk membenarkan semua keputusan dibincang secara baik termasuk membenarkan Azizan melawat kedua-dua anaknya setiap hujung minggu.
Perbincangan sulh ini juga diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Mohammad.
Dalam koleksi penghakiman Wan Mahyuddin juga pernah memutuskan beberapa kes berdasarkan persetujuan bersama menggunakan konsep sulh yang dilaksanakan di mahkamah syariah tersebut.
Dalam kes pertama dari perbincangan majlis sulh, defendan telah bersetuju untuk membayar nafkah idah kepada plaintif sebanyak RM3,000 di sepanjang tempoh idah.
Nafkah tersebut hendaklah dibuat secara sekali gus oleh pihak defendan dan dimasukkan ke dalam akaun bank yang hendaklah dibuat pada tarikh yang ditetapkan.
Dalam kes lain pula yang melibatkan majlis sulh di mana Wan Mahyuddin juga membenarkan tuntutan berhubung nafkah anak.
Defendan (suami) bersetuju untuk membayar nafkah bulanan kepada empat anak yang berjumlah RM1,000.
Bayaran nafkah itu hendaklah dibuat secara terus oleh pihak defendan dengan memasukkan jumlah wang tersebut ke akaun anak sulungnya pada atau sebelum 30 haribulan setiap bulan.
Selain itu defendan perlu menyediakan keperluan awal tahun persekolahan seperti baju dan kasut sekolah, beg, buku dan lain-lain bagi anak-anak tersebut.
Keperluan persekolahan tersebut hendaklah disediakan pada atau sebelum 25 Disember setiap tahun.
Defendan juga hendaklah menyediakan keperluan perayaan bagi menyambut Hari Raya Aidil Fitri seperti baju, kasut, tudung dan lain-lain pada atau sebelum 20 Ramadan setiap tahun Hijrah.
Bagi kes ketiga pula defendan (suami) juga bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya hak milik sebuah rumah kepada plaintif (isteri) sebagai mutaah hasil dari majlis sulh.
Bagaimanapun jelas Hakim Syarie semua perkara dalam perjanjian ini wajib dipatuhi oleh mana-mana pihak tersebut sehinggalah ada perintah yang lain dibuat atau diperintahkan sebaliknya.
Dalam hujahnya berkaitan dengan semua kes yang diselesaikan secara majlis sulh, Wan Mahyuddin berkata, kelebihan menyertai majlis sulh ini adalah untuk mempercepatkan penyelesaian kes tanpa melalui prosiding mahkamah.
Katanya, pihak yang terlibat dengan majlis sulh ini biasanya akan dapat mempercepatkan penyelesaian kes kerana pihak yang terlibat tidak lagi perlu berhujah di mahkamah, tak perlu membuat apa-apa pembuktian di mahkamah dan tidak mengaibkan sesama pihak.
Malah katanya, lumrahnya apabila sesuatu kes itu difailkan maka pihak-pihak telah mempunyai krisis yang lama di antara mereka dan telah berusaha dengan mengikut kemampuan masing-masing untuk berdamai.
Katanya, majlis sulh akan membantu mereka untuk bersemuka, berbincang dan membuat keputusan dengan selesa dan selamat di mahkamah.

No comments:

Post a Comment