Friday, April 22, 2011

Bicara mutaah, idah bekas isteri Hattan, 21 Jun 2011

PETALING JAYA 20 April - Bekas isteri penyanyi Hattan akan memberikan keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 21 Jun depan berhubung tuntutan nafkah idah dan mutaah yang didakwa tertunggak sejak enam tahun lalu.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad menetapkan tarikh itu setelah merasakan kes tersebut berlarutan terlalu lama dan menasihati kedua belah pihak berbincang secara baik.
Terdahulu peguam syarie, Hazirah Othman yang mewakili Arianie Mohd. Abidin selaku plaintif berkata, pihaknya telah menerima pembelaan defendan dan akan memfailkan jawapan sebelum tarikh perbicaraan.
Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Shahabuddin, 45, dan Arianie, 39, tidak hadir setelah kehadiran mereka dikecualikan.
Sementara itu, peguam syarie Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Hattan berkata, anak guamnya menafikan semua dakwaan Arianie mengenai pengabaian tuntutan nafkah.
Jelas beliau, Arianie dalam tuntutannya mendakwa telah memberi sokongan kepada karier nyanyian Hattan namun penyanyi itu sebaliknya berkata, pada waktu kejadian, dia telah pun bergelar penyanyi.
Arianie yang merupakan seorang pramugari memfailkan tuntutan nafkah idah dan mutaah terhadap Hattan pada 2005 mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Negeri Selangor 2003.
Mereka bernikah pada 17 Disember 1996 dan disahkan bercerai pada 10 Mac 2005.

No comments:

Post a Comment