Friday, April 22, 2011

Diceraikan dengan SMS

4/3/2011-UTUSAN MALAYSIA

Sejak mendaftar sebagai ahli sebuah laman web beberapa hari yang lalu, asal ada sahaja masa senggang, jari mulus Norlia Samad (bukan nama sebenar) tidak melepaskan peluang mengetuk keyboard menyertai 'forum' dalam laman tersebut.
Norlia tidak peduli walaupun sibuk di tempat kerja, apa yang penting perasaan geramnya yang terbuku di hati atas sikap curang suaminya, Samsuddin Mohamad (bukan nama sebenar) dapat diluahkan untuk dikongsi bersama ahli yang lain.
Ibu beranak empat ini sebenarnya sudah bosan dengan perubahan sikap suaminya yang dikatakan semakin hanyut dibuai asmara dengan seorang gadis sepejabat dengannya.
Paling telinganya tak tahan, apabila rakan baiknya sendiri yang kebetulan sepejabat dengan Samsuddin mengesahkan suaminya pernah menyuruh setiausahanya membuat tempahan bilik di sebuah hotel mewah di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pada fikiran Norlia, mana mungkin pasangan lelaki dan wanita yang duduk sebilik sekadar pandang-pandang dan duduk rengang-renggang seperti nyanyian lagu yang tengah popular pada masa kini Kalau Berpacaran oleh Sohaimi Mior Hassan dan Anna Raffali itu.
Mana tidaknya, semenjak itu Norlia begitu perasan yang hubungan antara dia dan Samsuddin boleh dikatakan semakin hari semakin hambar.
Layanan Samsuddin terhadap Norlia juga sekadar melaksanakan tanggungjawab malah sudah tidak sehangat dulu lagi.
Norlia begitu kecewa perkahwinan yang dibina selama 10 tahun itu sudah mula menampakkan keretakan yang semakin membesar.
Sebenarnya apa yang berlaku pada Norlia ini bukan lagi dianggap sebagai kes terpencil kerana laman web di Internet kini sudah banyak kali dikatakan menjadi punca penceraian pada pasangan hari ini.
Punca penceraian seperti ini juga telah dibicara dan diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Berdasarkan fakta kes, plaintif (isteri) dalam kes ini telah memohon supaya mahkamah membenarkan pengesahan perceraian mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Selain itu defendan (suami plaintif) kes ini juga telah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap permohonan plaintif (isteri) itu yang mahu memastikan kedudukan lafaz taklik yang dilafazkan terhadapnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi:
"Saya pun nak selesai cepat jugak supaya masing-masing tidak terseksa xxxxxxxxxxx statement dari awak yang memburukkan atau mengaibkan saya di Internet selepas ini, saya ceraikan awak.''
Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam alasan penghakiman menjelaskan, perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh mahkamah dari alasan permohonan penceraian secara taklik yang dilafazkan oleh defendan (suami) melalui SMS yang dikemukakan oleh plaintif (isteri) berjaya dibuktikan atau sebaliknya perlu menepati piawaian kaedah fiqhiyyah.
Kaedah itu membawa maksud 'Keterangan bagi orang yang mendakwa dan sumpah ke atas orang yang ingkar'.
Kata Hakim Syarie, "Plaintif dalam keterangannya memberitahu telah menerima SMS daripada defendan (kandungan seperti di atas).
Plaintif juga mengaku memahami maksud lafaz taklik yang telah dilafazkan oleh defendan dan mengetahui kesan lafaz itu jika tidak menurut kehendak defendan iaitu tidak memburukkannya di Internet.
Kata Wan Muhyiddin, plaintif (isteri) tidak pula mengadakan perbincangan dengan defendan (suami) mengenai SMS itu.
Plaintif juga bertindak melanggar lafaz taklik yang telah dilafazkan terhadapnya sedangkan mengetahui akibat dan kesannya melanggar lafaz taklik tersebut.
Dia juga didapati sengaja melanggar lafaz taklik oleh defendan (suami) tersebut apabila memburuk dan mengaibkan defendan (suami) di laman web di Internet.
Kandungan ayat dalam laman web itu termasuk ''memang dia jenis x takut dosa pun...kalau x, x terjadi lar having affair dgn perempuan lain XXXXXXX.''
Dalam keterangannya defendan (suami) telah mengakui dan bersetuju dengan dakwaan plaintif (isteri) bahawa dia ada melafazkan taklik dalam SMS seperti di atas.
Defendan (suami) juga mengakui dengan yakin bahawa dia benar-benar menghantar SMS itu kepada isterinya di nombor 019XXXXXXX melalui telefon bimbitnya sendiri yang bernombor 019XXXXXXX.
Defendan (suami) juga mengakui lafaznya itu bermaksud jika plaintif (isteri) ada memburuk-burukkan atau mengaibkan peribadi defendan (suami) dan hal rumahtangganya di Internet selepas SMS yang dihantarnya maka telah menceraikan plaintif.
Defendan mengaku di mahkamah ketika menghantar SMS itu kepada isterinya bahawa dia dalam keadaan akal yang waras, tiada paksaan daripada sesiapapun dan memahami kesan akibat lafaz yang dibuat itu.
Dalam kenyataan itu, mahkamah menjelaskan kedudukan penceraian dari segi hukum syarak termaktub kepada dua bentuk lafaz talak iaitu lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (tidak jelas).
Lafaz kinayah ialah lafaz yang tidak dikhususkan untuk bercerai bahkan digunakan untuk pengertian lain.
Penggunaan lafaz kinayah perlu kepada niat cerai semasa melafaz talak antaranya suami berkata kepada isterinya "Tinggalkan aku keseorangan, jauhkan diri kamu dari aku, baliklah kamu ke rumah keluarga kamu''.
Sehubungan itu, jelas mahkamah lafaz yang diucapkan oleh defendan kes ini termasuk lafaz cerai kinayah (tidak jelas) pada awalnya kerana dibuat secara SMS tetapi apabila dibaca secara lisan maka ia talak soreh (jelas) kerana disebut pada tarikh dan masa SMS dihantar.
Mahkamah mendapati plaintif (isteri) dalam kes ini telah mengaku melanggar taklik dengan sengaja dan dengan sedar pada tarikh dan masa berkenaan setelah memburukkan defendan (suami) di dalam sebuah laman web dengan menggunakan nama samaran.
Ketika membuat keputusan, Wan Muhyiddin berkata, mahkamah mengesahkan lafaz cerai defendan berbentuk taklik ke atas plaintif (isteri) secara SMS dan dibaca semula secara lisan oleh defendan pada tarikh dan masa berkenaan adalah lafaz talak secara soreh (jelas) yang ditujukan kepada plaintif.
Mahkamah memutuskan ia sebagai penceraian talak satu kali pertama (talak rajie) di antara plaintif dan defendan pada tarikh tersebut setelah plaintif melanggar lafaz taklik dari defendan di dalam sebuah laman web.

No comments:

Post a Comment