Thursday, April 28, 2011

Utusan Malaysia 29 April 2011

Utusan Malaysia 29 April 2011

Perangkap cinta suami orang

SUDAH berbuih mulut rakan baik Tina mengingatkan dia supaya tidak mudah melayan mana-mana lelaki kerana bimbang akan terperangkap dengan cinta suami orang.
Tina akui ketika itu dia memang buta hati kerana cintanya terhadap Roslan yang dikenali sejak setahun lalu itu sudah terlalu mendalam sehingga tidak boleh dihalang oleh sesiapa lagi.
Dia percaya Roslan lelaki yang jujur malah sepanjang perkenalan itu lelaki pertengahan empat puluhan itu memang menduda selepas kematian isterinya.
Boleh dikatakan Roslan begitu setia dengannya kerana mengikut apa sahaja permintaannya termasuk segera datang walaupun sudah lewat malam hanya untuk menukar mentol lampu bilik air yang terbakar.
Selama ini pun Roslan memang bebas keluar masuk ke kondominium milik Tina yang memang 'kebal' untuk diterjah oleh mana-mana pegawai pencegah maksiat.
Biasanya jika telah lewat malam, Roslan sudah dapat membaca tingkah laku Tina yang sengaja merengek-rengek manja supaya dia bermalam sahaja di situ.
Perasaan Tina juga semakin tidak terkawal sejak kedatangannya kerana enggan berenggang walau seinci pun ketika duduk di sofa ruang tamu yang cuma diterangi lilin aromaterapi yang mengkhayalkan.
Roslan pula sengaja membiarkan Tina untuk memanaskan suasana kerana jauh disudut hati memang itu yang ditunggunya.
Tina memang tidak berkira untuk 'melayannya' sepenuh hati kerana gadis yang pernah belajar di luar negara ini memang sudah biasa dengan kehidupan ala Barat.
Bagi Tina pula tidak rugi untuk dia 'melabur' semua ini kerana semua itu tidak akan ke mana kerana Roslan pasti akan menjadi miliknya.
Roslan berbangga kerana menguasai Tina bukan sahaja untuk memuaskan hawa nafsunya malah juga wang ringgit kerana gadis hitam manis itu memang tidak pelokek.
Dia sedar apalah sangat pendapatannya sebagai kerani di kota besar bagi menampung kehidupan isteri dan lima anaknya yang masih menetap di selatan tanah air kerana Roslan diarah bertukar tempat kerja.
Roslan juga tidak terkejut malah terus setuju apabila suatu hari Tina mengajaknya berkahwin asalkan segala hutang-piutangnya untuk membeli kereta dan rumah ditanggung oleh pengurus di sebuah syarikat perkapalan itu.
Bagaimanapun Tina memang tak keruan dan sedih yang teramat sangat apabila Roslan memberitahu telah diarah oleh pihak atasan untuk bertukar segera ke selatan tanahair.
Roslan pula memang menunggu saat itu kerana sekian lama merindu penghidupannya bersama dengan isteri pertama dan anak-anak.
Sejak berpindah ke Kuala Lumpur dua tahun lalu, Roslan jarang menjenguk anak dan isterinya kerana sibuk melayan Tina.
Roslan memang bijak memberi alasan supaya perbuatan menikah lagi satu itu tidak dihidu isterinya.
Tina pula semakin hari semakin sugul kerana bukan sahaja terpaksa melangsaikan hutang malah Roslan terus hilang tanpa sebarang khabar berita.
Akhirnya Tina terpaksa menebalkan muka meminta nasihat daripada rakan baik dan sanak-saudara serta nekad membawa kes itu ke mahkamah syariah bagi menuntut fasakh.
Kisah ini antara yang menjadi punca berlakunya kes tuntutan fasakh yang menjadi koleksi penghakiman Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Plaintif telah memfail tuntutan fasakh berdasarkan peruntukan Seksyen 47 dan dipinda kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUKIS) 2003 terhadap suami.
Alasan kerana suaminya telah cuai atau tidak memberi peruntukan nafkah selama tempoh tiga bulan.
Suami juga didakwa telah menganiaya isteri dengan menjadikan kehidupannya menderita seperti menanggung beban hutang atas pinjaman yang diarahkan oleh suaminya dan berlaku tidak adil di dalam poligami.
Dari perbicaraan itu, mahkamah mendapati keterangan saksi-saksi plaintif juga konsisten dan menyokong tuntutan isteri seperti berikut:
(i) Saksi-saksi juga mengakui membantu isteri dari segi bantuan kewangan;
(ii) Saksi-saksi juga menyatakan suami tidak balik ke rumah sejak 2007 dan tinggal berasingan;
(iii) Saksi-saksi juga mengatakan suami atau wakilnya tidak memberi nafkah kepada isteri sejak hujung tahun 2006;
iv)Saksi-saksi juga menyatakan isteri terpaksa menanggung beban membayar hutang suami yang dibuat atas nama plaintif (isteri) iaitu RM35,000 untuk dibayar kepada sebuah bank, dan RM10,000 untuk hutang pinjaman kenderaan dengan sebuah koperasi. Saksi-saksi juga menyatakan defendan (suami) tidak membayar semula hutang itu.
(v) Saksi-saksi menyatakan suami berpoligami dan tidak berlaku adil terhadap isteri.
(vi) Isteri tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah.
Berikutan itu mahkamah yakin perbuatan suami seperti yang didakwa isteri di dalam penyata tuntutan dan keterangannya telah menyusahkan hidup isterinya yang terpaksa menanggung tiga anak secara sendirian.
Wan Mahyuddin dalam keputusannya berkata, setelah mendengar keterangan isteri, keterangan saksi dan sumpah istizhar plaintif maka mahkamah mensabitkan suami telah gagal atau cuai menyediakan nafkah zahir yang mencukupi selama tempoh tiga bulan sehingga tarikh hukuman dijatuhkan.
Katanya, mahkamah mensabitkan suami telah menganiaya isteri kerana tidak membayar hutang yang ditanggung.
Suami juga disabitkan oleh mahkamah kerana tidak berlaku adil di dalam poligami.
Berikutan itu mahkamah memfasakh pernikahan tersebut dan isteri diperintah beredah tiga kali suci.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment