Friday, April 22, 2011

Isteri nusyuz tidak dapat nafkah

25/3/2011-UTUSAN MALAYSIA

AZAM sudah tidak tentu arah, sudah puas diketuk pintu rumah tetapi langsung tidak ada sebarang jawapan. Jauh di sudut hati hatinya begitu bimbang apa sebenarnya telah berlaku kepada isterinya, Ain setelah ditinggalkan seharian.
Mujur terfikir di benaknya, ada kunci pendua yang disimpan dalam kereta. Sambil bergegas turun ke tempat parkir kereta, tangannya juga tidak henti-henti mendail telefon bimbit Ain.
Azam pelik kerana telefon Ain ditutup dan ketika pintu berjaya dibuka memang sah, puas dicari memang isterinya tidak ada di dalam rumah.
Beliau terkejut apabila nampak sekeping nota di atas meja makan tertulis perkataan yang mendebarkan 'Abang maafkan Ain kerana pulang ke kampung tanpa pengetahuan abang, biarkan Ain bersendirian'.
Patutlah semenjak malam tadi sehinggalah Azam keluar bekerja pagi tadi, Ain tidak ceria seperti kebiasaan di mana dia lebih banyak mendiamkan diri sahaja.
Azam pun tak faham, sepatutnya perkahwinan mereka yang baru menjangkau seminggu itu ceria seperti pasangan pengantin baru yang lain.
Rumah yang mereka duduki sekarang ini adalah pilihan Ain sendiri malah dia yang juga yang mereka hiasan dalamannya sehingga tidak sabar-sabar nak berpindah selepas mereka berkahwin.
Dalam tempoh itu Ain juga melayan Azam dengan begitu baik sekali seperti isteri-isteri yang lain sehinggalah dia bertindak keluar dari rumah secara tiba-tiba dengan tanpa sebab yang diketahui oleh Azam.
Kes ini adalah antara kes isteri yang meninggalkan rumah yang kini semakin banyak dibicarakan di Mahkamah Syariah di negara ini.
Kes seperti ini pernah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Satu kes telah difailkan pada X.X.2009 bagi menuntut mahkamah supaya menggunakan bidang kuasa mengikut Seksyen 61 dan 62 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 dalam 'perkara yang berkaitan dengan perhubungan suami-isteri'.
Mahkamah diminta supaya mengeluarkan perintah kembali taat kepada defendan (isteri) untuk kembali tinggal semula dengan plaintif (suami).
Sepanjang kes itu dibicarakan, defendan cuma hadir sekali sahaja iaitu ketika sebutan kes pada X.X.2009.
Saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada isteri tetapi beliau tidak memfailkan pembelaan dan tiada keterangan untuk membantah tindakan suami.
Berdasarkan fakta kes, plaintif dan defendan telah berkahwin pada X.X.2006.
Selepas 11 hari bernikah, isteri bertindak keluar dari rumah kelamin tersebut tanpa alasan yang munasabah selepas suami keluar bekerja.
Suami telah berusaha memujuk isteri untuk kembali kepadanya dengan pergi ke rumah keluarga isteri di kampung tetapi tidak berhasil.
Akibat dari tindakan isteri itu, suami telah membuat cadangan supaya menghadiri kaunseling di Pejabat Agama tetapi gagal kerana hanya suami yang hadir.
Sementara itu kata Wan Muhyiddin, isu yang dibicarakan dalam kes ini adalah mengenai kesan jika isteri masih gagal kembali taat kepada suami dari segi hukum syarak.
Jelasnya, mengikut hukum syarak, isteri yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah.
Beliau turut merujuk kepada kes Aisny Mohd. Daris lawan Fahro Razi Mohdi (1990) di mana hakim dalam kes ini berpendapat: ''Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isterinya bergantung kepada isterinya, bergantung kepada syarat isteri itu taat kepada suaminya''.
Katanya, merujuk dalam Kitab Kifayatul Akhyar menyebut. ''Isteri yang nusyuz tidak boleh diberi belanja, sekalipun suami mampu membuatnya taat kembali."
Dalam kitab itu juga menjelaskan, kalau si isteri nusyuz pada sebahagian siang maka ada dua wajah (pendapat); pertama, ia (isteri) tidak berhak apa-apa pun, kedua, wajib memberi belanjanya pada sebahagian waktu yang ia taat.
Sehubungan itu, kedudukan kesan nusyuz di dalam hukum syarak ini selari dengan subseksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Selain itu, seseorang isteri yang telah disabitkan nusyuz sebelum bercerai juga tidak mempunyai hak untuk menuntut nafkah tertunggak.
Ia juga termasuk 'nafkah idah' seperti mana dinyatakan dalam kes Hasanah Abdullah lawan Ali Muda (1999), dengan merujuk kenyataan kitab Kifayatul Akhyar, Juzu' 2, muka surat 82 yang bererti;
''Jika seseorang menceraikan isterinya yang sedang nusyuz kepadanya maka isteri tersebut tidak berhak mendapat tempat tinggal selama dalam idah kerana isterinya itu tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal menurut dasar pernikahan.''
Wan Mahyuddin juga menjelaskan mengenai isu kedua bagi kes itu sama ada boleh atau tidak isteri diperintahkan supaya kembali taat kepada suaminya.
Oleh itu mahkamah berpandangan selagi pihak-pihak belum dibuktikan telah bercerai maka mereka masih lagi dianggap sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Di dalam tempoh perkahwinan ini, plaintif selaku suami yang sah menurut hukum syarak sudah tentu mempunyai kekuasaan mutlak ke atas defendan sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.
Berdasarkan keterangan plaintif dan saksi-saksi, plaintif berhasrat ingin meneruskan perkahwinan dengan defendan tetapi defendan enggan kembali kepada plaintif.
Di dalam hukum syarak, suami boleh menceraikan isteri sekiranya isteri nusyuz dan selepas pihak-pihak gagal dalam meneruskan perkahwinan disebabkan faktor-faktor tertentu.
Maka mahkamah berpuas hati dengan segala keterangan dan membuat keputusan di mana defenden (isteri) diperintahkan kembali taat kepada plaintif dengan kembali hidup bersama-sama plaintif.
Sekiranya isteri gagal untuk kembali taat selepas 30 hari perintah ini dikeluarkan maka dianggap menghina perintah mahkamah ini dan boleh disabitkan nusyuz kepada defendan.

No comments:

Post a Comment