Thursday, April 28, 2011

Keratan Akhbar kes Razak Ahmad di MRSPJ pada 29 April 2011

Keratan Akhbar 29 April 2011- Jumaat dalam kes Abdul Razak Ahmad - MRSPJ

(1) Sinar Harian - Kes khalwat dramatis Jun PETALING JAYA - Sama ada pelakon Abdul Razak Ahmad dipanggil membela diri atau bebas daripada tuduhan berkhalwat dengan isteri orang akan ditentukan pada 30 Jun depan. Sementara tarikh itu, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menetapkan 26 Mei depan supaya pegawai pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli, membalas hujahan peguam dramatis itu, Mohamad Azman Karim. Abdul Razak, 44, didakwa berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, di sebuah apartmen, di Taman Serdang Perdana, di sini, pada 2.15 pagi, 1 April 2006. Pelakon watak Tok Imam dalam drama Geng Surau itu kali pertama didakwa pada 27 Julai 2006 tetapi mengaku tidak bersalah, manakala Selamah, seorang ahli perniagaan, mengaku bersalah dan didenda RM2,850. Berdasarkan fakta kes, pasukan penguat kuasa Jais bersama beberapa anggota polis menyerbu rumah terbabit setelah menerima maklumat orang awam. Ketika kejadian, pintu dan jeriji besi rumah berkenaan didapati berkunci, manakala dalam rumah gelap. Selepas penguat kuasa mengetuk pintu rumah, Selamah membuka pintu dengan berpakaian lengkap, sementara Abdul Razak sedang tidur dengan memakai seluar jean dan tidak berbaju. Seramai tiga saksi memberi keterangan dalam kes itu.

(2) Kosmo - Kes khalwat Razak 30 Jun

PETALING JAYA - Nasib pelakon, Abdul Razak Ahmad yang menghadapi tuduhan khalwat lima tahun lalu akan diketahui di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 30 Jun depan. Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad menetapkan tarikh itu semalam selepas Abdul Razak (gambar) yang diwakili peguam syarie, Mohd. Azman Karim mengemukakan hujahan balas.
Sehubungan itu, Wan Mahyuddin memerintahkan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor, Shafezan Rusli memfailkan hujahan jawapan selewat-lewatnya pada 26 Mei ini.
Menurut beliau, mahkamah berusaha menyelesaikan kes khalwat itu secepat mungkin kerana ia telah berlarutan sejak 2006.
"Jika semua pihak bekerjasama, mahkamah akan memberi keputusan sama ada Abdul Razak dibebas atau dipanggil membela diri," ujar beliau.
Abdul Razak yang bersongkok hitam hadir di mahkamah.
Menurut kertas pertuduhan, Abdul Razak, 44, didakwa berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak dengan Selamah Sahudin, 43, di nombor A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006.

(3) Utusan Malaysia: Kes khalwat pelakon 30 Jun ini

PETALING JAYA 28 April - Setelah sekian lama, nasib pelakon Abdul Razak Ahmad yang menghadapi tuduhan khalwat sejak lima tahun lalu, akan diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 30 Jun depan.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad menetapkan tarikh itu hari ini selepas Abdul Razak yang diwakili peguam syarie Mohd. Azman Karim menyerahkan salinan hujah balas pihaknya kepada pendakwaan.
Sehubungan itu, Wan Mahyuddin memerintahkan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli menjawab hujah tersebut selewat-lewatnya pada 26 Mei ini.
Menurut hakim tersebut, mahkamah berusaha menyelesaikan kes khalwat itu secepat mungkin kerana prosiding berlarutan sejak 2006.
"Jika semua pihak bekerjasama, mahkamah akan memberi keputusan sama ada Abdul Razak dibebaskan atau dipanggil bela diri dalam masa dua bulan dari sekarang,'' kata Wan Mahyuddin.
Abdul Razak, 44, yang bersongkok hitam hadir berseorangan tanpa peguamnya hanya tunduk ketika ditegur oleh hakim kerana tidak mengetahui sebab Mohd. Azman tidak hadir ke mahkamah.
Dramatis itu yang sering memegang watak 'ustaz' dalam drama televisyen, didakwa berada bersama Selamah Sahudin, 43, dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006.
Ketika pertama kali didakwa pada 14 September tahun yang sama, Abdul Razak mohon dibicarakan tetapi Selamah yang berstatus isteri orang didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan selepas mengaku melakukan perbuatan itu.
Abdul Razak didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Selamah pula di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Difahamkan pada waktu kejadian, pasukan penguat kuasa JAIS bersama beberapa anggota polis membuat pemeriksaan di rumah tersebut setelah menerima maklumat orang awam.
Ketika itu pintu dan jeriji rumah yang berkunci hanya dibuka oleh Selamah berpakaian lengkap selepas diketuk, sementara Abdul Razak yang berseluar jeans dan tidak berbaju sedang tidur di bilik tidur utama.

(4) Keputusan kes khalwat Razak Ahmad 30 Jun - Berita Harian - 2011/04/29

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah semalam, menetapkan 30 Jun ini bagi memutuskan sama ada pelakon, Abdul Razak Ahmad atau dikenali sebagai Razak Ahmad diarah membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan, enam tahun lalu. Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan di akhir pendakwaan itu terhadap Razak, 44, yang kini popular dalam drama bersiri Geng Surau dengan membawakan watak Tok Imam.

Pada 27 Julai 2006, Razak mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, di sebuah rumah beralamat Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini, jam 2.15 pagi, 1 April 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Selamah sudah mengaku bersalah atas tuduhan itu dan dihukum denda RM2,850 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda terbabit di mahkamah sama. Wan Mahyuddin juga menetapkan 26 Mei depan untuk pihak pendakwaan diwakili Pendakwa Syarie, Shafezan Rusli membalas hujahan dan meminta semua pihak memberi kerjasama untuk mempercepatkan kes berkenaan kerana kes itu sudah lama iaitu sejak 2006.

No comments:

Post a Comment