Friday, April 22, 2011

Fasakh selepas suami hilang

25/2/2011-UTUSAN MALAYSIA

PALING merisaukan Kirana Mohamad (bukan nama sebenar) sudah lama sangat Sharul Adam (bukan nama sebenar) tidak pulang ke rumah.
Sudah puas dia bersabar. Mana masa tidur cuma beberapa jam sahaja sehari kerana sejak pukul empat lagi dia sudah ke dapur hendak membuat kuih-muih sebagai jualan untuk menyara empat anaknya yang masih bersekolah.
Sedangkan pada waktu itu, isteri-isteri lain di luar sana begitu enak dibuai mimpi indah di sisi suami masing-masing.
Kirana bukan sahaja kena bekerja keras untuk menyara keluarga malah terpaksa menahan jeritan batin yang sudah lama ketandusan belaian kasih-sayang suami.
Bagi ibu ini pastinya tidak dapat menolak rasa gelodak jiwa mudanya itu yang ada kalanya meronta-ronta minta dibelai oleh suami yang hilang entah ke mana.
Suasana malam yang hening kadangkala sukar untuk menghambat kenangan Kirana terhadap Shahrul yang dikenalinya pada detik pertemuan pertama ketika lelaki itu bertandang ke rumah emak saudaranya sehingga akhirnya mereka diijabkabul sebagai suami-isteri.
Marah benar Kirana pada malam itu, masih terasa pedih tangan kasar suaminya itu ketika menghayun laju ke pipi lembutnya.
Tangisan anak-anaknya tidak mampu mencairkan hati Kirana untuk keluar meninggalkan mereka hanya disebabkan oleh perasaan cemburu buta.
Siang dan malam Kirana berharap suaminya akan pulang semula ke pangkuannya tetapi ia hanya sekadar mimpi yang tidak berkesudahan.
Menarik nafas lega
Akhirnya Kirana terpaksa merujuk ke mahkamah syariah supaya beliau dibebaskan dan bukannya ditinggalkan begitu sahaja.
Tindakan Kirana menuntut fasakh adalah jalan terakhir kepada mana-mana isteri yang telah puas bersabar untuk menjadi isteri kepada suami yang keluar dari rumah sehingga terus melupakan tanggungjawab untuk memberikan nafkah.
Situasi inilah yang dialami oleh tiga isteri yang akhirnya mampu menarik nafas lega setelah Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur telah memutuskan permohonan fasakh mereka dibenarkan dengan serentak.
Dalam kes pertama, seorang isteri kedua menuntut fasakh setelah suami keluar dari rumah dan tidak pulang lagi selepas itu.
Beliau bukan sahaja tekanan dengan kehidupan bermadu malah suami tidak berusaha untuk mencari pekerjaan dan lebih suka menganggur.
Kehidupan menjadi semakin sukar kerana terpaksa membuat kuih jualan secara kecil-kecilan untuk menyara lima anaknya yang masih bersekolah.
Kes kedua melibatkan seorang wanita yang mempunyai seorang anak tidak menyangka sama suami terus menghilangkan diri selepas memukulnya.
Manakala kes ketiga pula melibatkan plaintif tidak tahan lagi sebumbung dengan suami seorang penagih dadah.
Akhirnya beliau bertindak keluar dari rumah selepas percaya sudah tidak ada lagi jalan penyelesaian untuk menyelamatkan perkahwinan.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang mendengar keterangan itu kemudiannya telah membenarkan permohonan plaintif menuntut fasakh.
Wan Mahyuddin menjelaskan, kesemua kes itu telah difail berdasarkan peruntukan seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (EUKIS 2003) bagi menuntut fasakh dari defendan (suami).
"Oleh kerana kesemua defendan (suami) tidak hadir semasa perbicaraan dan enggan memberi keterangan pembelaan maka kes ini telah diteruskan dengan keterangan pihak plaintif berasaskan seksyen 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003,'' katanya.
Berdasarkan hukum syarak dan Arahan Amalan No.1 Tahun 2003 JKSM maka mahkamah mengarahkan kesemua plaintif (isteri) bersumpah istizhar bagi mengelakkan tohmah sebelum keputusan dibuat.
Dalam sumpah istizhar itu, ketiga-tiga plaintif mengaku bahawa suami masing-masing telah tidak menunaikan nafkah batin melebihi tempoh satu tahun tanpa alasan yang munasabah.
Selain itu, perbuatan suami itu telah menyebabkan hidup plaintif telah dizalimi dan mendatangkan kemudaratan.
Dalam pengakuan itu, plaintif juga memohon supaya mahkamah mensabitkan aduan itu untuk memohon fasakh di bawah seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (2003) Negeri Selangor.
Plaintif juga mengaku jika semasa memberi keterangan dan saksi-saksi tidak bercakap benar maka akan bertanggungjawab ke atasnya dan sanggup menerima hukuman dan balasan dari Allah di dunia dan di akhirat.
Setelah mendengar keterangan plaintif, keterangan saksi dan sumpah istizhar, maka mahkamah telah meluluskan permohonan itu.
Mahkamah juga telah mensabitkan perbuatan defendantelah mendatangkan kesusahan dan kemudaratan kepada pihak plaintif.

No comments:

Post a Comment