Friday, April 22, 2011

Rizal sanggup tukar jantina

8/4/2011-UTUSAN MALAYSIA

Rizal (bukan nama sebenar) adalah nama yang masih tertera pada kad pengenalan tetapi setelah menjejakkan kaki ke kota Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu, namanya bertukar menjadi Rita.
Perubahan nama tersebut amat sesuai sekali dengan penampilan dirinya. Apa pun Rizal puas kerana dia kini berubah menjadi wanita sebagaimana yang diidamkan selama ini selepas selesai menjalani pembedahan menukar jantina di selatan Thailand.
Sesiapapun tidak akan percaya bahawa ketika di zaman kanak-kanak, Rizal juga seperti budak lelaki lain termasuk suka memanjat pokok, bermain bola tetapi gara-gara dibuli oleh tiga kakaknya lama kelamaan sifat kasar itu semakin lupus dari jiwanya.
Rizal bukan sahaja disuruh melakukan kerja mengemas rumah, malah memasak dan membasuh yang sepatutnya dilakukan oleh kakak-kakaknya yang hanya tahu bersolek dan bergaya.
Sehingga lama kelamaan, Rizal mula terikut-ikut dengan kegemaran kakaknya yang sering menjadikan dia model untuk memperagakan pakaian dan juga solekan.
Pengalaman itu ternyata telah mencetuskan sesuatu pada Rizal di mana hatinya semakin hari semakin benci dilahirkan sebagai lelaki sebaliknya jiwanya bertekad untuk menjadi wanita sebenar pada suatu hari nanti.
Walaupun Rizal tidak menunjukkan secara terang-terangan perangai lembut di hadapan keluarga tetapi ketika berseorangan di bilik dia suka bersolek dan menggenakan baju milik kakaknya.
Sehinggalah akhirnya Rizal berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti di mana di situ mula bertemu dengan rakan 'sealam'nya.
Tanggal 1 Januari lalu memang sukar dilupakan kerana buat pertama kali Rizal akan bertemu dengan kekasih hatinya, Farid yang dikenali menerusi laman sosial Facebook selama dua tahun.
Yang pastinya sejak petang lagi, Rizal sudah siap berdandan di mana rambut panjangnya sengaja dibiarkan terurai, solekan dan gincu merah delima yang dikenakan dengan gaun merah bertali halus paras lutut yang dipenuhi labuci pada bahagian dada.
Rizal amat berharap Farid akan kagum dengan dirinya dan supaya hubungan mereka berdua selepas itu akan menjadi lebih intim.
Ketika melangkah masuk ke kelab itu, Rizal sengaja menggoyang pinggulnya yang sengaja dibesarkan untuk disesuaikan dengan dada montok yang pasti akan membuatkan kaum Hawa mencemburuinya.
Dalam remang-remang cahaya kelab itu, Rizal dari jauh sudah nampak kelibat Farid, lelaki macho yang setia menunggunya dengan senyum melebar.
Memang Farid begitu mendebarkan jiwanya, malah Rizal rasa dadanya bagai disambar halilintar apabila bersentuhan dengan tapak tangan lelaki yang dicintai itu.
Farid pula sengaja menempah tempat yang agak terceruk supaya mereka berdua merasa lebih selesa untuk berdua-duaan maklumlah selama ini cuma melepas rindu melalui Facebook.
Terbongkar
Mata Farid bukan sahaja tak lepas merenung wajah dan tubuh indah Rizal sehingga tangannya juga semakin liar meneroka tubuh pondan yang disangka wanita itu sehingga kedua-duanya hanyut dibuai keseronokan.
Tiba-tiba terdengar bunyi jeritan dan serentak dengan itu suasana kelab terang benderang sehingga Rizal dan Farid terkapai-kapai malu dan membetulkan baju masing-masing.
Serbuan jabatan agama pada malam itu betul-betul memalukan kerana akhirnya rahsia Rizal terbongkar di depan Farid.
Dari raut wajahnya, Rizal tahu Farid terlalu marah dan lelaki itu berlalu begitu sahaja sekali gus memberi pertanda cintanya juga turut bernoktah.
Kisah lelaki yang menyerupai wanita atau pondan semakin berleluasa di mana kes yang melibatkan golongan ini juga telah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhamad baru-baru ini.
Mengikut fakta kes, Rizal telah ditahan kerana berlagak dan berpakaian seperti perempuan.
Ketika ditahan pada raut wajahnya ada mekap, bibir dipercayai ada kesan gincu merah, rambut panjang paras bahu, berpakaian baju kemeja T belang serta berseluar jeans wanita biru serta berkasut tumit tinggi.
Selain itu seorang lagi rakan tertuduh yang berpakaian perempuan turut ditahan pada malam tersebut.
Maka dengan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali berdasarkan Seksyen dan Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995 dan jika disabit kesalahan.
Menurut Hakim Syarie berdasarkan pengakuan salah oleh tertuduh maka mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda tersebut pada hari dijatuhkan hukuman itu.
Wan Mahyuddin berharap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan juga orang lain supaya tidak mengulangi perbuatan ini lagi pada masa akan datang.
Mahkamah juga menasihatkan tertuduh supaya memotong rambutnya yang panjang seperti perempuan bagi memastikan tertuduh tidak akan kelihatan seperti perempuan lagi.
Dalam alasan penghakimannya, tertuduh telah membuat pengakuan bersalah dengan sukarela dan memahami akibat pengakuan salah di dalam mahkamah setelah diterangkan hukumannya.
Malah katanya, iqrar (pengakuan) itu boleh diterima kerana dibuat di dalam mahkamah seperti yang diperuntukkan di dalam Seksyen 17(2)(a) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 200033 yang menyatakan bahawa apa-apa iqrar hendaklah dibuat di dalam mahkamah dan di hadapan hakim.
Apa yang dimaksudkan di sini di mana lelaki yang menyerupai perempuan atau perempuan menyerupai lelaki ialah dalam bentuk pakaian, tingkah laku dan lain-lain hinggalah melakukan pembedahan untuk menukar sifat (jantina) daripada bentuk kejadian asal yang Allah telah tetapkan.
Dalam alasan itu sebenarnya perbuatan itu adalah haram dan termasuk di dalam salah satu dosa besar.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Allah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan'' (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud dan lain-lain).

No comments:

Post a Comment